Gaya Hidup

Bagaimana Amalan Meniup Lilin Kek Bermula

Oleh Fieyzah Lee  •  5 Oct 2019  •  3 min baca

Apabila tibanya hari lahir, pasti setiap orang akan merasa teruja dan seronok untuk menyambut hari lahir sama ada sambutan secara sederhana atau besar-besaran.

Dalam Islam, tidak menjadi masalah untuk mengadakan sambutan hari lahir. Para ulama’ mengatakan hukumnya adalah berbalik kepada hukum asal bagi setiap perkara, iaitu harus.

Namun, jika terdapat unsur-unsur yang melalaikan seperti sehingga meninggalkan ibadat wajib, wujud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan atau terdapat unsur pembaziran, maka ia boleh jatuh kepada haram.

Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur dengan meraikan hari-hari istimewa, namun perlu diingat untuk sentiasa menjaga hukum-hakamnya dan tidak mengikut amalan barat atau kaum lain.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Hadis Riwaya Abu Daud, no. 4031)

Walau bagaimanapun, antara amalan utama pada hari lahir yang dilihat sentiasa dilakukan oleh masyarakat kita ialah dengan meniup lilin yang terdapat pada kek.

Kebiasaannya, lilin akan diletakkan mengikut angka tahun seseorang. Selepas nyanyian hari lahir didendangkan, seseorang itu akan meniup lilin tersebut.

Dari Mana Amalan Ini Bermula

Tahukah anda bahawa asal-usul amalan ini adalah daripada kaum Yunani yang bermula dari zaman Greek. Masyarakat zaman tersebut gemar meletakkan lilin di atas kek berbentuk bulat bagi menghormati dewi yang menjaga mereka.

Ada sejarah yang mengatakan dewi tersebut ialah dewi bulan yang bernama Artemis. Asap merupakan salah satu cara untuk berhubung dengan tuhan. Jadi, mereka percaya selepas berdoa atau meminta hajat, tiupan lilin itu sekali gus akan menghantar doa tersebut melalui asap.

Menurut para ulama’ dan golongan ilmuwan, amalan meniup lilin ini adalah menyerupai kaum tersebut dan mereka menjatuhkan hukum haram.

Tiada dalil atau perbuatan khusus amalan ini pernah dilakukan oleh umat Islam atau agama lain, melainkan agama Kristian dan masih diamalkan sehingga kini.

Oleh itu, adalah memadai untuk makan kek tanpa tiupan lilin atau amalan yang seumpama dengannya.

Tambahan pula, menurut beberapa kajian oleh saintis, iaitu dari Clemson University di South Carolina yang telah diketuai oleh Dr Paul Dawson membuktikan bahawa kek yang ditiup akan menghasilkan bakteria 14 kali ganda.

Walaupun bakteria ini kurang berbahaya seperti bakteria lain kerana kemungkinan untuk jatuh sakit adalah rendah, namun adalah lebih baik untuk mengelakkannya.

Antara amalan lain yang dilakukan di beberapa buah negara sebagai sambutan hari lahir ialah:

#1 – Kanada

Kanak-kanak akan dicalit dengan mentega atau majerin (jenis yang berminyak) di bahagian hidung oleh sesiapa sahaja sepanjang hari lahirnya.

Amalan ini dikatakan untuk menolak nasib malang kerana hidung yang licin sukar ditangkap. Tradisi ini dikatakan berasal daripada Scotland.

#2 – China

Si penyambut hari lahir akan menghirup sepinggan mi panjang tanpa memutuskannya. Tradisi ini sebagai simbolik kepada kepercayaan umur yang panjang.

#3 – Jerman

Kebiasaannya apabila seseorang lelaki meningkat ke 30 tahun dan masih bujang, mereka akan disuruh menyapu tangga di dewan perbandaran sambil memakai gaun sehingga dia dicium oleh anak dara.

Ini merupakan adat lama masyarakat Jerman di kawasan utara dan barat. Namun, adat ini sudah jarang diamalkan.

Kesimpulan

Tidak menjadi masalah untuk meraikan keseronokan hari lahir namun, jangan sehingga melampaui batas. Anggap hari lahir anda sebagai salah satu peluang serta nafas baru untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Rujukan:
Amalan Hari Lahir
Smabutan Hari Lahir


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami