Inspirasi

Istidraj, Nikmat Dalam Dosa

Oleh Fieyzah Lee  •  23 May 2019  •  5 min baca

Pernahkah anda mendengar pemimpin yang paling bongkak dan mengaku dirinya Tuhan? Apabila datangnya seorang Nabi di zamannya untuk membawa ajaran Islam dan menceritakan mengenai kehebatan Tuhan Sang Pencipta alam ini, dia menolak sekeras-kerasnya.

Itulah dia kisah Firaun di zaman Nabi Musa, seorang yang bongkak dengan kuasa dan kekayaan yang ada sehinggakan beliau lupa bahawa dirinya hanyalah merupakan hamba yang paling hina bukanlah tuhan yang mencipta.

Kisah mengenai Firaun ini terakam rapi di dalam al-Quran sebagai peringatan dan pengajarann kepada hamba-hamba agar menyakini bahawa hanya Allah yang Maha Kuasa.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّي صَرْحًا لَّعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَىٰ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ
Mafhum: Dan Firaun pula berkata: “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku bata-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Qasas, 28:38)

Dalam ayat seterusnya, Allah ada merakamkan mengenai bagaimana kehidupan Firaun yang telah pergi dalam keadaan hina kerana mengaku dirinya tuhan dengan segala nikmat dan kekuasaan yang telah diperoleh. Firaun sempat mengaku dirinya percaya kepada Allah namun pada waktu itu, imannya sudah tidak diterima oleh Allah kerana nyawanya sudah sampai ke penghujung.

فَأَخَذْنَاهُ وَجُنُودَهُ فَنَبَذْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الظَّالِمِينَ
Mafhum: Dengan sebab itu kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim. (Surah al-Qasas, 28:40)

Kisah mengenai kezaliman firaun ini bukan sahaja terakam di dalam al-Quran, namun telah diabadikan di makamnya yang sungguh gah, iaitu di dalam piramid di mesir yang telah dibina untuk memberi pengajaran kepada semua umat sehingga ke hari ini.

Nikmat Yang Melalaikan

Kenapa kali ini penulis membawa kisah Firaun kepada pembaca? Kisah ini pastinya sudah tidak asing lagi di telinga pembaca malah turut dijadikan sebagai bed time story kepada kanak-kanak sebagai pengajaran kepada mereka bahawa hanya Allah yang berhak disembah.

Namun, tahukah anda pengajaran di sebalik kisah Firaun ini, iaitu dia telah diberikan nikmat yang melimpah ruah dengan kekayaan dan kekuasaan. Dia merasakan bahawa dirinya merupakan tuhan kerana pada zaman itu, dialah yang paing kaya dan yang paling berkuasa.

Nah, inilah yang dinamakan sebagai istidraj. Allah memberikan nikmat yang melimpah ruah kepadanya di dunia sehingga menjauhkan seseorang itu daripada kasih-sayang Allah.

Istidraj bermaksud kesenangan dan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada orang untuk jauh daripada-Nya dan ia sebenarnya merupakan sebuah azab tanpa sedar kepadanya.

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Bila kamu melihat Allah memberi pada hamba dari (perkara) dunia yang diinginkannya, padahal dia terus berada dalam kemaksiatan kepadaNya, maka (ketahuilah) bahwa hal itu adalah istidraj (perangkap berupa nikmat yang disegerakan) dari Allah.” (HR. Ahmad 4: 145. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa hadis ini hasan dilihat dari jalur lain).

Seperti kisah Firuan ini, dia menyangka bahawa kekayaan yang diperoleh itu bukan datang daripada kuasa lain tetapi adalah miliknya sepenuhnya sehingga dia menyuruh rakyat-rakyat di daerahnya menyembah dirinya.

Bahayanya istidraj ini sehinggakan seseorang itu boleh leka dengan nikmat yang ada dan tidak pernah terdetik sedikit pun bahawa nikmat itu merupakan ujian buatnya.

فَذَرْنِي وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا الْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Mafhum: Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuiya. (Surah al-Qalam, 68:44)

Dalam kalam Allah yang lain juga ada menyebut:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ
نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ
Mafhum: Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu. (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar). (Surah al-Mu’minun, 23:55-56)

Istidraj ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada mereka yang jauh daripada Allah dan lalai dalam melakukan suruhannya. Sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah, maka kita juga wajib percaya bahawa istidraj ini wujud.

Kadang-kadang ia boleh berlaku kepada mereka yang kaya-raya, ia juga boleh berlaku kepada mereka yang bijak akademiknya dan bermacam-macam lagi golongan yang boleh menerima istidraj ini.

Seringkali kita mendengar dialog ini;

“Eleh, aku tak solat pun, duit ada je berkepuk-kepuk” atau “Aku tak bangun subuh pun, tapi boleh je score exam” atau “aku solat jarang-jarang je tapi hidup je sekarang dah umur 70 tahun”

Mesti dialog ini pernah bermain di telinga anda? Namun, jangan pula perkataan ini meniti di bibir anda, bimbang ada yang tidak kena dengan iman anda. Periksa semula iman anda dengan muhasabah diri jika pernah mengungkapkan kata-kata ini.

Percayalah, ia merupakan salah satu bentuk istidraj kerana Allah telah melalaikan kita dengan nikmat dunia dan pasti akan membalasnya di akhirat nanti dengan setiap perbuatan tersebut.

Bagaimana Pula Dengan Orang Kafir?

Pasti anda tertanya-tanya bagaimana status orang kafir yang maju dan kaya-raya? Kadang-kadang terfikir, mereka bukan Islam, tapi dari segi ekonomi, merekalah yang paling berjaya. Mengapa pula? Allah juga memberikan istidraj kepada kaum kafir kerana bagi Allah dunia ini hanyalah sesuatu yang remeh. Malah Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa dunia ini tidak sebanding pun dengan nilai sayap nyamuk.

Pernahkah anda mendengar mengenai sifat Rahman dan Rahim Allah?

Allah bersifat ar-Rahman kepada semua hamba-Nya tidak kiralah Islam atau kafir, muslim atau bukan muslim, kaya atau miskin.

Tetapi, Allah bersifat ar-Rahim hanya kepada hamba-Nya yang mukmin sahaja.

Allah juga ada berfirman melalui kalam-Nya yang berbunyi:
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Mafhum: Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak). (Surah ali-Imran, 3:178)

Sentiasalah berbuat kebaikan di dunia ini kerana dunia merupakan jambatan untuk ke hari akhirat. Usahakan untuk mengumpul ‘bekal pahala’ dari sekarang supaya bekalan tersebut dapat membantu kita saat berhadapan dengan Allah kelak.

Ini kerana, hidup ini bukan syurga bagi orang mukmin, tapi syurga yang sebenar adalah di akhirat sana.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami