Hukum

Bayaran Zakat Fitrah Secara Atas Talian Tanpa Akad – Apa Statusnya?

Oleh Fieyzah Lee  •  16 May 2020  •  3 min baca

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah bersetuju bahawa kaedah bayaran dalam talian bagi zakat fitrah yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah untuk meringankan beban umat Islam.

Melihat kepada keadaan semasa dan juga kebolehadaptasi kita terhadap norma baru yang ditekankan kerajaan, kita perlu menjaga diri dan mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelak daripada jangkitan wabak COVID-19 ini.

Kurangkan berada di tempat awam tanpa sebab yang mendesak. Ini merupakan salah satu usaha untuk memastikan keselamatan dan kesihatan diri terjaga.

Oleh yang demikian, bayaran zakat fitrah secara atas talian merupakan salah satu cara yang diperkenalkan kerajaan untuk memudahkan proses pembayaran terutamanya ketika berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Namun, apabila melihat kepada caranya, tiada akad yang dilakukan seperti kebiasaan kita membayar zakat secara terus di tempat bayaran zakat.

Jadi, apakah status bayaran zakat yang dilakukan itu?

Apa Itu Ijab Qabul

Ijab dan qabul adalah suatu perbuatan untuk menunjukkan suatu keredaan dalam berakad antara dua orang atau lebih.

Lafaz ijab sendiri merupakan lafaz yang dinyatakan dalam ungkapan penyerahan. Lafaz qabul pula merujuk kepada ungkapan penerimaan.

Setelah ijab diucapkan oleh pembayar zakat dan diterima melalui lafaz qabul, ia biasanya akan diakhiri dengan bersalaman antara pembayar zakat dan penerima atau amil zakat.

Lafaz yang biasa disebut ialah – “Saya berzakat fitrah sebanyak … (jumlah bayaran) yang wajib bagi diri saya pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Kemudian, ia akan disambut oleh penerima atau amil zakat dengan ungkapan – “Saya terima zakatnya sebanyak … (jumlah diterima) yang wajib bagi diri tuan tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Namun, berbalik kepada persoalan di atas, iaitu bayaran zakat secara atas talian – hukumnya adalah sah. Bayaran zakat tanpa ijab dan qabul serta bersalaman antara penerima dan pembayar adalah sah.

Hal ini adalah melihat kepada pendapat Mazhab Imam Syafi’e yang menyebut – “wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata.” (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

Menurut Dr. Wahbah Zuhaili, syarat-syarat sah pemberian zakat itu ialah dengan sekadar berniat di hati. Ia cukup untuk menjadikan kewajipannya tertunai. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796)

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail berkata – Menunaikan zakat secara atas talian, ia adalah sah kerana niat sudah berlaku ketika itu dan pemindahan pegangan harta, iaitu wang juga sudah berlaku.

Kesimpulan

Tuntasnya, pembayaran zakat secara atas talian tanpa ijab dan qabul serta bersalaman adalah sah kerana sudah memenuhi syarat sah bayaran zakat, iaitu niat dan pindahan harta.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami