Ibadah

Hadis Amalan Membaca Yasin Pada Malam Jumaat, Apa Anda Perlu Tahu

Oleh Natirah Azira  •  18 Mar 2019  •  4 min baca

Masih segar di ingatan penulis, dahulu sewaktu masih di bangku sekolah menengah, bacaan Yasin akan selalu diadakan pada malam Jumaat. Pelajar asrama diwajibkan untuk menghadiri bacaan Yasin yang akan menjadi aktiviti mingguan tersebut.

Anda juga pasti pernah menyertai program bacaan Yasin di mana-mana surau atau masjid berdekatan rumah. Ia menjadi budaya yang seolah-olah wajib diamalkan dalam masyarakat Melayu.

Namun timbul di benak, apakah sebenarnya manfaat atau fadhilat yang diperoleh daripada bacaan Yasin? Adakah hadis yang khusus bercerita tentang kelebihan Surah Yasin.

Jawapannya, kebanyakan hadis yang dijumpai berkenaan kelebihan Surah Yasin bertaraf dhaif (lemah) atau palsu. Berikut antaranya:

#1- Orang Yang Membaca Surah Yasin Pada Malam Hari

Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”. (Riwayat Ibn Hibban, no. hadis 2574]

Walaupun Ibnu Hibban meletakkan hadis ini dalam KItab Sahih Ibnu Hibban, namun hadis ini diperselisihkan oleh para ahli hadis tentang status kesahihannya.

#2- Hadis Tentang Surah Yasin Sebagai Hati Al-Quran

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا ، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ ( يس ) ، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”. (Riwayat al-Tirmizi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. 3282)

Hukum

Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa ini gharib (diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja) (Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. 2812)

Imam al-Mizzi dan Imam al-Zaila’iy menaqalkan(mengkhabarkan) pendapat al-Tirmizi yang menyatakan salah seorang daripada perawi di dalam hadis ini adalah majhul (perawi yang tidak diketahui keadilan dan ketepatannya) iaitu Harun Abu Muhammad. Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar juga berpendapat sedemikian.

Imam Ibn Kathir menyatakan tidak sahih disebabkan sanadnya dhaif (lemah).

#3- Seperti Membaca Al-Quran Sebanyak 12 Kali

Daripada Ubaiy bin Ka’ab, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin kerana Allah SWT akan diampunkan oleh Allah SWT akan dosanya, akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak 12 kali. Begitu juga, apabila dibacakan surah Yasin pada orang yang sakit, akan turun kepadanya setiap satu huruf sepuluh orang malaikat yang akan berdiri di sisinya dalam keadaan berbaris dan para malaikat tersebut akan selawat dan beristighfar kepadanya serta menyaksikan ketika nyawanya diambil dan akan memandikannya.

Tambahan pula, akan mengikut jenazahnya serta sembahyang ke atasnya dan menyaksikannya ketika ditanam. Selain itu juga, apabila dibacakan surah Yasin ke atas orang yang sakit ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak akan diambil nyawanya oleh malaikat maut sehingga datang malaikat Ridhuan iaitu penjaga syurga dengan membawa minuman daripada syurga maka orang tersebut akan meminumnya ketika berada di atas katil maka dia pun meninggal dalam keadaan tenang dan orang tersebut tidak mengharapkan lagi telaga daripada telaga nabi-nabi sehingga dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tenang (bahagia)”.

Syeikh al-Albani menghukumkan hadis tersebut adalah palsu. (Lihat: al-Silsilah al-Dhaifah, no. 4636)

#4- Surah Yasin Tergantung Niat Orang Yang Membacanya

Ada pula hadis yang berbunyi seperti ini,

يس لِمَا قُرِئَتْ لَهُ

“Surah Yasin tergantung niat orang yang membacanya”.

Maksudnya adalah bahawa bacaan surah Yasin dapat memenuhi keperluan dan memudahkan urusan sesuai yang diniatkan ketika membacanya.

Imam Sakhawi rahimahullah mengulas tentang hadis ini, “Tidak ada asalnya (hadis) dengan pemberitahuan seperti ini.” (Al-Maqasid Al-Hasanah, 741. Al-Qadhi Zakariya dalam catatan Baidhawi mengatakan bahawa hadis ini mawdhu’ (palsu) . Sebagaimana terdapat dalam ‘Kasyful Khafa’, hlm. 619 dan yang lainnya.)

#5- Setiap Huruf Yang Dibaca Akan Menjelma Sebagai Cahaya Kelak

Dikatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yasin dan rakaat kedua surah al-Mulk. Allah SWT jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima buku amalannya di tangan kanannya dan diberi kesempatan untuk membela 70 orang daripada ahli keluarganya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik”.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan tidak menjumpai sumber asal hadis ini. Maka, ianya tidak boleh diguna pakai. Hukum asal dalam hal ibadah adalah tawaqquf (terhenti) atau tidak dilakukan sehingga adanya dalil yang menceritakan tentang hal tersebut.

Kesimpulan

Membaca Surah Yasin sebenarnya tidak lah salah, cuma ia tidak perlu dikaitkan dengan kelebihan dan fadhilat yang tidak diketahui kebenarannya. Apa yang kita pasti, Allah akan tetap memberi kelebihan pahala membaca apa jua ayat di dalam Quran dengan pahala satu huruf bersamaan dengan sepuluh ganjaran.

Penulis juga melihat budaya bacaan Yasin yang diamalkan di surau-surau sebagai satu acara yang mampu mengumpulkan masyarakat setempat untuk berkumpul, bersilaturahim sambil melakukan ibadah mengingati Allah. Selain itu, boleh juga dianjurkan acara membaca Surah Al-Kahfi atau Surah Al Mulk yang sememangnya cerita tentang kelebihannya terdapat dalam hadis sahih. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumaysho.com

Baca juga:
Kelebihan Surah Al-Kahfi, Sajdah dan Yasin
Surah Al Mulk Penghalang Dari Seksa Kubur


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami