Inspirasi

Ibn Sina: Tokoh Islam Pintar Al-Quran Dan Sains

Oleh Anas  •  10 Jun 2017  •  3 min baca

Ibn Sina bukan sahaja tokoh hebat dalam bidang Sains, malah turut cemerlang dalam pengajian Al-Quran. Itulah Ibn Sina atau nama sebenarnya Abu Ali al-Hussain ibn Abdallah Ibn Sina. Dunia Barat amat mengenali beliau sebagai Avicenna.

Beliau dilahirkan pada tahun 980 C.E di Afshana berhampiran dengan Bukhara. Kebijaksanaan Ibn Sina menyerlah sejak beliau kanak-kanak lagi. Jadi, bukanlah sesuatu yang pelik apabila pada usia baru mencapai 10 tahun, beliau sudah pun menguasai Al-Quran dan bahasa Arab klasik.

Kemudian, pencarian ilmu diluaskan lagi sampai ke jurisprudens Islam, falsafah, sains tulen, dan pengajian logik, Euclid, dan Almeagest.

Semasa berusia 17 tahun, remaja ini beralih pula kepada bidang perubatan. Beliau tiada masalah dengan bidang itu tetapi mempunyai kekeliruan dalam masalah metafizik oleh Aristotle. Mujurlah, ada ilmu al-Farabi yang membantu beliau menghuraikan kekusutannya.

Walaupun masih muda, reputasinya sebagai ahli Fizik mulai terbentuk pada usia 18 tahun. Pada masa itu, Ibn Sina diberikan kebenaran untuk menggunakan perpustakaan diraja milik pemerintah, Nuh ibn Mansur.

Asalnya, ia adalah satu tanda terima kasih baginda kepada Ibn Sina. Ini kerana Ibn Sina dikatakan telah mengubati penyakit baginda. Sebagai membalas budi, Nuh Ibn Mansur mahu menghadiahkan sesuatu kepadanya. Lantas, peluang itu digunakan oleh Ibn Sina untuk meminta kebenaran bagi menggunakan perpustakaan diraja.

Ibn Sina tertarik dengan perpustakaan tersebut kerana ia dipenuhi buku-buku yang menarik. Begitulah sifat seorang pencinta ilmu. Ilmu menjadi harta terpenting baginya sedangkan beliau boleh meminta harta yang lain untuk kemewahan dirinya.

Dengan kemudahan rujukan yang luas, Ibn Sina menghadam segala ilmu di dalam perpustakaan tersebut. Maka, pada usianya baru mencecah 21 tahun, beliau sudah bersedia untuk menulis buku pertama beliau.

Selepas kematian bapanya, Ibn Sina memberi khidmat kepada Ali bin Ma’mun iaitu pemerintah Khiva. Namun beliau terpaksa melarikan diri kerana bimbang diculik oleh Sultan Mahmud, seorang raja di Ghazna.

Ini membawa beliau ke Jurjan, lokasi berdekatan dengan Laut Caspian dan bernaung dibawah pemerintahnya iaitu Qabus. Ibn Sina mengajar ilmu logik dan astronomi. Pada masa inilah beliau mula menulis bahagian pertama buku beliau yang bakal mengangkat namanya iaitu Qanun.

Beliau kemudian berhijrah ke Ray selepas kematian Qabus. Di situ beliau mempraktikkan ilmu perubatan beliau. Namun, beliau sekali lagi terpaksa melarikan diri apabila bandar tersebut dikepung.

Kali ini beliau ke Hamadan. Takdir telah tertulis. Ammir Shamsud Dawala yang menderita penyakit kolik telah sembuh atas bantuan Ibn Sina.

Dari peristiwa itu, Ibn Sina telah diangkat menjadi Perdana Menteri. Namun, sekumpulan askar menentangnya sehingga beliau dipecat dan dipenjarakan. Ibn Sina menerima maaf Ammir dan dikembalikan jawatannya hanya selepas penyakit Ammir tiba-tiba muncul kembali.

Sejak itu, Ibn Sina mulai sibuk. Siangnya digunakan untuk berkhidmat kepada Ammir. Manakala malamnya pula untuk mengajar dan mencatat nota untuk buku-bukunya. Para pelajar pula akan berkumpul di rumah beliau dan membaca karya-karya beliau iaitu Shifa dan Qanun.

Setelah kemangkatan Ammir, Ibn Sina ke Isfahan pula, di mana beliau menghabiskan sisa-sia terakhir hidupnya dengan berkhidmat kepada pemerintah kota itu pula. Beliau memberi khidmat nasihat dalam perkara sains dan sastera serta menyertai kempen ketenteraan.

Al-Qifti menyatakan bahawa Ibn Sina telah berjaya menyiapkan 21 perkara besar dan 24 perkara kecil dalam bidang falsafah, perubatan, teologi, geometri, astronomi dan seumpamanya.

Ibn Sina hanya berhenti bekerja, mencari ilmu dan menyampaikan ilmu setelah kematiannya iaitu pada usia 58 tahun. Beliau dikuburkan di Hamadan.

Moga kehebatan dan kepintaran tokoh besar ini melipat gandakan usaha kita untuk menggali ilmu Allah yang tidak pernah habis kita pelajari. Insyaa-Allah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami