Ibadah

Bagaimana Menunaikan Solat Boleh Menggugurkan Dosa

Oleh Fizah Lee  •  27 Oct 2020  •  3 min baca

Solat adalah tiang agama dan ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Dengan menunaikan solat, kita telah mengabdikan diri kepadaNya.

Solat itu akan lebih dirasai dan terasa nikmatnya apabila dihayati makna bacaan yang disebut. Bahkan, solat yang sempurna boleh membantu menghapuskan dosa.

Ada sebuah hadis yang disebutkan mengenai gugurnya dosa-dosa orang yang menunaikan solat;

Maksud: “Solat lima waktu dari (solat) Jumaat ke solat Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadan ke puasa Ramadan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 233)

Bukan mudah untuk menggapai kesempurnaan solat, namun setiap dari kita perlu meletakkan usaha untuk memperbaiki solat kita ke arah kebaikan kerana solat merupakan tanggungjawab kita sendiri.

Sebab utama perlu memperbaiki solat adalah untuk menjadikan ia sebagai salah satu amalan yang boleh menebus dosa yang dilakukan. Sebagaimana hadis yang dibawakan di awal entri ini, solat merupakan salah satu sebab dosa boleh digugurkan.

Persoalannya, bagaimana dengan solat boleh menggugurkan dosa?

#1 – Orang Yang Menunaikan Solat Diibaratkan Mandi Setiap Hari

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatka dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;

Maksud: “Apa pendapat kalian sekiranya ada sungai di hadapan pintu rumah dan setiap hari kalian akan mandi lima kali sehari. Adakah kalian merasakan bahawa masih ada kotoran (daki) pada badanmu?

Para sahabat kemudian menjawab: “Tidak akan ada kotoran yang tersisa sedikit pun pada badannya.”

Baginda SAW kemudian menjawab: “Sama sahaja dengan orang yang menunaikan solat lima waktu. Allah akan menghapus semua kesalahannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 528)

Jika diamati, perbuatan mandi itu melibatkan banyak perkara untuk memastikan badan betul-betul bersih seperti menggosok gigi, mencuci muka, membasuh badan dengan sabun dan mencuci rambut.

Jika salah satu daripada langkah ini ditinggalkan, maka tidak sempurnalah aktiviti mandi tersebut dan ia akan menyebabkan ada anggota badan yang tidak dibersihkan dengan sepenuhnya.

Nah, begitulah perihalnya dengan solat. Ia perlu dilakukan dengan baik dan berhati-hati agar setiap ‘kotoran’ yang ada boleh dihilangkan dengan baik.

#2 – Perbuatan Memohon Ampun Dalam Setiap Posisi Solat

Jika anda menghayati makna dalam bacaan solat, pasti anda memahami bahawa setiap bacaan tersebut adalah sebuah pengharapan kepada Allah.

Bukan sahaja pengharapan agar diberi kesejahteraan untuk kehidupan di dunia, tetapi juga supaya Allah mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan.

Sebagai contoh, bacaan ketika duduk antara dua sujud ialah

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافَنِيوَاعْفُ عَنِّي

Maksud: “Wahai tuhanku, ampunkan dosaku, rahmati aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepadaku, lindungi aku dan ampunkan aku.” (Kitab Tuhfah al-Muhtaj, 2/77)

Kesimpulan

Manusia tidak dapat lari dari melakukan dosa dan perbuatan yang melanggar peraturan sama ada dunia mahupun akhirat. Namun, setiap kesilapan itu sentiasa diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat.

Salah satu caranya adalah dengan meminta ampunan Allah dengan memperbetulkan solat kita kerana ia boleh membantu menggugurkan dosa-dosa yang dilakukan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami