Ibadah

Bagaimana Untuk Berwudhu Pada Bahagian Badan Yang Luka

Oleh Natirah Azira  •  30 Oct 2019  •  3 min baca

Kecelakaan kadang-kadang tidak dijangka. Contohnya apabila sakit atau terlibat dengan kemalangan, ramai orang yang memilih untuk meninggalkan solat – mungkin kerana tidak tahu cara hendak berwudhu jika anggota badan terluka atau merasa sukar untuk menunaikannya.

Namun dalam Islam, terdapat banyak rukhsah atau keringanan yang boleh dipilih oleh seseorang. Tuntutan solat masih wajib bagi semua orang yang bergelar Muslim.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin menerangkan kepada para pembaca beberapa cara untuk berwudhu apabila adanya kekangan untuk berwudhu seperti biasa.

Kenali Terlebih Dahulu Anggota Wudhu Dan Tayammum

Anggota wudhu yang wajib ada empat iaitu:
-Muka
-Tangan hingga siku
-Kepala
-Kaki

Anggota tayammum ada dua iaitu:
-Muka
-Bahagian tangan hingga siku

Apabila luka yang ada tidak membolehkan seseorang itu berwudhu menggunakan air seperti biasa, maka menurut pendapat Mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi, dibolehkan untuk bertayammum atau menyapu balutan anggota yang sakit kerana ia diqiyaskan kepada menyapu khuf (stokin/kasut) untuk solat. Namun ada beberapa perbezaan pada perlaksanaannya mengikut mazhab.

#1- Pendapat Mazhab Syafie

Menurut Mazhab Syafie, sebelum kawasan yang sakit dibalut, orang yang sakit tersebut mestilah berada dalam keadaan suci (sudah mengambil wudhu sebelum itu).

Jika balutan dipakai dalam keadaan tidak suci yakni belum berwudhu, maka solat masih perlu diteruskan tetapi perlu diqadha semula selepas sembuh.

Cara Untuk Mengambil Wudhu (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit seperti biasa bermula daripada muka (mengikut turutan anggota wudhu).

2. Apabila tiba pada anggota yang berbalut contohnya kepala, maka perlu menyapu keseluruhan pembalut (jabirah) tersebut dengan air seterusnya menyambung wudhu pada anggota seterusnya hingga selesai.

Pilihan Kedua Jika Tidak Mahu Menyapu Balutan

1. Membasuh bahagian anggota yang tidak sakit seperti biasa bermula daripada muka.
*Jika luka yang ada adalah pada sebahagian muka, maka perlu membasuh dulu bahagian muka yang tidak sakit. Kemudian lakukan tayammum bagi menggantikan bahagian muka yang sakit.

Perlu diingat bahawa bahagian anggota tayammum (muka dan tangan hingga siku) mestilah dalam keadaan terbuka bagi membolehkan tayammum dilakukan.

2. Sambung berwudhu dengan air pada bahagian anggota wudhu yang lain yang tidak sakit sehingga selesai.
*Jika ada pula luka pada bahagian kaki, maka lakukan tayammum untuk menggantikan bahagian kaki yang tidak boleh terkena air.

Adapun jika terdaya membasuh bahagian yang sakit yang ditutup oleh pembalut dan tidak memudaratkan, maka perlu membasuh dan tidaklah wajib menyapu.

Keperluan Mengulangi Solat Selepas Sembuh

Menurut Mazhab Syafie, solat perlu diulang kembali setelah sembuh apabila berlaku perkara di bawah.

1. Apabila luka dibalut dalam keadaan tidak bersuci (tidak berwudhu dahulu atau dalam keadaan janabah).
2. Balutan luka menutupi kawasan tayammum iaitu muka dan tangan hingga siku.
3. Balutan melebihi kawasan yang cedera (lebih daripada kawasan yang perlu).

Cara yang digariskan oleh Mazhab Syafie ini kelihatan agak berat untuk dilakukan lebih-lebih lagi jika luka dan kecederaan yang dialami banyak dan memakan masa yang lama untuk sembuh.

Oleh itu, jika terdapat kesusahan untuk melakukannya, maka dalam hal ini, bolehlah bertaqlid iaitu mengikut pendapat dalam Mazhab Hanafi Dan Maliki seperti di bawah.

#2 Pendapat Mazhab Hanafi Dan Maliki

Tidak disyaratkan untuk berada dalam keadaan bersuci (berwudhu atau mandi wajib) sebelum membalut luka. Sapuan masih boleh dibuat walaupun tidak dalam keadaan bersuci.

Solat juga tidak perlu diulang. Pendapat ini lebih dekat dengan realiti semasa kerana kadang-kadang kecederaan berlaku tidak dijangka dan akan terus dirawat di klinik atau hospital.

Cara berwudhu adalah seperti biasa dan apabila tiba pada bahagian yang luka, tidak perlu bertayammum dan boleh menyapu sahaja balutan dan menyambung wudhu hingga selesai.

Semoga penerangan ini mampu membantu para pembaca yang sedang diuji kesakitan atau buat mereka yang ingin tahu sebagai langkah persediaan. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah
Tayibah.com
Cara Berwudhu Jika Anggota Bersuci Luka – Buya Yahya


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami