Ibadah

Dua Mata Yang Tidak Disentuh Oleh Api Neraka

Oleh Natirah Azira  •  5 Nov 2018  •  4 min baca

Tangisan ialah suatu manifestasi rasa yang ada dalam hati. Kata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, tangisan itu ada pelbagai- ada tangisan kerana kasih dan simpati, ada tangisan kerana takut dan gerun. Ada pula tangisan cinta dan rindu dan ada tangisan kerana suka dan duka.

Bila agaknya kali terakhir kita menangis kerana takut dan rindu kepada Allah? Mungkin timbul dalam benak kita; “Mengapa aku sukar menangis?”

Barangkali kerana kita tidak membiasakan diri bercakap dengan Allah, bersunyi-sunyi dalam solat, menghisab diri dan apa yang dilalui sehari-hari. Apabila melakukan dosa, kita tidak membersihkan semula hati dengan lafaz istighfar.

Dari Abu Hurairah RA, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda, “Seorang hamba apabila melakukan satu dosa, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan istighfar serta bertaubat, hatinya dibersihkan.

Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang artinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.”

Dua Mata Yang Tidak Disentuh Oleh Api Neraka

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Dari Ibnu Abbas ia berkata; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka iaitu; mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari berjaga kerana membela agama Allah”. (Sunan Tirmidzi No:1563) Status: Hadis Sahih

Rasulullah SAW serta ulama-ulama terdahulu, mereka merupakan pejuang-pejuang Islam, mereka adalah orang yang terlihat hebat dan kuat di mata manusia, pahlawan di tengah perang, sibuk melayani keperluan manusia di siang hari, namun saat malam menjelma, mereka seperti anak kecil yang mengadu dan menangis di hadapan Allah SWT kerana rasa cinta, takut dan rindu yang mendalam.

Kata Abdullah bin ash-Shakhir:
“Aku masuk kepada Rasulullah s.a.w, baginda sedang bersolat, dalam dada baginda bagaikan bekas air yang mendidih kerana menangis” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dll. Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menilainya sahih)

Maka akupun mulai membacakan kepadanya surat an-Nisaa’. Sampai akhirnya ketika aku telah sampai ayat ini (yang artinya), “Lalu bagaimanakah ketika Kami datangkan saksi bagi setiap umat dan Kami jadikan engkau sebagai saksi atas mereka.” (QS. an-Nisaa’ : 40).

Maka beliau berkata, “Cukup, sampai di sini saja.” Lalu aku pun menoleh kepada beliau dan ternyata kedua mata beliau mengalirkan air mata.” (HR. Bukhari [4763] dan Muslim [800]).

Diceritakan bahawa pada suatu malam Al-Hasan al-Bashri RA terbangun dari tidurnya lalu menangis sehingga tangisannya membuat segenap penghuni rumah terkejut dan terbangun. Maka mereka pun bertanya mengenai keadaan dirinya, dia menjawab, “Aku teringat akan sebuah dosaku, maka aku pun menangis.”

Untuk Memperoleh Rasa Syahdu Dan Tangisan Rindu Perlukan Usaha

Dalam kalangan para salafussoleh ada menyebut:

“Menangislah kerana takutkan Allah. Jika engkau tidak menangis, berusahalah menangis” (Zaad al-Ma’ad, 1/185).

Ada suatu kisah tentang Salman al-Farisi, sebelum beliau meninggal. Sa’ad bin Abi Waqqas ada menziarahinya ketika Salman dalam kesakitan. Salman menangis, lalu Sa’ad bertanya:

“Apakah yang membuat engkau menangis wahai saudaraku? Tidakkah engkau telah bersahabat dengan Rasulullah SAW. Tidakkah ini dan itu telah kau lakukan?” Jawab Salman: “Daku tidak menangis kerana salah satu dari dua perkara. Aku tidak menangis kerana cintakan dunia ataupun bencikan akhirat. Namun daku menangis kerana mengenang Rasulullah SAW telah berjanji denganku satu perjanjian yang mana aku berpendapat aku telah melanggarnya”.

“Apakah yang Rasulullah janji dengan engkau” Tanya Sa’ad. Jawab Salman: “Baginda berjanji bahawa cukuplah seseorang kamu mengambil dunia dengan kadar seorang pengembara. Daku rasa daku telah melanggarnya”. (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Hadis sahih)

Betapa berhati-hatinya sahabat Rasulullah SAW dalam menjaga nilai akhirat hinggakan di penghujung hayatnya, beliau masih memikirkan tentang kualiti amalnya di dunia . Dunia hanya sekadar dipegang di tapak tangan dan bukan di hati. Dunia diambil sekadar yang perlu sahaja.

Sesuatu yang berharga sukar diperoleh jika tidak dengan usaha, lebih-lebih lagi dalam hal ibadah dan usaha mendekatkan diri kepada Tuhan. Ambillah peluang yang telah diberikan, kerana tangisan di dunia pun mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami