Gaya Hidup, Keluarga

Drama Cari Aku Di Syurga – Pentingnya Ilmu Dalam Rumah Tangga

Oleh Fieyzah Lee  •  21 Jun 2019  •  7 min baca

Sebuah drama bersiri Cari Aku Di Syurga arahan Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai budak Ijat telah menjadi sebuah drama yang mendapat respon dan komen positif dari rata-rata netizen dan penonton selepas drama bersiri Nur.

Drama yang mempunyai 17 episod gandingan antara Aeril Zafrel, Janna Nick dan Mimi Lana sebagai teraju utama itu telah membawa banyak nilai dan pengajaran yang boleh diambil iktibar dalam kehidupan rumah tangga terutamanya.

Rata-rata netizen memberikan komen yang positif bukan sahaja disebabkan oleh peranan setiap pelakon yang telah memainkan watak dengan baik, namun disebabkan oleh unsur dan realiti masa kini yang sangat dekat dengan kita.

Pengarah sendiri telah membawa idea yang sangat hebat dan jalan cerita yang cukup menarik sehingga mampu menyentuh hati ramai pihak.

Pelbagai emosi yang telah ditonjolkan oleh penonton. Menerusi beberapa tweet yang telah ditulis dengan carian tanda pagar cari aku di syurga, rata-rata menunjukkan emosi marah, sedih, gembira dan sebagainya sepanjang 17 episod itu dimainkan di TV3.

Penulis melihat cerita ini sebagai sebuah bahan pengajaran yang boleh diambil untuk mereka yang ingin membina masjid. Walaupun banyak unsur lain yang telah ditonjolkan, namun suka untuk penulis berkongsi mengenai bagaimana pentingnya ilmu dalam sesebuah rumah tangga.

Jika dilihat manusia zaman sekarang terutamanya yang berada dalam linkungan remaja, mereka hanya tahu bercinta. Menjadikan percintaan sebagai trend dan pasangan sebagai sesuatu yang perlu ada dalam kehidupan.

Apabila berbincang soal perkahwinan atau diajak menikah, pastinya mereka akan berfikir untuk membuat persiapan zahir sahaja, namun persiapan dari segi ilmu dan batin, hampir tiada.

Sedangkan melayari alam rumah tangga ini seperti melayari bahtera yang penuh dengan ombak dan liku. Masing-masing perlu mempunyai ilmu yang kuat dan betul untuk mengemudinya dengan baik.

Pentingnya Ilmu Dalam Perkahwinan

Kebiasaannya, pasangan Islam yang ingin berkahwin perlu menjalani kursus perkahwinan yang telah dianjurkan oleh mana-mana organisasi atau jabatan agama yang terdekat bagi mempelajari ilmu mengenai alam perkahwinan.

Dalam undang-undang Malaysia pula, kursus perkahwinan merupakan syarat untuk mendaftarkan perkahwinan sesebuah pasangan.

Tanpa sijil daripada kursus perkahwinan tersebut, pasangan tidak boleh mendaftarkan perkahwinannya. Walaupun ia kelihatan agak leceh kerana perkahwinan dalam Islam sebenarnya mudah dengan hanya mengikut empat rukun perkahwinan sahaja, namun ini merupakan salah satu usaha kerajaan dan jabatan agama sendiri agar pasangan sempat menuntut ilmu perkahwinan dan tidak terkapai-kapai dalam menguruskan rumah tangga.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan urusan dunia dan kerja lain sehingga tidak sempat untuk berguru, jadi inilah masanya untuk menuntut ilmu.

Bahkan, kebanyakan daripada faktor penceraian yang banyak berlaku adalah disebabkan kurangnya ilmu dalam mengemudi rumah tangga selain daripada faktor kurangnya komunikasi dan persefahaman sesama pasangan.

Allah juga telah berfirman melalui kalamnya yang berbunyi:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fatir, 35:28)

Orang yang berilmu ini kebiasaannya akan berpandukan ilmu dalam setiap perbuatan dan tindakannya. Jika ilmu itu berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, maka itu adalah lebih baik.

Penulis melihat dalam drama ini pasangan yang berkahwin adalah disebabkan oleh cinta semata-mata. Watak si suami yang tidak bertegas dan terlalu lembut sehingga layak digelar dayus kerana terlalu manja dan ikutkan si isteri.

Seseorang suami tidak sepatutnya terlalu mengikut telunjuk isteri, malah suami berhak melakukan apa sahaja (mengikut syariah) terhadap isteri dan rumah tangganya. Hal ini kerana, suami merupakan ketua keluarga yang tugasnya adalah untuk memimpin dan melindungi keluarga dengan baik dan mengelakkan daripada terjerumus ke lembah yang merosakkan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya).” (Surah At-Tahrim, 66:6)

Syurga Isteri Pada Suami

Seorang suami yang baik pasti akan menjaga isteri dan keluarganya daripada terjerumus ke lembah dosa. Hal ini kerana, syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami. Maka, si isteri perlu patuh kepada suaminya walau apa jua keadaan (mengikut syariah).

Melalui sebuah hadis yang pernah diriwayatkan oleh Aisyah RA yang bermaksud:

“Aku pernah bertanya kepada baginda: “Siapa orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi: “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis Riwayat Bazar dan Al-Hakim)

Oleh itu, si isteri wajib taat dan patuh kepada suaminya selagi mana ia tidak melanggar hukum hakam dan pegangan Islam sendiri. Si isteri wajib membahagiakan suaminya kerana ia merupakan salah satu tugas sang isteri. Malah, ada sebahagian ulama’ berpendapat bahawa berdosa seorang isteri yang menolak ajakan suami untuk bersama jika tiada musyaqqah (kesusahan) lain seperti sedang dalam keadaan haid dan nifas atau sebagainya dengan tolakan yang tidak menyinggung perasaan suami.

Reda Dengan Keadaan Suami

Jika sebelum berkahwin sudah mengenali keluarga masing-masing dan boleh menerima keadaan kewangan serta taraf hidup pasangan, maka penerimaan itu perlulah diteruskan dengan hati yang ikhlas untuk melayari alam perkahwinan.

Kadang-kadang, ada pasangan yang bercerai disebabkan tidak dapat menerima keadaan pasangan masing-masing, sama ada si isteri yang tidak reti mengemas rumah atau si suami yang tidak mampu menunaikan kehendak isteri.

Menerusi drama ini, penulis melihat watak Lisa yang dimainkan oleh Janna Nick, merupakan seorang perempuan dari keluarga berada yang telah berkahwin dengan cinta hatinya, namun dari golongan yang biasa-biasa sahaja. Dalam erti kata lain, mereka merupakan pasangan yang tidak sekufu. Justeru, kehidupan mereka menjadi porak-peranda disebabkan oleh sikap isteri yang tidak reda dengan keadaan suaminya.

Dalam hal ini, jumhur ulama’ pernah mengeluarkan pendapat bahawa selagi mana seorang suami itu mampu memberikan keperluan yang cukup dari segi zahir dan batin seperti makan yang cukup dan tidak kebulur, pakaian yang menutup aurat dan didikan agama yang elok, maka tugas si suami dalam rumah tangga dikira terlaksana tanggungjawabnya.

Disebabkan itulah, mereka yang berpengalaman dalam rumah tangga pernah memberikan nasihat bahawa sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, seeloknya dikaji latar belakang bakal pasangan tersebut. Bimbang jika tidak timbul keserasian antara dua belah keluarga.

Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara suka-suka dan kerana cinta semata-mata, namun setiap pasangan perlu menilai dan mengkaji sikap setiap pasangan masing-masing. Ini kerana sesebuah perkahwinan itu akan dilayari dalam jangka masa yang lama. Pasti kita tidak ingin ia berakhir dengan penceraian, bukan?

Dalam drama ini juga ada ditunjukkan mengenai sikap isteri yang tidak memahami suami dan akhirnya dia memilih untuk meninggalkan rumah tangganya akibat terlalu tertekan dengan situasi yang dilami. Ibarat kata orang tua-tua, cinta tidak boleh memberi makan.

Sebagai suami pula, selain daripada memenuhi keperluan isteri dan rumah tangga, anda juga perlu berusaha untuk memberi kehendak kepada isteri. Sebagai contoh, sekali-sekala belanja isteri makan untuk memberinya kerehatan daripada tugasnya selama ini atau memberi hadiah dan sebagainya.

Seorang suami perlu cuba memahami kehendak dan kemahuan isteri untuk menjaga keharmonian rumah tangga. Kejujuran itu juga penting. Jika tidak mampu, maka perlu wujudkan komunikasi agar tiada pihak yang tersinggung. Ini untuk mengelakkan persengketaan dalam sesebuah pasangan.

Restu Orang Tua Itu Penting

Akhir sekali penulis melihat bahawa dalam setiap perkara dan keputusan yang ingin diambil, seseorang anak itu perlu mendapatkan restu dan doa daripada kedua orang tua dan keluarga masing-masing. Ini adalah untuk menjadikan rumah tangga itu berkat dan harmoni. Kata orang, tanpa doa ibu, siapalah kita. Bahkan, syurga seorang lelaki masih lagi dibawah tapak kaki ibunya walaupun dia telah berkahwin.

Terlalu banyak kebiadapan yang ditonjolkan menerusi drama ini. Seorang anak yang ingkar dan tinggi suara terhadap ibunya menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa. Seseorang itu boleh jatuh derhaka jika melawan cakap ibunya walau hanya dengan menyebut ‘ah.’

Disebabkan tiada restu orang tua juga, sesebuah perkahwinan boleh musnah. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan terhadap mereka yang berkahwin lari atau dalam erti kata lain, perkahwinan mereka telah ditentang, menunjukkan bahawa lebih banyak penceraian yang terjadi.

Dalam hidup ini, ibu bapa ialah orang pertama yang kita kenal. Mereka ialah orang yang menjadikan kita sehingga ke hari ini, menjaga sakit, makan dan pakai kita. Oleh itu, janganlah membelakangkan mereka dalam setiap keputusan yang ingin dilakukan.

Walaupun kadang-kadang kita merasakan keputusan yang hendak diambil itu adalah sesuatu yang betul atau cara ibu bapa kita terlalu keras, tetapi janganlah sampai melawan mereka. Gunakanlah komunikasi yang berkesan seperti memujuk mereka dengan baik dan berdoalah agar Allah membuka hati mereka terhadap keputusan yang ingin dilakukan.

Kesimpulan

Penulis berpendapat bahawa drama ini telah berjaya menunjukkan corak pemikiran dan gaya hidup masyarakat zaman kini. Nilai dan pengajaran dapat dilihat dari sudut positif untuk pembelajaran.

Yang paling penting ialah anak muda zaman sekarang perlu sedar bahawa cinta bukan segalanya dalam perkahwinan. Tanpa ilmu yang lengkap, pasti payah untuk mengemudi rumah tangga dengan baik.

Rujukan: Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami