Ibadah

Jauhi Maksiat Supaya Kasih Sayang Tidak Dicabut

Oleh Natirah Azira  •  29 Sep 2018  •  3 min baca

Kasih sayang adalah suatu perkara yang didamba oleh setiap manusia di dunia ini, tidak kiralah sama ada kasih sayang dari keluarga, pasangan mahupun rakan-rakan. Tidak ada manusia waras yang ingin dibenci.

Rasa sayang boleh tercetus dari kebaikan hati, kebajikan yang dijaga, rasa prihatin dan seumpamanya. Namun ada masa kita rasakan rasa kasih sayang itu hilang, sama ada dari orang lain kepada kita atau daripada diri kita sendiri untuk orang lain. Hadis dibawah boleh memberikan penjelasannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji).”(HR Tirmizi No: 1846) – Hadis Hasan

Perbuatan keji di sini merangkumi banyak perkara seperti menghina, mengumpat, mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling. Apabila kita melakukan hal tersebut, tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dari diri kita. Dalam Kitab Bulughul Maram ada dinyatakan satu hadis yang sangat penting berkait dengan hal diatas.

Hadis dikeluarkan oleh Imam Ahmad, an-Nasai dari hadis al-Asyajj al-‘Ashri, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Sesungguhnya engkau memiliki dua sifat yang dicintai oleh Allah”. Aku bertanya kepada beliau: ‘Apa itu?’. Beliau bersabda :”Sifat lemah lembut (al-Hilm) dan sifat malu”.

Aku bertanya lagi: ‘Sifat yang sudah lama (melekat padaku) atau yang baru?’. Beliau menjawab dengan sabdanya: “Bahkan yang sudah lama”. Aku berkata (pada diriku): ‘Alhamdulillah yang telah menganugerahkan kepadaku dua sifat yang dicintai oleh Allah’

Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh seorang sahabat, Salman al-Farisi:

“Sesungguhnya bila Allah menginginkan kehancuran atau kebinasaan bagi seorang hambaNya, maka Dia akan mencabut dari dirinya sifat malu, dan bila sudah dicabut sifat tersebut dari dirinya maka dia tidak akan menemuiNya kecuali dalam keadaan dia amat dimurkai dan murka,

dan bila dia sudah dalam keadaan demikian maka akan dicabut dari dirinya sifat amanah lantas dia tidak akan menemuiNya kecuali dalam keadaan dia dikira sebagai pengkhianat dan orang yang dikhianati,

dan bila dia sudah menjadi pengkhianat dan orang yang dikhianati maka akan dicabut dari dirinya sifat rahmah (sifat belas kasih) lantas dia tidak akan menemuiNya kecuali dalam keadaan dia memiliki sikap keras dan berhati kasar,

dan apabila dia sudah dalam keadaan demikian maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya, dan bila sudah demikian maka dia tidak akan menemuiNya kecuali dalam keadaan yang telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.

Sungguh tegas sahabat Nabi SAW berbicara tentang hal ini. Jika diteliti situasi diatas, ianya bermula hanya dengan sifat malu. Hilangnya rasa malu akan menyebabkan hilangnya sifat amanah, kemudian menyebabkan hilangnya sifat rahmah( belas kasihan) dan akhir sekali menyebabkan sebahagian iman dicabut dari dirinya.

Jika diteliti hidup kita, terlalu banyak perkara yang berkait antara satu sama lain. Segalanya ada cause and effect, sebab dan akibat. Seperti salji yang digumpal dan digolekkan dari tempat yang tinggi, lama kelamaan saiznya akan menjadi semakin besar.

Begitu juga kebaikan, kebaikan yang kecil jika dibiasakan akan menjadi besar, manfaatnya pula tersebar. Keburukan jika dilakukan sedikit demi sedikit, akhirnya akan menjadi tabiat yang sukar dibuang. Semoga Allah menjauhkan kita daripada segala sifat tercela dan tidak disukaiNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami