Gaya Hidup, Hukum

Benarkah Arash Bergegar Apabila Runtuhnya Institusi Perkahwinan?

Oleh Natirah Azira  •  11 Jul 2019  •  3 min baca

“Jangan lah ambil keputusan bercerai secara melulu, bergegar Arasy! Allah tak suka!”

Seringkali kita mendengar dialog sebegini diucapkan apabila timbul isu perceraian (sebenarnya banyak kita dengar dari dialog drama di kaca TV). Ia seakan menjadi pegangan sesetengah pihak dan menggambarkan perceraian adalah langkah yang sangat teruk untuk diambil.

Walhal jika perceraian adalah suatu yang sangat teruk, maka tidak ada hukum yang membolehkan perceraian berlaku atau akad sesebuah perkahwinan itu terlerai.

Perkongsian kali ini tidak bertujuan untuk mengupas patut atau tidak sesebuah perceraian berlaku, tetapi ingin memberi pencerahan kepada para pembaca berkenaan perkara yang sering disebut-sebut khususnya tentang hadis yang akan dinyatakan di bawah.

Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita teliti semula daripada mana kata-kata ini diambil.

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

Maksudnya: “Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arash.”

Beberapa orang ulama yang faqih dalam ilmu hadis contohnya Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Saghani, Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuthi telah memberi komen tentang hadis tersebut dan mengatakan bahawa hadis ini adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadisnya dhaif.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga menyimpulkan bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih dan tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW atau meriwayatkannya kepada orang lain bagi membenarkannya.

Selain daripada hadis di atas, ada sebuah lagi hadis yang agak terkenal berlegar dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan talak.

Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)]

Hadis ini telah diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan kesahihannya. Sebahagian ulama’ hadis mengatakan bahawa hadis ini sahih dan sanadnya bersambung dan sebahagian lagi mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung (disebabkan gugurnya nama sahabat yang menjadi perawi dalam hadis ini).

Mereka yang mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung menghukumkan bahawa hadis ini sebagai hadis mursal.

Pihak Mufti Wilayah persekutuan dalam menerangkan hadis ini juga menukilkan kata-kata Imam al-San’ani (1182 H) di dalam kitabnya. Beliau menerangkan status hadis ini dengan berkata:

“Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Ia disahihkan oleh al-Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hatim merajihkan bahawa ia adalah mursal. Begitu juga, al-Daraquthni dan al-Baihaqi merajihkan hadis ini adalah mursal.” [Lihat: Subul al-Salam, 247/2]

Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh mengatakan bahawa perawi-perawi bagi hadis ini adalah thiqah (dipercayai) di dalam Kitab Sunan Abu Daud. Namun di akhirnya, pendapat yang paling sahih dari kalangan imam menghukumkan bahawa hadis ini adalah hadis mursal. Pendapat ini turut dipersetujui dan dipegang oleh Pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Hakikatnya masih banyak perkara yang Allah murkai meskipun halal dilakukan, bukan hanya tentang talak. Mengapa? Kerana ada sifat berlebihan dalam perbuatan. Tidak ada keseimbangan – sama ada terlalu sedikit sehingga bermudah-mudah atau terlalu berlebihan sehingga mencapai tahap ekstrem.

Contohnya memarahi anak berlebihan dengan alasan mendidik, makan secara berlebihan sehingga mendatangkan penyakit atau tidak tidur atau berehat secukupnya sehingga mengganggu sistem tubuh badan.

Adapun talak atau penceraian, ia adalah hak yang dipunyai oleh setiap orang yang melangkah ke alam perkahwinan. Nilailah ia dengan bijak sebelum mengambil keputusan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami