Inspirasi

#CelikRamadan – Orang Yang Berpuasa Dan Berqiam Tetapi Sia-sia

Oleh Natirah Azira  •  8 May 2020  •  3 min baca

Agama Islam sentiasa mementingkan niat dalam setiap perbuatan. Bahkan hadis tentang niat diletak pertama sekali dalam aturan Hadis 40 (Hadis Arbai’in) susunan Imam Nawawi bagi menggambarkan betapa pentingnya persoalan niat dalam seluruh ibadah seorang Muslim.

Niatlah yang akan membezakan sesuatu amalan itu diterima atau tidak. Niat juga akan diperhalusi dan dinilai oleh Allah kelak.

Dalam artikel #CelikRamadan kali ini, Tzkrh ingin mengupas serba sedikit tentang isu amal ibadah di bulan Ramadan -khususnya ibadah utama iaitu berpuasa dan solat malam.

Inilah dua ibadah yang akan dilakukan oleh kita semua – berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat sunat Tarawih pula pada malam hari.

Tetapi bayangkan jika amalan puasa dan qiam yang kita lakukan sebenarnya sia-sia sahaja dan Allah tidak menerimanya langsung. Kita sangkakan itulah saham pahala yang sedang kita kumpul, rupa-rupanya sedikit pun tiada nilai dan tidak dicatat oleh malaikat.

Ia satu kerugian yang tidak disedari kerana kecuaian kita menjaga niat dan kata-kata – hal yang pada bibir seakan ringan dan tidak signifikan tetapi besar nilainya.

Ibaratnya kita bekerja puluhan tahun dan menyangka bahawa ada simpanan pencen dan KWSP untuk kesenangan hari tua, tetapi apabila masanya tiba, rupa-rupanya akaun bank kosong!

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat Ibnu Majah, no. 1690 – Syeikh Syu’aib menilai hadis ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik)

Mengapa Puasa Boleh Jadi Sia-sia

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. (Riwayat al-Bukhari, no. 1770, 5597)

Dalam erti kata lain, Allah tidak mengambil kira puasanya, tiada nilai di sisi Allah melainkan dia hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja dek kerana lisan yang tidak dijaga.

Dia berpuasa namun masih menyakiti orang lain dengan kata-katanya, masih mengumpat, mencela, menfitnah dan sebagainya. Dan perlu diingat, kata-kata di sini bukanlah ucapan yang keluar dari bibir sahaja. Ia termasuklah apa yang ditulis di mana-mana medium tulisan seperti Whatsapp dan platform media sosial.

Mengapa Qiam (Solat Malam) Menjadi Sia-sia

Solat malam pula menjadi sia-sia apabila dilakukan bukan ikhlas kerana Allah tetapi sekadar ingin dipuji atau ingin dilihat baik serta dianggap sebagai orang yang soleh.

“Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riya’ (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)”. (Surah Al-Nisa’ 4:142]

Di akhirnya, soalan yang paling penting untuk ditanyakan kepada diri sendiri ialah – adakah kita mengingati Allah ketika solat atau ia hanya sekadar perbuatan tunduk-bangun sahaja. Adakah kita benar-benar berusaha untuk mendekati Allah atau sekadar meraikan kebiasaan bulan puasa.

Kesimpulan

Puasa adalah ibadah yang berkait dengan amalan yang lain bagi menjadikannya sempuran. Mungkin semua orang berpuasa, tetapi nilai pahala puasa setiap orang pasti tidak akan sama. Niat dan kata-kata – inilah dua perkara yang jika tidak dijaga sebaiknya akan mencacatkan pahala puasa. Puasanya masih sah namun tidak ada ganjaran pahala. Akhirnya, kita perlu mengingatkan diri sendiri bahawa tujuan puasa yang sebenarnya adalah menyuburkan kembali ketakwaan dalam diri.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami