Ibadah

Antara Doa Yang Boleh Dibaca Untuk Menghilangkan Gemuruh

Oleh Fieyzah Lee  •  21 Oct 2019  •  2 min baca

Gementar, gemuruh dan berdebar merupakan antara perasaan yang akan hadir dalam diri setiap manusia tatkala ditimpa sesuatu yang tidak disangka atau dalam situasi mereka terpaksa berhadapan dengan semua orang.

Bukan mudah untuk mengawal perasaan dan emosi diri saat itu terutamanya jika ia merupakan antara hari atau situasi yang paling ditakuti seperti ketika menghadiri temuduga, ingin meyakinkan pelanggan dan sebagainya.

Banyak teknik yang telah dikongsikan oleh pakar-pakar motivasi seperti menarik nafas panjang dan menghembuskannya dalam keadaan tenang, duduk dan elakkan pergerakan yang terlampau banyak serta elakkan makan makanan yang boleh mengganggu perut.

Yang paling penting ialah minda perlu diletakkan dalam keadaan tenang dan yakin bahawa ia akan berlalu dengan lancar dan semuanya akan berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

Katakan pada diri anda bahawa anda mampu untuk melalui situasi tersebut dengan baik berulang kali agar keyakinan itu akan timbul dari dalam diri anda sendiri.

Buat mereka yang beragama Islam, pastinya akan mencari kekuatan dan pengharapan daripada Yang Maha Esa kerana hanya padaNya tempat pergantungan yang hakiki.

Malah, jika dilihat pada sirah-sirah nabi dan rasul terdahulu, mereka pasti akan berdoa kepada Allah agar segala perjalanan dakwah dapat dilalui dengan lancar dan tenang.

Berikut merupakan antara doa yang pernah diujarkan oleh para nabi terdahulu dan dianjurkan kepada kita untuk mengamalkannya;

#1 – Doa Nabi Musa

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِ
يَفْقَهُوا قَوْلِي

Mafhum: “Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; dan mudahkanlah bagiku, tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.” (Surah Taha, 20: 25-28)

#2 – Doa Dipermudahkan Urusan

اللهمَّ لا سهلَ إلا ما جعلتَه سهلًا ، و أنت تجعلُ الحَزْنَ إذا شئتَ سهلًا

Maksud: “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau menghendakinya.” (Hadis Riwayat Anas bin Malik, no. 2886)

#3 – Doa Memohon Pertolongan

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث

Maksud: “Wahai Rabb Yang Maha Hidup, Yang berdiri sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu, aku meminta pertolongan.” (Hadis Riwayat Anas bin Malik, 4/43)

Kesimpulan

Persiapan mental merupakan antara yang penting sebagai persediaan untuk menghadapi situasi yang genting. Namun, jangan diabaikan persiapan rohani dan dalaman sendiri kerana setiap sesuatu itu berlaku dengan izinNya.

Melakukan solat hajat untuk meminta bantuan dan pertolongan dari Allah, memperbanyakkan selawat agar segala yang ingin disampaikan tidak mudah lupa serta membaca doa adalah antara ritual terpenting yang boleh diamalkan bagi menjadikan ia mudah dan lancar.

Semoga setiap urusan harian anda semua dipermudahkan urusan olehNya kerana hanya Dia yang berkuasa melakukan setiap sesuatu.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami