Gaya Hidup

Hukum Membunuh Ular Yang Masuk Ke Dalam Rumah

Oleh Natirah Azira  •  3 Jul 2020  •  3 min baca

Kata orang tua-tua, apabila ular masuk ke rumah, jangan dibunuh terus. Beri pesanan kepadanya tiga kali supaya keluar dari rumah. Setelah itu, jika ia masih tidak keluar, barulah boleh dibunuh.

Pesanan ini berbunyi aneh. Bagaimana manusia dapat berinteraksi dengan ular yang merupakan binatang. Bagaimana ia boleh faham? Adakah amalan ini suatu amalan yang tidak ada asasnya dalam Islam?

Amalan ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan kepercayaan dalam Islam bahawa jin boleh beralih rupa bentuk kepada binatang. Menurut Imam Suyuti, jin Islam boleh beralih rupa bentuk kepada ular yang tidak berbahaya.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri R.anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada ular di rumah. Apabila kalian melihatnya, maka buatlah peringatan tiga kali. Apabila pergi, maka biarkan dan apabila tidak mahu pergi, maka bunuhlah.” (HR. Muslim, no. 2236)

Dalam riwayat lain, diceritakan bahawa segolongan jin telah masuk Islam di Madinah, lalu Rasulullah SAW memperingatkan umat Islam agar memberi perigatan dahulu dan jangan terus dibunuh ular yang masuk ke dalam rumah, bimbang yang dibunuh adalah jin Islam.

#1- Ular Yang Ada Di Dalam Rumah

Para ulama berselisih pendapat tentang ular yang berada di dalam rumah – sama ada perlu membunuhnya atau tidak. Terdapat empat pendapat bagi perkara ini;

Sebahagian Ulama Mazhab Hanafiyah: Ular boleh dibunuh tanpa diberi peringatan.

Mazhab Maliki: Tidak boleh membunuh ular yang ada di dalam rumah sehinggalah diberi peringatan sama ada di wilayah Kota Madinah atau di bahagian wilayah-wilayah lain.

Pendapat Imam Nafi’: Tidak boleh dibunuh ular dalam rumah yang ada di Kota Madinah kecuali setelah diberi peringatan tiga kali. Ular yang berada di luar Madinah boleh dibunuh sekalipun tidak diberi peringatan.

Pendapat Umar R.anhu:

Tidak perlu dibunuh ular yang berada di dalam rumah mahupun di luar rumah kecuali yang berbisa.

#2- Ular Yang Ada Di Luar Rumah

Para ulama bersepakat bahawa dibolehkan membunuh ular yang berada di kawasan luas terbuka (bukan di dalam rumah).

Ibnu Abdilbarr rahimahullah berkata; “Para ulama ber’ijma’ tentang bolehnya membunuh ular padang pasir, baik yang kecil ataupun yang besar dalam semua jenis ular. (At-Tamhid karya Ibnu Abdilbarr 16/27)

Dalam situasi ini, dibolehkan juga membunuh ular tanpa memberi peringatan terlebih dahulu kepada ular tersebut sebelum membunuhnya atau dengan memberi peringatan terlebih dahulu.

Manakala Ibnu Hajar rahimahullah menyimpulkan masalah ini dalam pernyataan beliau, “Menurut semua pendapat, ular boleh dibunuh di daratan dan padang pasir tanpa diperingatkan dahulu”. (Fathul Bari, 6/221)

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat para ulama di atas, maka adalah harus memperingatkan terlebih dahulu ular yang masuk ke dalam rumah agar ia berlalu daripada situ. Manakala jika ular yang ditemui di luar rumah, tidak ada larangan dalam Islam untuk membunuhnya.

Namun, pada masa sekarang, kita mempunyai pilihan lain iaitu menghubungi pasukan penyelamat, seperti pihak bomba atau pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Selain itu, boleh juga diambil gambar ular tersebut sebagai langkah pencegahan supaya jenis ular dapat dikenal pasti dan anti-venom yang sesuai dapat diberikan jika digigit.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami