Ibadah

Cukupkah Sujud Sahwi Hanya Sekali Jika Lupa Berulang Kali Dalam Solat?

Oleh Natirah Azira  •  19 Nov 2018  •  3 min baca

Dalam artikel yang lalu kita telah mengetahui apa yang dimaksudkan dengan sujud sahwi. Sujud ini dilakukan untuk menutup kecacatan dalam solat seperti ragu-ragu, kekurangan bilangan rakaat atau terlebih rakaat. Untuk memahami dengan lebih jelas, mari kita ikuti sebab-sebab yang menjadikan seseorang perlu melakukan sujud sahwi:

1. Meninggalkan satu daripada sunat Ab’adh seperti tasyahhud yang pertama dan qunut.

2. Meragui bilangan rakaat.

3. Tidak sengaja melakukan perbuatan yang ditegah yang jika disengajakan akan membatalkan solat.

4. Memindahkan sesuatu perbuatan solat sama ada rukun atau sunat ab’adh atau surah yang dipindahkan kepada bukan tempatnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Oleh itu, jika berlaku salah satu daripada sebab-sebab yang dinyatakan, maka seseorang perlu untuk sujud sahwi. Ia perlu dilakukan di akhir solat sebelum memberi salam.

Adapun, jika memberi salam sebelum sujud (sahwi) sama ada dengan sengaja atau terlupa yang agak lama luputlah sujud (sahwi) tersebut. Sebaliknya jika terlupa sekejap sahaja, bolehlah menyambungnya semula dengan sujud sebanyak dua kali dengan niat sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/448)

Dalam keterangan oleh Fatwa Irsyad Brunei menghuraikan bahawa bahawa sujud sahwi perlu dilakukan walaupun setelah salam dengan syarat belum jauh jarak waktu dengan salam tersebut.

Kita masih boleh kembali melakukan sujud sahwi sekalipun telah berjalan keluar dari tempat solat, walaupun telah bercakap-cakap sedikit (kira-kira tidak membatalkan sembahyang), atau telah membelakangkan kiblat. Hal ini ada dijelaskan dalam Kitab Sahih Bukhari, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan satu daripada dua sembahyang siang (kemungkinan besar ianya adalah sembahyang fardhu Asar mengikut pendapat Muhammad bin Sirin) sebanyak dua rakaat lalu Baginda memberi salam.

Kemudian Baginda pun bangun lantas menuju ke arah sebatang kayu (tiang) yang terletak di muka masjid lalu meletakkan tangan Baginda pada kayu tersebut (bersandar padanya).

Antara kalangan para sahabat yang hadir pada ketika itu ialah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar al-Khattab Radhillahu ‘anhuma. Kedua-dua sahabat itu merasa segan untuk menghadapkan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Maka jemaah yang berada dalam masjid pun keluar cepat-cepat lalu bertanya: “Adakah sembahyang Asar itu tadi telah diqasarkan? Kemudian bertanya pula seorang sahabat yang digelarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Zul Yadain: “Adakah Tuan tadi terlupa ataupun solat itu tadi telah diqasarkan?”.

Baginda pun menjawab: “Aku tidak terlupa dan solat itu tadi pun tidak diqasarkan” Lalu Zul Yadain berkata lagi: “Betul, Tuan tadi telah terlupa”.

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menyambung kembali sembahyangnya sebanyak dua rakaat, lalu memberi salam, kemudian bertakbir, lalu melakukan sujud sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu.

Selepas itu Baginda pun bertakbir kemudian sujud lagi sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Sesudah itu Baginda mengangkat kepalanya dan bertakbir.”(Hadits riwayat Imam Bukhari)

Hadis di atas menerangkan bahawa Rasulullah SAW telah kembali menambah bilangan rakaat yang kurang seterusnya melakukan sujud sahwi walaupun Baginda sebelumnya telahpun berkata-kata, berjalan dan berpaling dari arah qiblat. Akan tetapi, jarak masa di antara salam dan waktu Baginda diingatkan oleh para sahabat itu tidak panjang yakni belum lagi lama.

Adakah kita perlu sujud sahwi berulang kali jika kita lupa berulang kali?

Jawapannya ialah tidak perlu. Imam al-Rafi’e Rahimahullah berkata: “Jika lupa berulang kali dalam solat, maka memadai dengan sujud sahwi (dua kali sujud) di akhir solat.” (Lihat al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 2/90)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu serta kefahaman sehingga kita dapat memperbaiki ibadah kita.

Sumber:
Permasalahan Sujud Sahwi oleh Fatwa Irsyad Brunei
Al-Kafi #905: Lupa Berulang Kali Dalam Solat


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami