Setiap insan pasti pernah merasa perasaan sedih, kecewa dan ujian berat di hati yang melampau. Sama ada ia disebabkan oleh masalah kewangan, masalah pelajaran mahupun perhubungan sesama manusia.
Bahkan, diceritakan dalam sirah, Baginda SAW juga pernah mengalami kesedihan yang teramat sangat sehingga tahun itu digelar sebagai tahun kesedihan buatnya.
Ia terjadi disebabkan kedua-dua tulang belakang Baginda dalam dakwahnya telah pergi buat selama-lamanya, iaitu Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Bayangkan insan yang menjadi tonggak dalam hidup anda telah pergi buat selama-lamanya. Siapa pun yang mengalaminya pasti akan terbit perasaan sedih dan kekecewaan yang melampau.
Ia adalah sebuah al-Kaarb, iaitu sebuah perkara yang memberatkan manusia dan memenuhi ruang dadanya sehingga boleh wujud senario yang membuatnya marah.
Hal inilah yang perlu dielakkan oleh manusia kerana pada waktu itu, peratus mereka untuk membuat pertimbangan adalah rendah.
Kebanyakan mereka yang tidak mampu membuat pertimbangan dengan waras adalah disebabkan wujudnya kesedihan yang tidak boleh diterima sehingga mengakibatkan pergaduhan kepada mereka yang dirasakan tidak memahaminya.
Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang diajar dilakukan oleh Baginda SAW, iaitu diam dan berlalulah dari tempat tersebut.
Jangan biarkan kemarahan anda memonopoli emosi anda sehingga akhirnya anda tewas dengannya. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk mencari perkara yang boleh menenangkan anda.
Ada orang, apabila melihat langit, maka dia akan rasa tenang. Ada pula orang yang suka melihat air yang mengalir. Jadikan perkara-perkara tersebut sebagai suatu yang boleh mengalih perhatian anda agar tidak terus larut dalam emosi itu.
Dalam masa yang sama, terdapat sebuah doa yang diajar oleh Baginda SAW agar tidak terus tenggelam apabila berada dalam situasi ini. Doa ini ada diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih dan sentiasa diamalkan oleh Baginda serta para sahabat.
Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW ketika mengalami kesulitan dan kepayahan, Baginda akan mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ العَظِيمُ الحَليمُ ، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ العَرْشِ العَظِيْمِ ، لاَ إلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ العَرْشِ الكَرِيمِ
Maksud: “Tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Santun. Tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah, Rabb yang menguasai arasy Yang Maha Agung. Tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah. (Dia) Rabb yang menguasai langit, (Dia) Rabb yang menguasai bumi dan (Dia) Rabb yang menguasai arasy, lagi Maha Mulia.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6346)
Disunnahkan untuk membaca doa ini setiap kali anda berada dalam kesedihan yang melampau. Walaupun kesedihan yang kecil, ia juga boleh dibaca.
Dalam doa ini, kita melihat Baginda SAW menyebut pengagungan kepada Allah dan hanya Dia yang berhak disembah.
Ini membuktikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Ertinya di sini, Allah yang telah melemparkan kesedihan dalam hati anda dan Dia juga yang boleh menghilangkan kesedihan dari dari diri anda.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Rumasyho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.