Gaya Hidup

Kelebihan Memuliakan Tetamu Dan Menghubungkan Silaturahim Menurut Hadis

Oleh Natirah Azira  •  12 Jun 2019  •  4 min baca

Musim perayaan belum lagi reda. Di sesetengah tempat, masih ada jemputan dan jamuan terbuka yang menanti. Malah di kawasan pantai timur khususnya di Terengganu, ada istilah yang dinamakan ‘Raya Enam’. Ia disambut pada tanggal 8 Syawal, apabila selesai melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal bermula 2 Syawal. Orang ramai akan menziarahi kubur pada awal pagi seterusnya menziarahi sanak-saudara yang belum sempat diziarahi pada hari-hari sebelumnya.

Apa pun budaya dan amalan yang dilakukan, amalan menghubungkan silaturahim ini sangat dipandang tinggi dalam Islam. Apabila tetamu datang ke rumah, disunatkan untuk memuliakan tetamu selagi tidak ada kekangan dan kesukaran. Digariskan di bawah enam hadis yang berkait rapat dengan amalan menghubungkan silaturahim serta memuliakan tetamu.

#1- Tanda Orang Yang Beriman Dengan Hari Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari, no. 5673 – Status Hadis Sahih)

Kata Al-Munawi :
“Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah yang ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.” Rujuk Faidh Al-Qadir (6/209)

#2- Menyambut Tetamu Adalah Sunnah Nabi SAW

Menyambut dan melayan tetamu juga adalah sunnah Nabi SAW. Nabi SAW sentiasa dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keperluan dan Nabi SAW tidak pernah menolak permintaan.

Imam Al-Nawawi berkata :
“Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.” Rujuk Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab (9/57)

Selain itu, Rasulullah SAW juga mengamalkan berjabat tangan atau bersalam.

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Daripada Qatadah ra, aku berkata kepada Anas bin Malik, “Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?” Anas menjawab, “Ya”. (Sahih Bukhari, no. 5908, Status Hadis Sahih)

#3- Perjalanan Dipermudahkan Dan Disediakan Tempat Di Syurga

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda :

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

Maksudnya :”Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” Riwayat Al-Tirmizi (2008) – Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang ghorib

#4- Pertemuan Dua Muslim Menggugurkan Dosa

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Daripada Abu Ishaq daripada Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan, melainkan diampuni bagi keduanya sebelum keduanya berpisah” (Sunan Abi Daud, no. 5212 – Status Hadis Sahih)

عن حذيفة بن اليمان ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِنَّ المُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ

Daripada Huzaifah al-Yaman RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya lalu menjabatnya, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon” (Mu’jam Awsat li Tabarani, no. 247 – Al-Munziri berkata bahawa tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik)

#5- Tanda Orang Beriman Ialah Mengasihi Saudaranya

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam diantara kalian.” (Sahih Muslim, no. 54 – Status Hadis Sahih)

#6- Berjabat Tangan Menghilangkan Kebencian Dan Mengeratkan Hubungan

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Daripada Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam” (Muwatta, no. 1685 – Status Isnad Hasan)

Kesimpulan

Anjuran memuliakan tetamu serta menghubungkan silaturahim dalam hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa Islam juga mementingkan hubungan persaudaraan sesama manusia. Agama Islam bukan hanya tentang ibadah dan hubungan dengan Allah semata-mata. Iman seseorang itu juga dikira tidak sempurna selagi dia tidak mencintai dan mengambil berat tentang saudaranya yang lain.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami