Gaya Hidup

Doa Supaya Merasa Cukup Dengan Harta Dunia

Oleh Natirah Azira  •  29 Jan 2020  •  2 min baca

Para ilmuwan mengumpamakan dunia ini seperti air lautan. Ianya tidak dapat menghilangkan dahaga bahkan jika diminum sekalipun, akan mendatangkan mudarat kerana terlampau masin.

Dunia dipenuhi dengan hal-hal yang boleh menggelapkan mata. Jika kita sudah mendapat sejumlah harta, kita mahukan lebih lagi. Jika kita sudah memakai telefon pintar yang baik, kita mahukan yang lebih baru.

Kadang-kala sehingga mencapai tahap membazir dan mengundang pula penyakit hati yang lain seperti riak dan menunjuk-nunjuk. Lebih teruk lagi kita tidak lagi mempedulikan soal halal dan haram. Kita tidak peduli sumbernya dan bagaimana cara mendapatkannya. Kata orang, asalkan dapat. Akhirnya kita menjadi hamba dunia semata-mata.

Ancaman Tentang Harta Dunia

Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang ujian ini yang akan menimpa umat manusia.

Dari Abu Hurairah R.anhu, dari Rasulullah SAW:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يُبَالِى الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ ، أَمِنْ حَلاَلٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ

“Akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi peduli dari mana mereka mendapatkan harta, apakah dari usaha yang halal atau yang haram.” (HR. Bukhari, no. 2083)

Doa Yang Boleh Dibaca Supaya Berasa Cukup Dengan Harta Dunia

Allah menguji setiap dari manusia dengan perkara yang berbeza dan dengan cara yang pelbagai. Kita juga kadang kala tidak tahu akan diuji dengan jalan yang mana. Namun dalam hal ini, kita masih boleh mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW supaya terlindung daripada ujian harta.

اللَّهُمَّ اكْفِني بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

“Ya Allah cukupkanlah aku dengan yang halal dan jauhkanlah aku dari yang haram, dan cukupkanlah aku dengan karunia-Mu dari bergantung pada selain-Mu.” (HR. Tirmidzi, Ahmad dan Al-Hakim – hadis dinilai hasan menurut At-Tirmidzi)

Hakikatnya, kita memerlukan perlindungan daripada ujian harta ini bukan hanya kerana ia menjerumuskan seseorang ke dalam rasa leka dan alpa, tetapi kita juga mahu hidup lebih tenang.

Kesenangan harta bukan datang begitu sahaja. Ia datang bersama tanggungjawab dan amanah yang perlu dijalankan dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa setiap sen yang kita ada akan ditanya dari mana ia datang dan ke mana ia digunakan kelak. Semoga Allah memudahkan kita mencari rezeki yang halal dan baik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami