Ibadah

Antara Nikmat Kubur Yang Dinyatakan Melalui Hadis

Oleh Fizah Lee  •  23 Dec 2020  •  3 min baca

Sebelum ini, Tzkrh pernah berkongsi mengenai himpitan kubur yang merupakan salah satu daripada azab kubur buat manusia yang ingkar akan arahan Allah.

Jadi, entri kali ini pula akan memperlihatkan nikmat kubur buat manusia yang beriman dan taat kepada Allah.

Benarkah wujudnya nikmat kubur? Alam kubur ialah alam ghaib yang tiada siapa dapat menceritakannya melainkan buat mereka yang pernah melaluinya sahaja.

Ia adalah suatu bentuk kepercayaan dan rukun iman yang perlu dipercayai kerana alam akhirat adalah suatu alam yang dijanjikan Allah, bakal dilalui oleh kita semua.

Jadi, salah satu cara untuk meneguhkan keimanan kita adalah dengan melihat tanda-tanda yang telah disampaikan melalui hadis dan kalamNya. Antara bentuk nikmat kubur yang telah diceritakan adalah:

#1 – Diperlihatkan nikmat syurga kepadanya

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga, maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka, maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya: “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” (HR Bukhari, no. 1379)

#2 – Kubur yang diterangi cahaya

Maksud: “Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?”

Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusanNya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan utusanNya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian, diberi cahaya baginya di dalamnya.” Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” (HR Tirmizi, no. 1071)

#3 – Direhatkan dari kepayahan dunia

Dari Ma’bad bin Ka’ab bin Malik dari Abu Qatadah bin Rabi’i bahawa ia menceritakan – Pada suatu ketika, lalu satu jenazah di hadapan Rasulullah, maka Baginda bersabda – “Mustariih dan Mustaraah.”

Kemudian, para sahabat bertanya – “Apa yang dimaksudkan dengan mustariih dan mustaraah?”

Kemudian, Baginda menjawab – “Mustariih adalah seorang hamba yang beriman akan beristirehat dari kepayahan dunia. Mustaraah pula adalah berkenaan dengan seorang hamba yang fajir (berbuat kezaliman, derhaka kepada Allah). Justeru, seluruh negeri, hamba dan binatang boleh beristirehat dari sifat fajirnya (kezaliman).” (HR Muslim, no. 950)

#4 – Para malaikat memberi salam kepada mereka

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ ۙ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Mafhum: “(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl, 16:32)

Kesimpulannya, percaya kepada alam akhirat adalah termasuk dalam salah satu rukun iman yang perlu diteguhkan dari dalam hati kita.

Suatu masa kelak, kita pasti akan melaluinya dan semoga kita mampu meraih nikmat alam akhirat ini dengan jayanya. Amiin!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami