Wanita

Hukum Wanita Menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Tanpa Mahram

Oleh Natirah Azira  •  23 Nov 2018  •  3 min baca

Dunia semakin berkembang dan bergerak laju dari sehari ke sehari. Pada masa sekarang, terdapat banyak perkara yang memerlukan wanita berada di luar rumah, terutama kerana tuntutan ilmu dan kerja bagi menambah pendapatan keluarga.

Ada juga yang aktif berkhidmat untuk masyarakat seperti terlibat sebagai sukarelawan dan menyertai misi bantuan kemanusiaan yang memerlukan mereka musafir dalam jarak jauh. Apakah sebenarnya hukum bagi tujuan yang disebutkan ini? Adakah boleh memulakan perjalanan yang jauh tanpa mahram? Jom kita ikuti apa kata mufti.

Maksud Mahram

Perkataan mahram merujuk kepada suami atau seseorang yang diharamkan berkahwin ke atasnya selama-lamanya sama ada disebabkan hubungan nasab, susuan dan juga persemendaan.

Dalam konteks ini, mahram membawa maksud penjagaan urusan seseorang wanita dan perlindungan ke atasnya ketika musafir. Kanak-kanak tidak termasuk situasi ini.

Hukum Wanita Bermusafir

Hukum asal bagi wanita bermusafir adalah haram melainkan terdapat mahram bersama-sama dengannya. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW:

لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم

Maksudnya:

“Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”(Riwayat al-Bukhari, No 1862)

Dalam hadis yang lain, sabda Nabi SAW:

لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر مسيرة يوم إلا مع ذي محرم

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir selama satu hari satu malam yang tidak disertai mahramnya”.(Riwayat al-Bukhari No. 1038 dan Muslim No. 1339)

Daripada kedua-dua hadis di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW melarang seseorang wanita untuk bermusafir melainkan terdapat mahram bersama-sama dengannya.

Antara hikmah larangan ini adalah bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dua Pandangan Ulama Bagi Wanita Yang Tidak Memiliki Mahram

Namun, dalam konteks pelaksanaan haji bagi wanita yang tidak memiliki mahram, maka para ulama telah berbeza kepada dua pandangan:

Menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, tidak harus bagi wanita seumpama ini melaksanakan kewajipan haji. Pandangan ini juga dipegang oleh Ibrahim al-Nakhaie, Hasan al-Basri, Ishak dan Abu Thaur.

Manakala bagi Mazhab Maliki dan Al-Syafie, diharuskan bagi perempuan yang tidak memilki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuni syarat wajib haji tetapi hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Nawawi telah menukilkan dalam kitabnya al-Majmu’ (8/342).

Musafir Bukan Disebabkan Darurat

Namun, dalam konteks permusafiran wanita bukan disebabkan darurat seperti umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, melancong dan sebagainya, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:

Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.

Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan dalam kalangan ulama:

Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada Mazhab Maliki dan Al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.

Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Bagi menjawab persoalan berkenaan sebahagian wanita bersama-sama NGO dalam menyertai misi bantuan, kami cenderung berpandangan ia dibolehkan namun perlu meraikan beberapa syarat yang berikut:

– Hendaklah wujudnya keperluan yang mendesak.

– Perlu mendapatkan keizinan daripadanya wali dan juga pemerintah.

– Hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya.

– Bukanlah perjalanan jauh yang mengundang kesulitan dari sudut pengurusan dan pentadbiran.

Kesimpulannya, Islam datang dengan hukum dan peraturan-peraturan bagi menjaga dan memastikan kemaslahatan ummah terpelihara. Maka, jagalah adab-adab serta maruah sebagai seorang wanita Islam walau di mana sahaja kita berada.

Sumber rujukan:
Al-Kafi li Al-Fatawi Siri ke-530: Wanita Menyertai Misi Bantuan Tanpa Mahram


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami