Membayar zakat adalah dengan mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Hukumnya adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam yang layak dan memenuhi segala syarat wajib. Antara hikmah pembayaran zakat ialah untuk menyuburkan dan membersihkan harta pembayar zakat.
Sebagaimana firman Allah yang menyebut;
Mafhum: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah At-Taubah, 9:103)
Bagaimanapun, jika pembayaran zakat itu disifatkan membersihkan harta, adakah harta yang haram juga boleh dizakatkan untuk tujuan ‘penyucian’ itu?
Dalam hal ini pertama sekali kita perlu faham bahawa harta yang terang datang daripada sumber yang haram seperti merompak, riba dan mencuri adalah jelas perbuatan yang haram.
Maka, untuk menyucikan perbuatan itu adalah dengan memulangkannya kembali kepada pemilik asalnya dan bertaubat. Harta yang diambil dengan cara yang haram itu tidak akan menjadi milik kita walaupun dizakatkan.
Justeru, harta yang haram ini tidak boleh dizakatkan dengan tujuan untuk menyucikannya.
Sebagaimana sebuah riwayat dari Ibnu Umar RA, Baginda SAW bersabda;
Maksud: “Solat itu tidak akan diterima tanpa bersuci, dan sedekah juga tidak diterima dari harta yang ghulul (khianat secara mutlak; mencuri).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 244)
Dan dalam kaedah fiqh ada menyebut;
Maksud: “Harta yang haram semuanya kotor sehingga tidak dapat dibersihkan. Yang wajib dilakukan terhadap harta haram adalah dengan mengembalikan harta itu kepada pemiliknya, jika diketahui akan pemiliknya. Jika tidak, maka wajib mengeluarkan semua harta haram itu dan diberikan dengan niat kepada pemilik asalnya. Inilah yang disepakati di antara semua ulama dari berbagai mazhab.” (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 23/249)
Justeru, dapat dilihat di sini bahawa harta yang datang dari wang yang haram adalah tidak wajib untuk dizakatkan. Hukumnya juga adalah tidak sah.
Cara untuk membersihkan harta tersebut adalah dengan memulangkannya kembali kepada pemiliknya atau diberikan untuk kegunaan awam yang boleh memberi manfaat.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Konsultasi Syariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.