Inspirasi

Hanya Allah Yang Mampu Menyembuhkan Hati Yang Terluka

Oleh Natirah Azira  •  20 Feb 2019  •  2 min baca

Tidak ada orang yang tidak pernah diuji dalam hidupnya. Antara ujian yang paling besar adalah ujian yang melibatkan hati – terluka, disakiti, berpisah dari orang yang disayangi, kematian dan sebagainya – hingga membuatkan kita trauma dan fobia dengan apa yang dihadapi.

Ujian yang melibatkan emosi ini juga pernah terjadi kepada umat terdahulu. Salah seorang yang diuji adalah ibu kepada Nabi Musa. Saat arahan dan perintah dikeluarkan untuk membunuh semua anak laki-laki yang ada, Allah telah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa untuk meletakkannya di dalam sebuah bekas dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

Pada logik kita hari ini, bagaimana kita sanggup melepaskan anak yang masih kecil dihanyutkan ke sungai – dalam keadaan tidak tahu akan hanyut ke mana anak itu nanti, selamatkan peti tersebut atau akan tenggelam, bagaimana pula jika anak tersebut menangis kelaparan. Namun pilihan yang ada hanya dua, sama ada melihat anak itu disembelih di hadapan mata, atau menghanyutkannya.

Hinggakan disebut dalam ayat Al-Quran bahawa setelah menghanyutkan anak kecil tersebut, hati ibu Musa menjadi kosong sekosongnya – seperti keadaan yang biasa kita alami setelah melalui kesedihan yang teruk.

“Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahasia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hati- nya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah)” (Surah Qasas 28 :10)

Lalu Allah mengatakan bahawa jika tidak kerana Allah mengikat(menguatkan) hatinya maka pasti Ibu Musa akan berteriak dan melaung memberitahu orang ramai apa yang telah terjadi kerana tidak tahan lagi menanggung keperitan yang dirasa.

Setelah itu barulah beliau mampu berfikir dengan tenang dan menyuruh kakak kepada Nabi Musa pergi memeriksa tentang keberadaan bayi tersebut.

Setelah melalui pengalaman yang sangat menyakitkan, kita mungkin merasakan bahawa kita tidak mampu untuk menyembuhkan hati sendiri, namun Allah berkata bahawa Allah lah yang mampu menyembuhkan. Kita mungkin tidak mampu memaafkan, namun Allah lah yang mampu melembutkan hati kita sehingga kita mampu memaafkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami