Gaya Hidup

Fitnah Dalam Beragama

Oleh Natirah Azira  •  2 Jan 2020  •  5 min baca

Pelbagai fitnah yang mendukacitakan timbul yang dikaitkan dengan golongan agamawan pada masa sekarang. Ada yang dilihat memaparkan penampilan soleh, pandai bercakap tentang hal-hal agama di khalayak, namun akhirnya tersebar berita-berita yang tidak enak didengar. Lalu gelaran ‘penunggang agama’ diberikan oleh orang ramai.

Ada pula yang menyanggah dan mempersoalkan mengapa hanya golongan ‘agama’ yang diserang sebegitu sedangkan ia juga dilakukan oleh orang lain. Ia mencetuskan pula masalah lain, iaitu budaya berdebat dan menyebarkan keburukan orang lain terutama di ruang media sosial.

Imam Hasan al-Basri memberi komen terhadap orang-orang yang suka berdebat sehingga mencetuskan permusuhan dan perselisihan faham – bahawa mereka ini adalah orang yang sudah bosan dalam beribadah, kerana itu mereka tidak menjaga percakapan sehingga sangat bermudah-mudah dalam berkata-kata serta berkurang rasa hati-hati.

Jadi Tumpuan Kerana Terlibat Dalam Dunia Media

Walau bagaimanapun, ia adalah hakikat yang tidak dapat dielakkan – mereka lebih menjadi tumpuan kerana telah terlibat dalam dunia media.

Agama telah diketengahkan dalam ruang tersebut melalui rancangan atau pertandingan realiti dengan matlamat ilmu agama lebih mudah sampai kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, antara perkara yang perlu dibayar pastilah amanah yang perlu dijaga sebagai ‘jurucakap’ agama dan juga privasi kehidupan sendiri.

Berbalik kepada masalah yang dinyatakan di atas, pasti banyak persoalan yang akan timbul di benak kita.

Mengapa hal tersebut boleh terjadi? Mengapa mereka boleh mengambil tindakan sedemikian rupa? Apa yang tidak kena sedangkan ilmu agama sudah ada di dada?

Jika kita meneliti kata-kata Imam Hassan al-Basri, mungkin kita akan menjumpai jawapannya. Kata beliau ilmu itu ada dua jenis; Pertama yang sebati di dalam hati dan juga ilmu yang hanya pada lidah.

Ilmu yang sebati dalam hati adalah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah, yang membuatkan seorang hamba menjauhi perkara yang dilarang, yang menyebabkan mereka menjaga hubungan sesama manusia serta membuatkan rasa syukur dan rendah diri semakin bertambah.

Ilmu Yang Menjadi Fitnah

Apabila suatu ilmu itu tidak lagi mampu diserap oleh hati untuk membuahkan amal yang baik, bukankah ilmu yang ada pada diri seseorang itu sudah bertukar menjadi fitnah dan cubaan buat diri sendiri?

Ilmu itu akhirnya membuat seseorang berasa tinggi diri, berasa hanya diri yang betul dan tidak dapat menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Akhirnya ia hanya menjadi ilmu yang terpisah dari iman.

Ustaz Hasrizal dalam perkongsian di laman web nya pernah memetik kata-kata daripada Syeikh Fadhl Hasan ‘Abbas (meninggal dunia 9 Februari 2011).

Beliau dalam kitabnya Khumasiyyat Mukhtarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammarah menyatakan bahawa ilmu yang terpisah daripada iman lah yang menjadi penyebab kepada manusia bersikap angkuh dan melampau.

Manakala kata Imam Birgivi (meninggal dunia 1573), punca kepada sifat ego itu ada tujuh iaitu; ilmu, ibadah, nasab, keelokan paras rupa, kekuatan, harta dan pengikut. Namun, ego yang berpunca daripada ilmu adalah yang paling berbahaya dan sukar dirawat.

Bercakap tentang ujian ilmu, Nabi Musa sendiri pernah diuji dengan ilmu. Saat kaumnya bertanya kepadanya – “Wahai Musa, adakah orang yang lebih alim dari engkau di muka bumi ini?”. Dijawab oleh Nabi Musa, “Tidak ada”. Lalu Allah menegur Nabi Musa dengan berkata,

“Sesungguhnya di sisiKu ada seorang hamba yang berada di pertemuan lautan dan dia lebih berilmu daripada engkau” (Direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)

Akhirnya Nabi Musa disuruh oleh Allah supaya belajar tentang ilmu yang tidak dimilikinya daripada Nabi Khidir.

Mengasingkan Antara Hakikat Beragama Dan Hakikat Bertuhan

Kemungkinan lain yang menyebabkan perkara sebegini berlaku adalah kerana tanpa sedar kita telah mengasingkan antara agama dan Tuhan sehingga melahirkan beberapa golongan.

Pertama yang hanya menfokuskan kepada ibadah zahir semata-mata tanpa benar-benar merasai diri sedang bertuhan – solat dilakukan, puasa ditunaikan, zakat diberi namun tidak mengambil berat tentang halal haram dalam urusan harta contohnya, melupakan hutang yang telah dipinjam serta tidak menjaga hubungan baik dengan orang di sekeliling.

Kedua, yang mengaku dan percaya diri bertuhan, yang yakin bahawa Tuhan tidak akan menyusahkan, lalu bermudah-mudah dalam urusan ibadah zahir. Apa yang difokuskan hanyalah pada aspek kepercayaan sahaja.

Dan yang ketiga adalah yang tidak memikirkan kedua-duanya; tidak mengambil berat tentang ibadah yang zahir mahupun kepercayaan kepada Tuhan.

Jika kita berfikir bahawa agama hanya pada perbuatan ibadah semata, tanpa memahami dan mengenali ‘pencipta’ ibadah itu sendiri, maka jadilah ibadah itu perbuatan kosong semata-mata.

Namun, jika kita memahami bahawa ibadah yang dilakukan adalah bukti kepercayaan dan menyedari dengan mendalam bahawa kita sedang bertuhan, ia tergabung menjadi suatu yang lebih sempurna.

Kesimpulan

“Dan (demi) jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu (dengan ketakwaan) dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya (dengan kefasikan).” (Surah As-Syams: 7-10)

Jiwa seperti cermin kaca. Akan ada kotoran dan habuk yang akan melekat padanya dari semasa ke semasa. Jika kita hanya membiarkan, maka lama-kelamaan, kita tidak akan dapat lagi melihat dengan jelas cahaya kebenaran yang memancar dari luar. Kita tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah.

Maka jiwa perlu dibersihkan sentiasa, dengan ilmu, dengan mendengar peringatan, dengan beruzlah dengan Tuhan, mengasingkan diri mencari ketenangan, serta melakukan refleksi dan hisab tentang kehidupan yang sedang dijalani. Semoga akhirnya kita kembali menjadi seorang yang benar-benar beragama dan bertuhan.

Rujukan:

Takutilah Fitnah Ilmu dan Tahu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami