Ibadah

Doa Yang Boleh Dititipkan Kepada Mereka Yang Memberi Makan Orang Berpuasa

Oleh Fizah Lee  •  8 May 2020  •  2 min baca

Antara amalan mulia dan paling mudah untuk dilakukan pada bulan puasa ini ialah memberi makan kepada mereka yang berpuasa.

Apabila ditatal di laman-laman sosial, ramai yang mengambil peluang untuk menyedekahkan makanan sama ada berbuka atau bersahur kepada mereka yang berpuasa.

Tidak kiralah ia dalam kuantiti yang sedikit atau banyak kerana yang dinilai adalah keikhlasan hati seseorang dan bukan kuantitinya.

Jika anda sekadar memberi cucur pisang yang digoreng sendiri di rumah kepada pengawal keselamatan yang menjaga apartment rumah anda dengan ikhlas, besar nilainya di sisi Allah walau ia kelihatan kecil di mata manusia.

Bahkan, dalam sebuah hadis sahih juga ada menyebut bahawa ganjaran buat mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah besar nilainya di sisi Allah.

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 807)

Antara Doa Yang Boleh Dititipkan

Apabila kita mendapat makanan atau pemberian daripada seseorang, pastinya kita akan mengucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Walaupun kita tidak membalas pemberian mereka dengan balasan yang sama, namun sebenarnya dengan mengucapkan terima kasih itu mampu memberi seribu satu kebahagiaan kepada si pemberi.

Namun, tahukah anda sebenarnya Baginda SAW mengajarkan kita untuk turut membalas pemberian seseorang itu dengan menitipkan doa kepada mereka.

“Sesiapa yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kepadanya. Jika kamu tidak ada apa-apa untuk membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1672)

Terdapat beberapa kisah yang pernah diriwayatkan mengenai doa yang Baginda baca kepada mereka yang memberikan makanan.

Diriwayatkan daripada Miqdad RA yang menceritakan bahawa Baginda SAW mendoakannya yang memberikan makan ketika bersahur.

اللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي

Maksud: “Ya Allah, berilah makan kepada orang yang memberiku makan, berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2055)

Dalam riwayat yang lain menyebut, bahawa Nabi SAW telah datang kepada Sa’ad bin ‘Ubadah. Sa’ad pun telah menghidangkan kepada beliau roti dan minyak (pada waktu berbuka). Lalu Baginda memakannya. Kemudian, Baginda SAW mengucapkan:

Maksud: “Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisimu. Orang-orang yang baik memakan makananmu dan para malaikat telah mendoakanmu.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 1747)

Kesimpulan

Tuntasnya, apabila anda mendapat pemberian sama ada dalam bentuk makanan atau wang ringgit dan sebagainya, titipkanlah doa kebaikan buat mereka seperti yang diajarkan Baginda SAW.

Semoga keberkatan pemberian itu sampai kepada anda dan juga si pemberi.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Doa Kepada Orang Yang Memberi Makan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami