Ibadah

#CelikRamadan – Sahihkan Hadis Tentang 30 Kelebihan Tarawih Untuk 30 Hari

Oleh Fizah Lee  •  5 May 2020  •  3 min baca

Terdapat banyak ganjaran ibadah yang dijanjikan Allah untuk menaikkan semangat hambaNya untuk terus istiqamah dalam menunaikan ibadah.

Namun, dalam banyak-banyak ganjaran yang sampai ke telinga kita, pasti ada juga yang palsu dan berbeza seperti apa yang diriwayatkan oleh Baginda SAW.

Sebagai contoh, ada disebut mengenai hadis ganjaran memotong kuku pada hari-hari tertentu akan dihindari dengan musibah dan sebagainya. Sedangkan ia adalah hadis palsu.

Begitu juga di bulan Ramadan, banyak tular hadis palsu yang menceritakan mengenai ganjaran-ganjaran tertentu sesebuah amalan.

Antara yang mahsyur ialah berkenaan hadis 30 ganjaran yang diberikan setiap 30 malam jika melakukan solat sunat Tarawih.

Bentuk teks hadisnya dikatakan diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, Baginda pernah ditanya berkenaan keutamaan solat Tarawih. Lalu, Baginda menyebut;

#1 – Pada malam pertama, seorang mukmin akan dikeluarkan dari dosanya seperti ia dilahirkan dari perut ibunya.

#2 – Pada malam kedua, dia akan diampunkan dosanya dan dosa kedua ibu bapanya jika mereka beriman.

#3 – Pada malam ketiga, Malaikat akan berseru dari Arasy; “Mulailah olehmu dengan beramal, Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu.

#4 – Pada malam keempat, dia akan memperoleh pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil dan Furqan.

#5 – Pada malam kelima, Allah akan berikan kepadanya pahala seperti pahala orang yang solat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Dan begitulah seterusnya. Setiap hari ada ganjaran-ganjaran tertentu buat mereka yang menunaikan solat Tarawih sehingga ke malam terakhir Ramadan.

Hadis ini telah dinukilkan palsu oleh jumhur ulama. Ia telah disebutkan oleh Syaikh Utsman bin Hasan bin Ahmad al-Khubari dalam kitab Durrotun Nashihiin fil Wa’zhi wal Irsyad.

Dr Lutfi Fathullah telah menjelaskan apabila beliau meneliti kitab tersebut, sebanyak 30 peratus daripadanya terkandung hadis palsu.

Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz berkata – “Kitab ini tidak dapat dijadikan sandaran (dalam ilmu dan amal) kerana ia mengandungi hadis-hadis daif (lemah) dan maudhu’ (palsu).”

Jumhur ulama juga menyebutkan bahawa tiada sumber yang jelas dan sanadnya juga tidak bersambung dengan Nabi Muhammad SAW.

Imam ibn Qayyim juga ada menyebut – “Hadis palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang tidak munasabah.” (Al-Manar al-Munif, 51)

Kita dapat lihat ganjaran yang diberikan melalui hadis di atas adalah terlalu berlebihan dan tidak munasabah. Maka, menurut kepada pendapat Ibnu Qayyim di atas, ia adalah antara ciri hadis palsu.

Justeru, hadis ini tidak boleh disebarkan semata-mata memberi semangat kepada saudara seislam kita untuk beribadah kepadaNya. Hal ini bersangkut-paut dengan akidah mereka dalam beramal dengan hadis palsu.

Sebaliknya, ada sebuah hadis yang sahih berkenaan ganjaran Ramadan yang pernah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksud: “Sesiapa yang melakukan qiam (solat malam) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”(Hadis Riwayat Bukhari, no. 37)

Tuntasnya, sebelum menyebarkan sesuatu perkara, semak dahulu akan kesahihannya. Ia adalah tanggungjawab semua orang agar setiap dari kita diberikan informasi yang tepat.

Rujukan:
Mufti WIlayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami