Gaya Hidup

Bagaimana Prinsip ‘Ikigai’ Dari Jepun Ini Dapat Membantu Anda Setiap Hari

Oleh Natirah Azira  •  31 Dec 2019  •  4 min baca

Apakah yang membuatkan anda bersemangat bangun pada setiap hari?

Ada orang yang akan menjawab kerana tanggungjawab.

Ada yang akan menjawab kerana komitmen.

Dan akan ada seribu satu macam jawapan lagi.

Pernahkah anda mendengar tentang suatu konsep yang dipanggil ‘Ikigai’ (disebut Ick-ee-guy). Iki bermaksud ‘untuk hidup’ dan gai adalah ‘makna’. Ikigai dapat diertikan sebagai ‘tujuan hidup’ – apa yang membuatkan anda berasa hidup bermakna setiap hari.

Konsep ini banyak dipraktikkan oleh bangsa Jepun, dikatakan berasal daripada Pulau Okinawa, iaitu penempatan di mana penduduknya memiliki umur terpanjang di dunia iaitu 100 tahun atau lebih.

Para pengkaji gigih membuat kajian tentang rahsia yang membuatkan umur mereka panjang dan gembira. Suatu kajian yang dilakukan pada tahun 2008 oleh Universiti Tohoku kepada lebih 50,000 orang (berusia 40 hingga 79 tahun) mendapati mereka yang mempunyai Ikigai atau tujuan hidup (sense of purpose in life) mempunyai masalah jantung yang lebih rendah.

Apa yang dapat disimpulkan adalah – dengan mempunyai tujuan hidup yang benar, ia dapat menggalakkan seseorang itu membina kehidupan yang lebih gembira dan aktif.

Konsep ini menggabungkan empat teras utama iaitu:

1. Apa yang anda sukai (passion).

2. Apa yang diperlukan oleh dunia (misi).

3. Apa yang anda mahir atau bagus.

4. Apa yang mampu memberi anda sumber pendapatan.

Persilangan antara keempat-empat perkara ini lah yang disebut sebagai ‘Ikigai’ (tujuan hidup).

Sumber gambar dari Pinterest

Anda boleh mencari Ikigai anda sendiri dengan bertanya soalan seperti di bawah:

Apa yang membuatkan anda gembira?

Apa yang membuatkan anda bersemangat untuk memulakan hari?

Apa kemahiran yang anda ada?

Mungkin ada yang bertanya bagaimana jika “saya tidak menyukai kerja yang saya lakukan sekarang. Saya melakukannya hanya kerana tuntutan kehidupan, tanggungjawab dan rasa terpaksa.”

Ikigai anda tidak semestinya perlu menjadi ‘kerja tetap’ anda sekarang. Ia mungkin boleh bermula dari langkah-langkah kecil anda untuk mencari semula apa yang anda sukai sewaktu masih kecil, atau sesuatu yang membuatkan anda berasa puas apabila dapat menyelesaikannya, dan yang mampu membuatkan anda tersenyum sekalipun penat dan sibuk.

Saya memberikan satu contoh mudah, dari seseorang yang dekat dengan dengan saya sendiri. Dia bekerja dalam bidang akaun kerana itulah jurusan yang diambil ketika di universiti.

Namun apabila ada masa lapang, dia akan memasak pastri dan kek, masuk ke kelas masakan serta mengambil tempahan. Mengapa? Kerana itulah perkara yang membuat hatinya bahagia. Itulah perkara yang membuatkan dia puas sekalipun terpaksa berjaga hingga lewat pagi kerana perlu menyiapkan tempahan orang.

Ada orang yang berani mengambil risiko untuk meninggalkan kerjaya untuk mengikuti impian dan cita-cita mereka. Namun ada juga yang menjadikan kerja dan perkara yang mereka suka lakukan (hobi) sebagai perkara yang seiring dalam kehidupan.

Manakala Hector Garcia dan Francesc Miralles melalui buku mereka yang bertajuk
Ikigai The Japanese Secret to a Long and Happy Life, menggariskan 10 tips mudah yang boleh membantu sesiapa sahaja mencari Ikigai mereka:

1. Pastikan anda kekal aktif dalam kehidupan (tidak kira masih bekerja atau tidak).

2. Tinggalkan gaya hidup yang serba sibuk dan laju dan cuba amalkan gaya hidup yang lebih tenang dan perlahan.

3. Makan sehingga anda 80 peratus kenyang sahaja.

4. Memastikan diri anda dikelilingi oleh rakan-rakan yang baik.

5. Kekalkan gaya hidup sihat dan lakukan senaman ringan.

6. Senyum dan iktiraf (acknowledge) orang di sekeliling anda.

7. Berhubung dengan alam semula jadi.

8. Bersyukur dan berterima kasih kepada apa sahaja yang menceriakan hari anda dan membuatkan anda rasa hidup (alive).

9. Hidup pada masa sekarang (live in the moment).

10. Ikuti ‘Ikigai’ anda.

Kesimpulan

Mungkin yang anda perlukan sebelum menyenaraikan azam baru adalah mencari dahulu apa ‘Ikigai’ anda dalam kehidupan. Apa yang perlu difahami bahawa konsep ini bertujuan untuk membantu manusia mencari keseimbangan, kepuasan dan kegembiraan dalam kehidupan. Saya mengakhiri artikel kali ini dengan meninggalkan persoalan di bawah:

“Apakah hal-hal kecil yang dapat anda lakukan pada hari ini yang boleh menggambarkan ‘Ikigai’ anda?”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami