Ibadah

Bolehkah Memejam Mata Dalam Solat Untuk Memperoleh Khusyuk

Oleh Natirah Azira  •  12 Nov 2018  •  3 min baca

Kebanyakan daripada kita maklum bahawa tidak digalakkan untuk menutup mata di dalam solat. Namun, timbul juga tanda tanya, bagaimana pula kalau dengan cara menutup mata itu lebih membantu untuk kita untuk mencapai khusyuk dalam solat.

Bagi membicarakan persoalan ini, pendapat daripada laman web Mufti Wilayah Perseketuan dirujuk:

Secara asasnya, kita disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud semasa solat. Ini berdasarkan beberapa riwayat seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata:

“Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah S.W.T:

قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون

Maksudnya: Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka (Surah Al-Mu’minuun 23: 1-2)

Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka” Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272)

Riwayat di atas seakan memberikan makna kepada kita bahawa ciri-ciri solat yang khusyuk itu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, melihat ke atas, dan seumpamanya.

Lalu para sahabat pun memandang ke tempat sujud sahaja. Ia memberi isyarat bahawa kekhusyukan itu terhasil apabila mereka yang sedang solat memandang ke tempat sujud.

Manakala perbuatan memejamkan mata semasa solat dihukumkan sebagai makruh di sisi sebahagian fuqaha kerana bercanggahan dengan galakan memandang ke tempat sujud.

Mereka berhujah dengan menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يُغْمِضْ عَيْنَيْهِ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu berdiri di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan matanya – Riwayat Al-Thabrani (1/37)

Imam Ibn Al-Qayyim ketika mengulas hadis-hadis sebegini berkata:
“Diambil faedah dari hadis-hadis sebegini dan selainnya secara keseluruhannya adalah, terhasilnya pengetahuan bahawa baginda S.A.W tidak memejamkan matanya di dalam solat.

Para fuqaha telah berbeza pandangan akan kemakruhannya. Imam Ahmad dan selainnya berpendapat bahawa makruh menutup mata di dalam solat. Beliau berkata ini merupakan perbuatan golongan Yahudi.

Dan para ulama lain pula membolehkannya dan tidak memakruhkan perbuatan tersebut. Mereka berpendapat, boleh jadi ia lebih hampir kepada menghasilkan kekhusyukan yang merupakan inti solat, roh, serta maksud sebenar solat.’’

Beliau menambah lagi dengan berkata: “Pandangan yang tepat adalah: Sekiranya membuka mata (di dalam solat) itu tidak merosakkan kekhusyukan, maka itu adalah lebih afdhal.

Sekiranya membuka mata itu menghalang antara dirinya dengan kekhusyukan seperti di hadapannya ada perkara-perkara yang mengganggu hatinya, maka tiada masalah untuk seseorang itu menutup matanya secara pasti.

Dan pandangan yang mengharuskan menutup mata dalam keadaan sebegini adalah lebih hampir kepada usul dan maqasid syara’ berbanding pandangan yang menyatakan ia makruh”. Lihat Zaad Al-Ma’ad, Ibn Al-Qayyim (1/284-285).

Pandangan beliau ini adalah selari dengan pendapat tokoh terkemuka dalam mazhab Imam Al-Syafi’e iaitu Imam Izzuddin Izz bin Abd Al-Salam yang berkata:

“Memejam mata di dalam solat apabila melihat seseorang yang buruk solatnya, sekiranya perkara tersebut mengganggu kekhusyukannya, serta hadirnya hatinya bersama Tuhannya (dalam keadaan memejam mata), maka memejam mata adalah lebih utama berbanding membukanya”. Lihat Fatawa Izz Ibn Abd Al-Salam (no. 31).

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa hukum memejam mata di dalam solat pada asalnya adalah makruh kerana bercanggahan dengan tuntutan memandang ke tempat sujud. Meskipun begitu, sekiranya didapati dengan memejam mata akan lebih membantu untuk fokus dan khusyu’ di dalam solat, maka ianya dibolehkan dan kadangkala menjadi lebih utama.

Sumber:
Al-Kafi #883 Hukum Solat Dengan Memejam Mata Untuk Membantu Khusyuk


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami