Ibadah

Doa Nabi-Nabi Apabila Ditimpa Ujian Dan Kesulitan

Oleh Natirah Azira  •  22 Jan 2019  •  3 min baca

Antara doa yang tidak akan ditolak pastinya doa yang dipohonkan oleh Nabi-Nabi, iaitu golongan yang sangat dekat dengan Allah SWT. Terdapat banyak kisah Nabi dan Rasul yang diceritakan semula di dalam Al-Quran serta doa-doa yang pernah dipanjatkan oleh mereka. Berikut antaranya:

#1- Doa Nabi Muhammad SAW Supaya Dimasukkan Dalam Urusan Yang Baik

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku” (Surah Al-Isra 17:80)

Doa Dilindungi Daripada Bisikan Syaitan

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ
وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ

Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”. (Surah Al-Mu’minun, 23: 97-98)

#2- Doa Nabi Yunus Ketika Dalam ‘Kegelapan’

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. [Riwayat al-Tirmizi (3505)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh berpendapat sanad hadith ini sebagai hasan]

#3- Doa Nabi Yusuf Agar Diberi Pengakhiran Yang Sempurna

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh“. (Surah Yusuf, 12:101)

#4- Doa Nabi Luth Agar Diselamatkan Daripada Orang Yang Jahat

رَبِّ نَجِّنِي وَأَهْلِي مِمَّا يَعْمَلُونَ

(Nabi Lut berdoa): “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.” (Surah As-Syu’ara 26:169)

#5- Doa Nabi Zakaria Agar Diberikan Zuriat

وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi“. (Surah Al-Anbiya’ 21: 89)

#6- Doa Nabi Musa Agar Diberi Kemudahan Dalam Ucapan

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

“Musa berkata, Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku” (Surah Thoha: 25-28)

Doa Supaya Diberi Rezeki Di Saat Tidak Punya Apa-Apa

فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan” (Surah Qasas. 28:24)

#7- Doa Nabi Ayyub Ketika Ditimpa Penyakit

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani“. (Surah Al-Anbiya’ 21:83)

Amalkanlah doa-doa yang mustajab ini di saat diri ditimpa musibah. Sesungguhnya Allah pasti tidak akan mensia-siakan doa daripada hati yang benar-benar mengharap kepadaNya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami