Gaya Hidup

Apa Itu Taubat Nasuha

Oleh Natirah Azira  •  5 Feb 2020  •  2 min baca

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha(Surah At-Tahrim 66:8)

Kita sering mendengar saranan supaya melakukan taubat nasuha. Namun apakah sebenarnya maksud yang tersembunyi di sebalik perkataan taubat secara ‘nasuha’ ini?

Makna Taubat Nasuha

Dari sudut bahasa perkataan ‘nasuha’ dalam ayat di atas berasal daripada perkataan نصح (na-so-ha) yang bermaksud sesuatu yang bersih, murni dan tidak bercampur dengan sesuatu yang lain.

Bermakna, taubat ini dikatakan taubat nasuha jika orang yang melakukan taubat tersebut memurnikan taubatnya, atau dalam erti kata lain jujur dan ikhlas dalam taubatnya semata-mata kerana Allah SWT.

Ia terzahir dalam usahanya untuk bertaubat, iaitu mencurahkan segala daya dan kekuatan yang dia mampu untuk menyesali dosa-dosanya.

Taubat Yang Jujur Dan Menghapus Keburukan

Ibnu Kathir ada menerangkan ayat di atas dengan berkata,

“Iaitu (taubat nasuha) taubat yang jujur, yang didasari tekad yang kuat, yang menghapus keburukan-keburukan di masa silam, yang menghimpun dan mengangkat pelakunya dari kehinaan” (Tafsir Al-Qur’anul ‘Adzim, 4/191)

Manakala dalam Kitab Tafsir Jalalain, disebut bahawa taubat nasuha adalah taubat yang jujur, iaitu orang yang melakukan taubat tidak kembali melakukan dosa dan tidak berniat untuk mengulanginya. (Tafsir Jalalain, 1/753)

Orang yang melakukan taubat nasuha adalah yang melakukan taubat dalam bentuk paling sempurna.

Taubat Yang Memperbaiki Ketaatan

Selain daripada penerangan di atas, ada pendapat lain yang mempunyai maksud lebih dalam dan istimewa tentang taubat nasuha ini.

Dari kitab ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari dijelaskan, bahawa makna asal dari ‘nasihah’ diambil dari tindakan seseorang menjahit pakaiannya, ketika dia menyulam pakaiannya dengan jarum.

Kemudian, dari perkataan ‘nasihah’ tersebut muncullah istilah taubat nasuha. Seolah-olah dosa (maksiat) telah merobek agama seseorang dan taubatlah yang menjahit kembali robekan tersebut. (Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari, 1/321)

Imam Qurtubi juga mempunyai pandangan yang sama – bahawa perkataan nasuha berasal daripada perkataan ‘an-nasohah’ iaitu ‘jahitan’. Sebagaimana jahitan dapat memperbaiki pakaian yang koyak dan menguatkannya, maka begitu juga taubat, ia memperbaiki ketaatan seseorang dan menguatkannya.

Kesimpulan

Apabila diterangkan bahawa taubat nasuha ini adalah taubat yang paling murni dan sempurna, ini tidak bermakna bahawa kita boleh melakukan taubat-taubat yang biasa kita lakukan secara main-main. Seharusnya setiap taubat diusahakan sebaik mungkin dengan cara paling sempurna.

Justeru, anjuran supaya melakukan taubat nasuha ini adalah untuk menggalakkan seseorang melakukan sedaya upaya usaha dalam bertaubat. Dia memperkuat taubatnya dengan melaksanakan pelbagai jenis amal ketaatan untuk meraih kembali redha dan kasih sayang Allah. Wallahua’alam.

Rujukan:

Muslimah.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami