Ibadah, Kesihatan

Berhati-Hati Di Musim Influenza – Antara Doa Yang Boleh Dibaca

Oleh Fieyzah Lee  •  22 Jan 2020  •  3 min baca

Permulaan tahun yang agak membimbangkan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi buat seluruh penduduk bumi. Ujian demi ujian yang mendatang membuatkan kita tidak senang duduk. Buat mereka yang beriman, pasti sedar bahawa ia bukan peringatan biasa yang datang dari Sang Pencipta tetapi sebagai amaran untuk bangkit dari kelalaian dunia fatamorgana ini.

Bermula dengan kebakaran besar di Australia yang melibatkan lebih dari separuh habitat musnah, banjir besar yang berlaku di Jakarta, ribut pasir yang kini melanda Australia selepas kebakaran hampir reda dan terkini wabak Influenza A yang datang kepada kita.

Influenza A merupakan sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan. Kebanyakan orang yang dijangkiti akan mula mendapat tanda-tanda ringan seperti demam, batuk atau sakit tekak. Apabila sampai satu tahap, badan untuk mula memberi reaksi yang teruk sehingga mengakibatkan sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu serta cirit-birit dan muntah.

Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan, sentuhan tangan pesakit atau menyentuh mana-mana permukaan yang telah tercemar dengan titisan cecair (selesema, batuk atau bersin) pesakit. Suhu badan juga akan mencecah lebih daripada 38 darjah celcius.

Penyakit Berjangkit Pada Zaman Nabi Ayub

Penyakit berjangkit merupakan antara penyakit yang merbahaya terutamanya jika ia merupakan penyakit yang boleh membawa maut. Kita berkongsi udara yang sama, disebabkan itu penyakit senang tular dan boleh menjangkiti makhluk lain.

فر من المجزوم كما تفر من الأسد

Maksud: “Larilah dari orang-orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah, no. 783)

Nabi Ayub merupakan seorang nabi yang sangat kaya dengan harta yang melimpah ruah dan mempunyai tanah yang luas serta haiwan ternakan yang banyak. Beliau tidak pernah sombong bahkan sentiasa membantu orang miskin.

Walau bagaimanapun, Nabi Ayub telah ditimpa dengan ujian penyakit yang sangat teruk, iaitu penyakit kulit sehingga semua orang menjauhkan diri daripadanya. Walaupun baginda ditimpa penyakit tersebut sehinggakan badannya kurus dan hanya isterinya yang setia menemaninya di sisi, namun baginda tidak pernah melupakan Allah.

Hati dan lidah baginda sentiasa berzikir dan mengingat Allah setiap saat. Setiap hari baginda akan berdoa agar ujiannya itu merupakan sesuatu yang boleh memberi kebaikan dan rahmat buat dirinya dan bukan sebagai musibah.

Kisah dan doa nabi Ayub ada diceritakan melalui surah Anbiya serta kesembuhan baginda pula diceritakan dalam surah As-Sad.

Kisah Nabi Ayub AS ini dijadikan iktibar dan inspirasi oleh semua agar lebih sabar dan tabah dalam menghadapi ujian hidup terutamanya penyakit berjangkit yang sedang melanda.

Bahkan, Islam menganjurkan agar jangan pernah putus harapan dan berdoa kepada Allah agar memberikan kesembuhan dan mengelakkannya daripada datang kepada kita.

Daripada Ibn Umar RA, beliau telah mendengar Baginda SAW bersabda bahawa BAginda tidak pernah meninggalkan doa untuk diberi kesihatan, iaitu;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Mafhum: “Ya Allah, aku memohon kepadaMu keselamatan di dunia dan di akhirat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 5074)

Bahkan, Baginda juga pernah berdoa supaya dielakkan daripada terkena virus dan penyakit berjangkit yang pernah melanda, iaitu;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksud: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1554)

Kesimpulan

Selain daripada meletakkan usaha untuk mencegah penyakit dengan menjaga kesihatan, kita dituntut untuk berdoa dan meletakkan pergantungan kepada Allah kerana Dialah jua yang Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Health Gov
Mufti Wilayah
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami