Ibadah

Kenali Solat Sunat Muakkad Dan Bukan Muakkad

Oleh Natirah Azira  •  8 Jul 2020  •  2 min baca

Solat sunat rawatib adalah solat sunat yang didirikan sebelum (qabliyah) atau selepas (ba’diyah) melakukan solat Fardu.

Solat sunat rawatib ini pula boleh dibahagikan kepada solat yang muakkad dan tidak muakkad. Solat sunat muakkad adalah yang sangat difalakkan dan dilazimi Nabi SAW sepanjang hayat manakala yang bukan muakkad ialah yang kadang kala ditinggalkan.

Istimewanya solat sunat tambahan ini kerana ia mampu menampal kecacatan solat Fardu. Dalam satu hadis diberitakan bahawa apabila amalan solat dihisab, dan didapati ada kekurangan, maka Allah menyuruh para malaikat memeriksa jika hamba tersebut ada melakukan solat tambahan bagi menampung kekurangan tersebut.

“…Allah berfirman: “Apakah hambaKu pernah mengerjakan solat tathawwu’? Kalau hamba tersebut pernah mengerjakan solat sunnah tathawwu’, Allah berfirman: ‘Sempurnakanlah bagi hambaKu (kekurangan) solat (wajib lima waktu) dengan solat tathawwu”. (Sahih Abi Daud, no 864 – Disahihkan oleh Al-Albani)

Disebutkan dalam satu riwayat yang sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah SWT dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. (Sahih Muslim, no.728)

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar RA pula menunjukkan jumlah rakaat solat rawatib adalah sepuluh. Beliau berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ

Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. (Sahih al-Bukhari, no.1180)

Daripada hadis-hadis inilah para ulama terkemudian mengambil faham bahawa solat sunat rawatib yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu ada 10 atau 12 rakaat jumlahnya. Walau bagaimanapun, para ulama’ Syafi’iyyah telah memilih pandangan bahawa bilangan rakaat solat sunat rawatib yang dilakukan jumlahnya sebanyak 10 rakaat.

Solat sunat rawatib yang muakkad seperti:

1. Dua rakaat sebelum Subuh
2. Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
3. Dua rakaat selepas Zohor
4. Dua rakaat selepas Maghrib
5. Dua rakaat selepas solat Isya’

Solat sunat rawatib yang tidak muakkad seperti:

1. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
2. Dua rakaat terakhir (dari empat rakaatI selepas Zohor
2. Empat rakaat sebelum Asar
3. Dua rakaat sebelum Maghrib
4. Dua rakaat sebelum Isya’

Dalil umum untuk solat sunat rawatib adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat sunat – Baginda mengulanginya hingga tiga kali bagi yang menghendakinya” (Sahih Al-Bukhari, no. 624)

Kesimpulannya, bilangan solat sunat rawatib yang muakkad ialah 10 rakaat, manakala yang tidak muakkad ialah 12 rakaat.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami