Keluarga

Kemaafan Dendam yang Terindah

Oleh Nur Ismalina Haris  •  3 Aug 2016  •  4 min baca

Usai solat, Fatimah duduk menyandar di dinding. Mengumpul kudrat untuk membaca dan mentadabbur Al-Quran.

“Insya-Allah, tinggal lagi tiga surah untuk khatam Al-Quran.”

Bisik hati Fatimah.

Tiba-tiba dia terperasan Sakinah yang sedang mengelamun di atas tikar sejadah.

“Sakinah, kau tak apa-apakah?”

Soal Fatimah.

Sakinah mendongak, memandang Fatimah dengan wajah nan sayu,

“Aku teringin hendak pulang ke kampung. Sudah lama rasanya aku tidak pulang berhari-raya. Tapi…”

“Tapi kenapa?”

“Aku malu untuk berjumpa dengan adik-beradik aku. Malu dengan sikap keras kepala dan ego yang ada pada diri ini. Sikap inilah yang telah mengundang pertengkaran dengan mereka.”

Balas Sakinah sambil menyeka airmata yang mula membasahi pipi.

“Banyakkan berdoa kepada Allah, Sakinah. Allah Maha Mendengar. Dia tidak pernah menolak doa hamba-Nya yang meminta. Ada hikmah di sebalik musibah ini.

Pulanglah, siapa tahu mereka sudah pun memaafkan. Jangan disimpan rindu dendam itu, takut nanti tidak sempat bertemu.”

Ujar Fatimah. Cuba memberikan semangat kepada sahabat karibnya.

Kerana Ego, Kita Terpisah

Ego memberi makna persepsi seseorang tentang harga dirinya yang seterusnya mempengaruhi keyakinan dirinya. Ego juga membawa maksud seseorang yang mementingkan perasaan sendiri dan menganggap diri sendiri lebih mulia daripada orang lain.

Bukan tidak boleh ada rasa ego, tetapi tidak perlulah berlebih-lebihan sehingga ia bisa mengakis rasa cinta dan kasih sayang yang telah lama dibina. Sifat ego inilah sebenarnya dugaan Allah terhadap kita.

Allah telah memerintahkan agar kita sentiasa sama saling bermaafan, jangan menyimpan dendam terlalu lama. Ia hanya mengundang kepada kehancuran silaturahim sesama kita. Bahkan, ego itulah yang telah memisahkan kasih sayang antara kita. Seperti mana terpisahnya Sakinah dan ahli keluarganya.

Masa berjalan, semakin lama dunia semakin tua. Kenapa kita tidak mahu mengambil kesempatan yang ada dengan hidup berkasih sayang? Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang sentiasa hidup berkasih sayang.

Muaz r.a berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,

“Firman Allah Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagungan-Ku akan mendapat minbar-minbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada.” Hadis Riwayat At-Tirmidzi

Lunturkan Ego dengan Memaafkan

Bak kata orang-orang lama,

“Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati tak siapa yang tahu.”

Benar, memang benar tiada siapa yang tahu betapa hati kita terluka dengan perbuatan seseorang terhadap kita. Kita sedih, kita pilu, lantas menghukum dengan membawa diri dan tidak berpaling lagi untuk memaafkan.

Tapi sedarkah kita di satu pihak lagi juga mempunyai perasaan yang sama. Dia juga mungkin terluka dengan kita, bertambah parah apabila kita bersikap dingin dengan tidak mahu memaafkan, apatah lagi meminta maaf. Sama saling berpaling hanya menambah derita di dada.

Sesungguhnya, Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang sanggup memadamkan api ego mereka dengan memaafkan kesalahan orang lain. Cuba kita bayangkan, bagaimana perasaan seseorang yang meminta maaf kepada kita, dan kita lantas memaafkan kesalahan yang dilakukannya? Pasti dia berasa sangat gembira. Seperti mana Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nuur ayat 22,

“Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Kenapa Begitu Sukar Untuk Memaafkan?

Dia kata sudah memaafkan, tapi hakikatnya hati semakin menjauh. Dia kata sudah melupakan, tetapi sering mengungkit bila berbicara. Nah! Itulah yang sangat menguji kesabaran.

Kerana itulah Allah telah merungkaikan keresahan kita seperti mana firman-Nya dalam Surah Fussilat ayat 34 hingga 35,

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”

Teruskan membuat kebaikan terhadap mereka yang menyakiti kita.

Ganjaran Menyambungkan Silaturahim

Dalam satu kisah yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah telah menceritakan betapa hebatnya ganjaran kepada mereka yang mahu menyambungkan silaturahim yang terputus.

“Mahukah kalian aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” tanya Rasulullah S.A.W kepada para sahabat.
“Tentu saja,”

Jawab mereka.

Baginda kemudian menjelaskan,

“Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menjambatani berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan tali persaudaraan di antara mereka adalah amal soleh yang besar pahalanya.

Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturahim.”

Jangan biarkan dihuni rasa rindu, ia hanya menyiksa diri.
Usah dilayan gundah yang bertamu, fitrikan hatimu Syawal ini.

Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

“Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada dipihak yang benar ataukah yang salah, apabila tidak melakukan hal tersebut (memaafkan) , nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat).” Hadis Riwayat Al-Hakim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nur Ismalina Haris

Nur Ismalina Haris merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik. Beliau juga aktif menulis artikel yang telah diterbitkan di majalah berbentuk islamik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami