Hukum, Keluarga

Apa Itu Perjanjian Ta’liq Perkahwinan

Oleh Natirah Azira  •  10 Feb 2020  •  3 min baca

Ta’liq bermaksud perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syara’ dan seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri.

Cerai ta’liq boleh berlaku apabila terjadi pelanggaran ke atas ta’liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh mahkamah.

Hukum amalan ta’liq ini tidak wajib dalam Islam tetapi boleh diamalkan apabila dipersetujui kedua-dua belah pihak. Apabila suami telah melanggar perjanjian ta’liq tersebut maka jatuhlah talak.

Ta’liq boleh dibahagikan kepada ta’liq rasmi dan ta’liq lisan serta ta’liq tambahan.

Ta’liq Rasmi

Amalan ta’liq rasmi bertujuan untuk melindungi isteri dalam perkahwinan, biasanya melibatkan tiga isu iaitu mengelakkan isteri daripada ditinggalkan suami, pengabaian nafkah isteri oleh suami dan sebarang kemudaratan yang dilakukan oleh suami terhadap isteri.

Suami akan menyebut lafaz perjanjian ta’liq tersebut dalam upacara akad nikah, dan jika perjanjian tersebut dilanggar pada masa hadapan, maka talak akan jatuh. Walau bagaimanapun lafaz talak ta’liq ini berbeza-beza mengikut negeri dan proses aduan juga perlu dibuat mengikut prosedur tertentu.

Contohnya di Terengganu, lafaznya adalah seperti berikut:

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggalkan saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”

Sedangkan di Selangor, ia merangkumi tiga aspek – meninggalkan isteri selama empat bulan hijrah secara berturut-turut, pengabaian nafkah dan juga kemudaratan yang dilakukan ke atas isteri.

Ta’liq Lisan

Ta’liq lisan adalah ta’liq yang dibuat oleh suami dengan pilihannya sendiri dan biasanya tidak menyentuh isu-isu yang telah dinyatakan dalam ta’liq rasmi.

Suami bebas melafazkan sebarang ta’liq sama ada ianya diucapkan dengan kehendak sendiri seperti suami menghalang isteri dari keluar lewat malam untuk bersuka ria atau atas permintaan isteri contohnya isteri mensyaratkan kepada suami untuk tidak berpoligami jika tidak talak akan jatuh.

Antara contoh lafaz taklik yang biasa berlaku juga seperti berikut.

“Kalau awak keluar rumah, jatuh talak”
“Kalau awak jumpa lelaki itu lagi, jatuh talak”

Lafaz-lafaz begini biasanya diucapkan bagi menghalang isteri daripada melakukan perkara yang tidak disukai.

Namun, lafaz ta’liq lisan yang dilafazkan di luar mahkamah ini diklasifikasikan sebagai perceraian luar mahkamah seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 dan dikira sebagai satu kesalahan.

Ucapan ta’liq ini tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mengongkong dan membebankan kehidupan isteri. Seharusnya, ta’liq lisan ini didokumenkan dan didaftarkan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Pegawai Tadbir Agama Daerah untuk menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak. Ta’liq lisan yang telah didokumen dan didaftarkan ini dipanggil juga sebagai ta’liq tambahan.

Ta’liq Tambahan

Ta’liq ini merupakan ta’liq yang dibuat berdasarkan kehendak suami, permintaan isteri atau melalui perbincangan dan persetujuan bersama kedua-dua pihak tanpa melibatkan perkara yang sudah ada dalam ta’liq rasmi.

Ta’liq berkenaan perlu dibuat di hadapan pihak yang bertanggungjawab seperti Pegawai Tadbir Agama dan setiap butiran perjanjian tersebut perlu direkodkan dan didokumenkan sebagai bukti kewujudan ta’liq tambahan antara pasangan.

Suami dan isteri boleh memasukkan sebarang tuntutan yang boleh memberikan kebaikan buat mereka pada masa hadapan.

Kesimpulan, tujuan ta’liq adalah untuk menjaga hak-hak seorang isteri serta keperluan seorang suami. Ta’liq lisan atau tambahan contohnya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh si suami untuk kepentingan peribadi.

Selain itu, setiap kes pelanggaran perjanjian juga perlu dirujuk kepada pihak agama dan mahkamah untuk lebih difahami. Hukum perceraian akan berkuatkuasa apabila mahkamah mensabitkan ianya jatuh. Wallahua’lam.

Rujukan:

Ta’liq Talaq Menurut Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami