Ibadah

Apakah Hukum Tidak Mendengar Khutbah Jumaat?

Oleh Natirah Azira  •  28 Sep 2018  •  4 min baca

Jumaat datang lagi membawa rahmat dan keberkatan dari Allah SWT. Setiap Muslim sangat digalakkan untuk melakukan pelbagai amalan sunat pada hari Jumaat seperti mandi dan bersuci, memakai wangi-wangian ke masjid, membaca Surah Al-Kahfi, berdoa, memperbanyakkan zikir dan banyak lagi. Bagi setiap lelaki Muslim pula, Solat Jumaat merupakan suatu tanggungjawab yang tidak lagi asing.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) (Surah Al-Jumu’ah, ayat 9)

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.”(Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan)

Anjuran Solat Jumaat dalam ayat dan hadis diatas jelas menggambarkan kepentingannya. Allah menggunakan perkataan ‘bersegeralah’ , namun kerap kali kita melihat situasi di mana sebahagian orang (atau kita sendiri) terlewat datang ke masjid pada Hari Jumaat sehingga tidak sempat untuk mendengar khutbah.

Apakah hukumnya? Mari kita lihat penjelasan para ulama tentang hal ini.

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (bekas Mufti Besar Mesir) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka orang yang datang lewat, tanpa mendengar khutbah, sah solat jumaatnya tetapi mereka terlepas fadhilat mendengar khutbah yang amat besar pahalanya. Namun jika orang-orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang dari 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar”

Pendapat yang sama turut dipegang oleh ilmuwan di Malaysia seperti Ustaz Azhar Idrus dan juga Dr Rozaimi Ramle. Orang yang terlewat datang ke masjid, solat Jumaatnya masih sah namun fadhilat serta kelebihan yang dinyatakan dalam hadis di bawah tidak akan diperoleh.

Segala Dosa Kecil Akan Diampunkan Diantara Dua Jumaat

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Salman al-Farisi RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ، أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَخْرُجُ، فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ، ثُمَّ يُصَلِّى مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: “Seseorang yang mandi dan bersuci pada hari Jumaat sekadar yang termampu, memakai minyak dan wangi-wangian, kemudian ke masjid dan tidak mengganggu para jemaah dan seterusnya mendirikan solat yang ditentukan, diam ketika imam berkhutbah. Maka segala dosa kecilnya akan diampunkan di antara Jumaat dan Jumaat yang akan datang.”
Riwayat al-Bukhari (843)

Diam Ketika Mendengar Khutbah

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ . وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

“Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘Diamlah, khatib sedang berkhutbah!’ Sungguh engkau telah berkata sia-sia.”(HR. Bukhari no. 934 dan Muslim no. 851)

An Nadhr bin Syumail berkata, “Laghowta’ bermakna luput dari pahala.” Ada pula ulama yang berpendapat, maksudnya adalah tidak mendapat keutamaan ibadah Jumaat. Ulama lain berpendapat bahawa yang dimaksudkan adalah ibadah Jumaatnya menjadi Solat Zuhur biasa (Lihat Fathul Bari, 2: 414).

Ibnu Battol berkata, “Para ulama yang biasa memberi fatwa menyatakan wajibnya diam ketika khutbah Jumaat.” (Syarh Al Bukhari, 4: 138, Asy Syamilah)

Yang dimaksudkan “tidak ada Jumaat baginya” adalah tidak ada pahala sempurna seperti yang diperoleh oleh orang yang diam. Kerana para fuqaha bersepakat bahawa Solat Jumaat orang yang berbicara itu sah, dan tidak perlu diganti dengan Solat Zuhur empat rakaat. (Lihat penjelasan Ibnu Battol dalam Syarh Al Bukhari, 4: 138, Asy Syamilah)

Segala keterangan diatas menunjukkan betapa pentingnya untuk memberi perhatian ketika khutbah. Namun adakah hukum bercakap di sini haram atau hanya makruh? Para ulama berbeza pendapat. Al Qadhi berkata bahwa Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’i serta kebanyakan berpendapat wajibnya diam saat khutbah.

Dalam hadis disebutkan, “Ketika imam berkhutbah”. Ini menunjukkan bahwa wajibnya diam dan larangan berbicara adalah ketika imam berkhutbah saja. Inilah pendapat madzhab Syafi’i, Imam Malik dan majoriti ulama. Berbeza dengan Abu Hanifah yang menyatakan wajib diam sampai imam keluar.” (Syarh Shahih Muslim, 6: 138-139)

Solat Jumaat memang terasa seperti rutin, namun perkara rutin inilah yang membantu menampung segala kekurangan kita sepanjang minggu. Allah menjanjikan bahawa dosa-dosa kecil yang dilakukan akan diampunkan antara kedua Jumaat. Rugi kiranya jika kita tidak mengambil peluang yang telah disediakan di depan mata. Semoga Jumaat kita kali ini lebih menghampiri sempurna, InsyaAllah.

Rujukan:
https://rumaysho.com/2090-hukum-berbicara-ketika-khutbah-jumat.html
ilmudanulamak.blogspot
Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 231: Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Kerana Bertembung Dengan Kelas Pengajian


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami