Keluarga

Jangan Sebut Perkataan Yang Buruk Kepada Anak Anda

Oleh Fizah Lee  •  2 Jul 2020  •  2 min baca

“Eish, bertuah punya anak. Habis berkecai pasu dibuatnya.”

“Ya Allah, anak siapa yang cantik sangat ni dah conteng dinding rumah kita ni?”

Seringkali kita mendengar dialog-dialog seperti di atas yang keluar daripada mulut ibu bapa tatkala terjadi perkara yang tidak diingini sehingga hampir marah.

Sebagai manusia normal, apabila ingin meletus perasaan marah, pasti kita akan mengungkapkan kata-kata yang berbaur hinaan atau makian, namun berbeza dengan ibu bapa.

Mengapa? Kerana mereka adalah manusia luar biasa. Kata-kata yang keluar daripada mulut mereka juga merupakan ucapan yang boleh menukarkan anak-anak mereka kepada manusia yang luar biasa.

Sebab itu, apabila ibu bapa ingin marah atau keluar perasaan yang tidak menentu terhadap perbuatan anak-anak mereka, biasanya mereka akan cuba untuk menahan mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang berbaur makian.

Kerana ucapan yang keluar daripada mulut mereka adalah doa dan kita mengetahui bahawa doa tersebut adalah makbul.

Dari Jabir RA, Baginda SAW bersabda – “Janganlah kalian mendoakan kejelekan untuk anak-anak kalian, serta jangan mendoakan kejelekan untuk harta kalian. Janganlah kalian berdoa untuk seperti itu kerana boleh jadi bersesuaian dengan satu waktu dari Allah yang jika Dia diminta sesuatu pada waktu tersebut, Dia pasti mengabulkannya untuk kalian.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 309)

Apabila melihat kepada pendapat pakar-pakar juga, mereka menyifatkan bahawa bentuk komunikasi yang dilemparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mampu mempengaruhi gaya hidup tumbesaran mereka.

Bayangkan anak-anak yang sudah dibiasakan dengan perkataan-perkataan kasar oleh ibu mereka seperti -“eh tak cerdiklah kau ni” atau “kenapa pecahkan pasu mak, tak gunalah anak ni.”

Jika doa dari ibu itu makbul, tidak mustahil dia menjadi seperti apa yang diucapkan. Dalam psikologi pula, ia boleh mempengaruhi minda mereka dan membentuk mereka kepada apa yang sering mereka dengar.

Boleh jadi juga anak itu akan merasakan bahawa mereka tidak disayangi dan mulalah mereka akan mencari perhatian dengan melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Justeru, sebagai ibu bapa yang menginginkan apa yang terbaik buat anak-anak yang dilahirkan, katalah dan doakanlah perkara yang baik-baik buat mereka.

Taraf ibu bapa itu sangatlah tinggi, sehingga Islam sendiri menyebut bahawa reda Allah bergantung kepada reda ibu bapanya.

Apatah lagi kata-kata dan ucapan yang dikeluarkan itu pasti mudah untuk dimakbulkan. Sebab itu, kita sering dengar kejayaan yang datang pada kita hari ini bukan seratus peratus dari usaha kita namun terselit keberkatan dan doa dari mereka.

Jadi ayuh mula ucapkan perkara yang baik dan positif kepada anak anda hari ini!

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami