Ibadah

Doa Yang Boleh Dibaca Untuk Sentiasa Menjadi Manusia Bersyukur

Oleh Fizah Lee  •  5 Oct 2020  •  2 min baca

Nikmat dan kurniaan Allah kepada hambaNya sangat luas. Sama ada ia adalah yang kita boleh rasa dan sedar ataupun nikmat sekeliling yang jarang diberi perhatian, tetapi sentiasa ada pada diri kita.

Sebagai contoh, kita mempunyai rumah sebagai tempat untuk berteduh, itu adalah salah satu nikmat yang kita boleh lihat dan rasa.

Namun, nikmat yang kadang-kadang sering kita lupa tetapi itulah nikmat yang paling besar yang ada pada diri kita, iaitu nikmat kesihatan, nikmat iman dan nikmat mempunyai kelapangan masa.

Nikmat-nikmat seperti ini perlu disyukuri, sama ada dengan mengucapkan kalimah Alhamdulillah atau melakukan sujud syukur dan banyak lagi cara untuk menzahirkan rasa syukur kepadaNya.

Semakin kita bersyukur, semakin Allah menambah rezeki dan nikmat kepada kita dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.

Begitulah hebatnya kuasa syukur dan itulah bukti bahawa Allah itu Maha Pemurah.

Bahkan, salah satu cara untuk menjadi manusia yang sering bersyukur terhadap Allah adalah dengan berdoa.

Kita boleh meminta agar dikurniakan hati yang sentiasa rajin bersyukur kepadaNya dan dalam masa yang sama supaya tidak angkuh atau lupa kepada Allah apabila diberi sesuatu.

Doa ini ada disebut dalam hadis dari ‘Abdullah bin Mas’ud RA yang juga telah dikeluarkan oleh Al-Baihaqi.

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلاَمِ وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَبَارِكْ لَنَا فِى أَسْمَاعِنَا وَأَبْصَارِنَا وَقُلُوبِنَا وَأَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ مُثْنِينَ بِهَا قَابِلِيهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا

Maksud: “Ya Allah, satukanlah hati kami. Perbaikilah keadaan kami. Tunjukilah kami jalan-jalan keselamatan (menuju syurga). Selamatkanlah kami dari kegelapan menuju cahaya. Jauhkanlah kami dari perbuatan keji yang nampak mahupun yang tersembunyi. Berkatilah pendengaran, penglihatan, hati, keluarga dan keturunan kami. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jadikanlah kami hamba yang bersyukur atas nikmatMu, terus memujiMu dan menerima nikmat tersebut dan sempurnakanlah nikmat tersebut kepada kami.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 969, hadis ini dinukilkan sahih oleh Al-Hafiz Abu Thahir)

Tidak perlu menunggu mendapat sesuatu nikmat untuk mengucapkan syukur tetapi ia boleh dilakukan pada setiap pagi, iaitu apabila masih lagi diberi nafas untuk meneruskan kehidupan hari ini.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami