Gaya Hidup

Betul Ke Tuhan Jadikan Manusia Hanya Untuk Beribadat?

Oleh Abdul Ghani Haron  •  7 May 2016  •  4 min baca

Suatu pagi selepas perhimpunan pagi disekolah, seorang guru Cina bercakap dengan saya di kantin, katanya,

“Itu ustaz tadi cakap dalam perhimpunan, tuhan jadikan manusia untuk ibadat kepada-Nya, jadi lu orang Islam patut kena dok semayang saja lo? Betoi ka?”

Saya mengalih kepada beberapa guru muda Melayu untuk menjawab, tapi seorang dari mereka berkata,

“Lim, lu pi tanya itu ustaz, kalau mau tau.”

Dalam hati saya,

“Saya tahu, itu jawapan kebanyakan orang untuk menutup kejahilan.”

Agama pada yang bukan Islam adalah upacara hidup, sebahagian dari hidup, manakala bagi Islam agama adalah cara hidup, ianya bukan sebahagian hidup tetapi seluruh hidup kena Islam.

Di sinilah permisahan antara Islam dan bukan Islam. Yang tidak difahami oleh sebahagian orang Islam dan tidak langsung difahami oleh bukan Islam.

Tujuan Allah menjadikan manusia disebut oleh Allah sebagai untuk beribadat kepada-Nya dalam Surah Az-Zariyat, Ayat 36. Ini disambut oleh kita dengan lafaz doa iftitah sebelum al-Fatihah dalam sembahyang,

“Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah.”Al-An’aam, ayat 62

Jadi hidup kita kena jadi ibadat semuanya.

Apakah makna ibadat ini

Ibadat terbahagi kepada tiga iaitu:

1. Rukun Islam Dan Iman

Pertama ibadat asas yang merupakan amalan Rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji dan keyakinan dalam Rukun iman iaitu mempercayai kewujudan Allah, malaikat, rasul, syurga, neraka dan qada dan qadar. Semuanya wajib dikerjakan dan diyakini untuk menjadi Islam.

2. Fardu Kifayah

Kedua ibadat cabang dari ibadat asas iaitu fardu kifayah seperti mengurus jenazah, menyeru amal makruf, mencegah mungkar, membangun pendidikan, ekonomi, kesihatan, industri, makanan dan sebagainya.

Jika sebahagian orang melakukannya, maka yang lain terlepas dari melakukannya. Termasuk dalam hal ini ialah amalan sunat seperti bersedekah, berzikir, puasa sunat; yang boleh dikerjakan tetapi tak berdosa jika ditinggalkan.

3. Ibadat Umum

Ketiga ibadat umum iaitu pekerjaan atau amalan yang hukumnya harus, yang baik sifatnya tetapi menjadi ibadat dan diberi ganjaran jika dikerjakan seperti yang diajar oleh Islam.

Contoh bekerja, makan, minum, berbual, menziarah, menasihat dan sebagainya. Ibadah umum ini merupakan cara hidup Islam dan tergolong sebagai amalan kepada Allah.

Jelaslah kita mempunyai ruang yang sangat luas untuk beribadat kepada Allah. Setiap pergerakan kita adalah ibadat asalkan ia menepati syarat yang mudah iaitu niat kerana Allah, perkara itu baik, halal menurut Islam, menurut syariat seperti kalau bersedekah dengan harta sendiri.

Hasil apa yang dikerjakan mestilah baik seperti ia tidak sombong, atau riak dan perbuatannya tidak mendorong maksiat. Walaupun semua pergerakan kita jadi ibadat, ibadat asas tidak boleh ditinggalkan, ia wajib seperti solat, puasa zakat dll.

Itulah hidup secara Islam, itulah yang dikatakan tujuan Allah menjadikan manusia untuk beribadat kepada-Nya. Kita yang lalai sebab kita tak menjadikan setiap pergerakan kita menepati kehendak Allah. Cuma tambah sedikit sahaja iaitu niat kerana Allah, ikut aturan yang diajar nabi iaitu sunnah.

Contoh, makan menjadi ibadat jika kita turut sunnah, mulakan dengan menyebut nama Allah (doa), makan tangan kanan, mulakan dengan makan buah, ambil makanan yang dihadapan kita, jangan hanggau, berhenti sebelum kenyang, mengucapkan puji kepada Allah(doa). Jangan bersendawa sedapatnya.

Nak pergi kerja, niat kerana Allah, tinggalkan rumah dengan salam, doa perjalanan, berzikir atau mengingat Allah dalam perjalanan, amanah dalam pekerjaan, jangan curi masa untuk diri jika makan gaji, bersolat pada waktu dll.

Islam itu mudah, kadang-kadang kita yang menyusahkan. Marilah kita bentuk hidup ini seluruhnya kerana Allah, betulkan setiap niat pada pergerakan kita.

Akhirnya saya tolong jawab pada Lim,

“Tarak betoi lagi apa lu cakap, lu baca apa saya cerita disini, itu cikgu muda-muda pun mau baca juga, jadi Islam macam pakai baju saja.”

Bersedialah dengan kefahaman Islam untuk menjawab soalan bukan Islam, untuk mendakwah, jangan serah kepada ustaz sahaja. Sebaiknya kena diketahui sedikit asas agama lain dan perbandingan untuk tujuan menerangkan kebenaran Islam. Wallahu a’lam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdul Ghani Haron

Abdul Ghani Haron

Merupakan pesara pegawai pelajaran daerah dan pengetua. Penulis bebas dan penggerak kerja kebajikan untuk masyarakat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami