Inspirasi

Bersyukurlah Dengan Nikmat Dari Tuhanmu

Oleh Fazli Abdullah  •  25 Sep 2018  •  6 min baca

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (dengan nikmatKu).”Surah al-Baqarah :152

Syukur dapat diertikan sebagai perbuatan yang menunjukkan ucapan terima kasih kepada pemberi nikmat iaitu Allah S.W.T.

Syukur juga merujuk kepada seseorang yang melihat orang lain yang lebih tinggi dalam hal agamanya. Dan melihat orang yang lebih rendah dalam hal dunianya.

Maksudnya, apabila seseorang melihat orang lain yang banyak beramal dan baik hal agamanya, dia akan cuba mengikuti dan menambah baik amalan sehariannya. Dia tidak merasa puas dan tidak berada di dalam ‘zon selesa’ dengan amalannya yang sedikit.

Manakala dengan hal dunia, mereka (orang yang bersyukur) akan melihat orang yang lebih susah daripada mereka.

Mereka tidak mengeluh dan gundah gulana kerana ada yang lebih susah daripada apa yang mereka alami sendiri. Disebabkan itu, sifat syukur dapat diresap dalam kehidupan mereka.

Menurut Imam al-Ghazali, makam (kedudukan amalan) syukur lebih tinggi daripada sikap sabar, dan takut kepada Allah S.W.T.

#1- Mari Syukur Jangan Kufur!

Syukur sering kali menjadi kelupaan bagi sebahagian insan di dunia. Mempunyai nikmat harta, kesihatan, umur yang panjang, dan pelbagai nikmat lain. Namun, nikmat tersebut tidak digunakan ke arah kebaikan yang disuruh oleh Allah S.W.T.

Kita sebagai hamba Allah S.W.T perlu mengamalkan sifat mahmudah iaitu syukur dan meninggalkan sifat mazmumah iaitu kufur. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.’ Surah Ibrahim :7

Kufur nikmat pemberian Allah S.W.T adalah sikap yang tidak patut dan dilarang dalam Islam. Janganlah menganggap setiap harta yang kita punya adalah milik mutlak kita.

Sebenarnya harta itu hanyalah pinjaman daripada Allah S.W.T. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik harta yang sedang kita pinjam ini.

Mari kita mengambil ibrah dalam Surah al-Qasas ayat 78. Peringatan Allah S.W.T kepada kita. Jangan mengikuti perangai Qarun yang kufur akan nikmat pemberian Allah S.W.T.

Qarun menjawab (dengan sombongnya): ‘Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.’ (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)Surah al-Qasas :78

Janganlah sombong dengan pemberian Allah S.W.T. Lihatlah kembali kisah-kisah umat terdahulu yang dibinasakan Allah S.W.T. Mereka lebih kaya, mereka lebih hebat, mereka lebih panjang umurnya, namun azab Allah tetap turun kepada mereka.

Kerana apa? Kerana mereka kufur dengan nikmat pemberian Allah S.W.T. Masihkah kita tidak bersyukur? Dibanding kita dengan mereka, siapa lebih banyak nikmat yang diberi? Jadi kuantiti harta yang banyak tidak menjamin kebahagiaan jika murka Allah bertandang kerana kita tidak bersyukur.

#2- Bagaimana Untuk Kita Bersyukur?

Bersyukur ada cara yang digariskan dalam Islam. Bersyukur bukan semata dibibir. Ia juga turut disertakan dengan perbuatan dan juga hati.

1- Bersyukur Melalui Hati
Mengaku dan menerima dengan rendah hati segala nikmat yang dimiliki adalah kepunyaan Allah S.W.T. Tidak ada rasa sombong dan takbur di dalam hati. Terasa puas dengan apa yang ada dan tidak merasa kecewa dengan apa yang tiada.

2- Bersyukur Dengan Lidah
Banyakkan menyebut ucapan terima kasih kepada Allah S.W.T dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Kurangkan mengeluh dan menyebut ucapan yang dilarang dalam Islam. Contohnya, memaki hamun, mencerca dan pelbagai lagi.

Bersyukur dengan lidah juga disini bermaksud, ringankan mulut menyebut ucapan terima kasih kepada manusia yang membantu kita. Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, ia tidak bersyukur kepada Allah.”Riwayat Imam Tirmizi

3- Bersyukur Dengan Perbuatan
Nikmat pemberian Allah S.W.T perlulah digunakan dengan sebaiknya dan di jalan yang benar. Sebahagian harta disedekah kepada kaum kerabat yang susah, kepada anak yatim dan kepada mereka yang memerlukan. Janganlah disia-siakan dengan membazir dan membeli benda yang diharam.

#3- Kenapa Perlu Bersyukur?

Bersyukur bukan satu amalan yang sia-sia. Ia memberi kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Tidak tamak dengan nikmat yang ada. Dan membawa kepada keredaan Allah S.W.T.

1- Mencari Keredaan Allah S.W.T
Keredaan Allah S.W.T yang paling diharapkan dalam kehidupan kita. Bukan sahaja, kehidupan di dunia bahkan di akhirat yang paling utama.

Sesungguhnya, keredaan Allah S.W.T yang membawa ke syurga yang bersifat kekal abadi. Dibanding dengan amalan baik kita di atas muka bumi, sungguh kita tidak layak. Jadi sifat syukur membuahkan keredaan Allah yang amat mahal nilainya.

2- Syukur Sifat Para Nabi Dan Orang Soleh
Syukur bukan sebarang sifat. Ia sifat dari sifat-sifat nabi. Nabi Muhammad S.A.W seorang yang bersyukur. Walau dijamin syurga, baginda tetap beribadat dan beristighfar hampir 100 kali sehari.

Kenapa baginda bersusah payah untuk beribadah, sedangkan sudah dijamin syurga? Kerana Nabi Muhammad saw ingin menjadi hamba Allah yang taat dan bersyukur.

Tidak mahukah kita untuk bersyukur? Nabi Muhammad saw tiada dosa turut bersyukur kepada Allah. Di mana pula kita? Renungkan.

3- Bukti Kecintaan kepada Allah S.W.T
Celik sahaja mata, seluruh kehidupan kita menggunakan ciptaanNya. Mata dapat melihat, telinga dapat mendengar, mulut dapat menutur kata, dan jika dicatat memang tidak terhingga banyaknya.

Bila kita sedar apa yang kita ada adalah miliknya, maka sifat syukur perlulah dipupuk kerana setiap kejadian diri adalah kepunyaanNya.

Allah S.W.T telah memberi apa yang dimahu dan diperlu, jadi apa bukti kita membalas kasih sayang Allah tersebut? Jawapannya dengan sifat syukur.

#4- Orang Bersyukur Adalah Orang Bahagia

Bersyukur menyejukkan hati yang resah. Kebahagiaan akan terserlah bagi mereka yang bersyukur. Dalam hati tidak ada rasa kedekut, sombong dan bongkak kerana semuanya hanya pinjaman.

Semakin kita bersyukur, semakin bertambah nikmat kurniaanNya. Rezeki akan mencurah-curah tanpa dijangka dek akal. Yakinlah segala janji Allah kerana janjiNya tidak pernah dimungkiri sekalipun.

Bersyukurlah dengan nikmat Tuhanmu kerana ia pasti tidak akan rugi. Waallahua’lam

Rujukan:
1. Kitab Penawar Hati (Karya Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili)
2. Menyingkap Tirai Syukur (Karya Faizal Mohamad Twon Tawi)
3. 300 Hadis Bimbingan-Ke Arah Mencari Reda Allah (Penulis: Datuk Dr Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd. Nazam)
4. Indahnya Hidup Bersyariat (Penulis: Dato’ Ismail Kamus dan Ustaz Mohd. Azrul Ab. Hamid)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami