Gaya Hidup, Hukum

Aplikasi Like & Share – Apa Pandangan Islam Mengenainya

Oleh Fizah Lee  •  17 Nov 2020  •  4 min baca

Pandemik COVID-19 semakin hari memberi impak yang besar kepada setiap insan termasuklah pelbagai sektor. Antara yang paling terkesan adalah dalam sektor ekonomi.

Kita lihat hari ini, dunia diuji dengan pelbagai perkara serta ramai yang kehilangan punca pendapatan. Hal ini menyebabkan ada dalam kalangan kita yang melakukan apa sahaja bidang pekerjaan untuk mendapatkan rezeki berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang ada.

Banyak kisah yang tular seperti pramugari yang mencari rezeki dengan menjual nasi lemak, ada yang menjadi pemandu Grab dan penghantar makanan serta banyak lagi.

Situasi ini membuktikan bahawa setiap manusia sedang berjuang dengan kehidupan masing-masing. Bahkan, ada juga kewujudan platform yang menawarkan pendapatan yang lumayan dengan bidang tugas yang mudah, iaitu like dan share akaun media sosial.

Namun, adakah penawaran pekerjaan ini halal di sisi syariat Islam dan bagaimana pula dengan sumbernya?

Ketahui Apa Itu Platform Ini

Sebelum itu, mari kita lihat apa itu platform like share ini.

Platform ini membekalkan tugas yang mudah, iaitu dengan hanya perlu like, follow atau share akaun media sosial yang dinyatakan. Kewujudan platform ini adalah untuk menawarkan pendapatan kepada mereka yang menyertainya.

Ada dua kategori yang yang ditawarkan, iaitu yang perlu mendaftar dengan mengeluarkan modal terlebih dahulu atau tanpa modal.

#1 – Jika anda memilih untuk tidak mengeluarkan modal, maka tugasnya adalah mudah. Ia berfungsi dengan perlu melakukan 3 tugasan sehari dengan bayaran RM1 sahaja.

#2 – Jika memilih untuk mengeluarkan modal pula terlebih dahulu, maka tugas akan diberi hanya apabila anda membuat bayaran dan semakin banyak modal yang dikeluarkan, maka semakin lumayan pulangan yang diberikan.

Modal itu bergantung kepada pakej yang ditawarkan seperti gold, diamond, platinum dan beberapa lagi.

Apa Pula Hukumnya

Bagaimanapun, adakah perkara ini dibenarkan menurut syariat?

Menurut pendapat yang telah dinyatakan oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman, jika anda berada di kategori pertama, perkara itu tidak mengandungi unsur yang meragukan, maka tiada masalah akannya.

Adapun, perlu dilihat juga jenis tugasan yang perlu dilakukan; sama ada tugasan itu menepati syariat mahupun tidak.

Namun, jika anda berada di kategori yang kedua, iaitu anda hanya diberi tugasan selepas membuat bayaran, maka di sini jelas terdapat unsur syubhah, iaitu perkara yang meragukan.

Mengapa modal perlu dibayar terlebih dahulu tanpa anda mengetahui secara jelas tentang apa yang perlu dilakukan? Sedangkan, salah satu perkara yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan pekerjaan adalah dengan memeriksa akan halal dan haramnya.

Berbalik juga kepada kategori pertama, walaupun ia dilakukan tanpa mengeluarkan modal, namun keraguan juga masih timbul mengenai dari mana wang tersebut datang dan bagaimana syarikat itu berfungsi.

Bahkan, apabila dikaji mengenai perkara ini juga, ada di kalangan akaun yang tersenarai untuk dilawati (like dan share), ternyata ada di antara mereka sebenarnya juga tidak tahu-menahu akan perkara ini.

Ia bukan sahaja termasuk dalam perkara yang meragukan tetapi juga salah di sisi undang-undang.

Sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Nabi SAW yang mengajar umatnya untuk menjauhi perkara yang meragukan, iaitu;

الْحَلاَلُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَ ذَلِكَ أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَدْرِي كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ أَمِنَ الْحَلاَلِ هِيَ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang ramai. Maka, siapa yang takut kepada yang syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhah, maka dia akan terjerumus ke dalam perkara yang haram.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1205)

Mengikut Islam, setiap pelaburan yang dilakukan hendaklah menepati kehendak syarak dan bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Antara yang dititikberatkan adalah perlu bersih daripada unsur kezaliman, penipuan, penindasan dan perkara yang membawa kepada larangan dalam Islam.

Jadi, dalam hal ini jelas menunjukkan terdapat beberapa keraguan yang timbul dan ia boleh memberi kesan kepada pendapat yang diperoleh. Justeru, adalah lebih baik untuk mengelakkannya.

Kesimpulan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), Skim Penipuan Ponzi atau Cepat Kaya selalunya menggambarkan diri mereka sebagai salah satu peluang pelaburan yang menguntungkan.

Malah, antara tanda untuk mengenali mereka adalah selalunya skim ini akan memerlukan anda untuk membuat bayaran pendahuluan. Syarikat mereka pula biasanya didaftar, namun perniagaan mereka tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Jika undang-undang negara juga melihat mereka sebagai sebuah kesalahan yang perlu dibanteras, apatah lagi dengan undang-undang Islam.

Berhati-hatilah dalam setiap perbuatan kita untuk mencari rezeki kerana setiap hasil yang kita makan dan beri kepada orang sekeliling kita seperti ibu bapa, itulah yang akan menjadi darah daging kita.

Tiada kesenangan dalam hidup ini, namun kesusahan juga tidak akan kekal lama. Oleh itu, gunakanlah cara yang halal dalam usaha anda untuk mencari rezeki. Necaya, ALlah akan membantu mempermudahkan segala urusan anda dan memberi keberkatan di sebaliknya.

Elakkan perkara yang syubhah (meragukan) kerana ia adalah perkara yang ditegah dalam agama.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Hukum Skim Cepat Kaya Dan Seumpamanya
3 Info Tentang Apps Like Share
Haikal Omar – Like Share


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami