Ibadah

Antara Doa Yang Boleh Diamalkan Untuk Membantu Melangsaikan Hutang

Oleh Fizah Lee  •  24 Dec 2020  •  4 min baca

Orang kata, berdoa sahaja tidak cukup jika ia tidak diikuti dengan usaha. Usaha itu pula perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat hasil yang diinginkan.

Namun, itu bukanlah bermaksud hanya usaha sahaja yang diletakkan sebanyak seratus peratus, namun doanya kurang.

Doa dan usaha perlu dilakukan selari. Sebagai contoh, untuk anda yang sedang dibebani masalah hutang, pastinya anda melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyelesaikan hutang tersebut, bukan?

Namun, adakah anda juga berdoa dan memohon kepada Allah agar diberi jalan keluar daripada bebanan hutang itu?

Nah, disebabkan itulah Islam mengajarkan kepada kita pelbagai jenis doa yang boleh diamalkan sesuai dengan situasi yang sedang dialami.

Jika anda mempunyai bebanan hutang, maka berdoalah kepada Allah agar ia boleh dilangsaikan. Nescaya, Allah akan membantu memberikan jalan keluar kepada anda dari arah yang tidak disangka-sangka.

Berkait dengan doa untuk melangsaikan hutang, ada beberapa doa yang telah diajarkan dan boleh diamalkan oleh anda, iaitu;

#1 – Hadis Abu Said Al-Khudri RA

Daripada Abu Said al-Khudri berkata, ada satu ketika, Rasulullah telah memasuki masjid, kemudian ada seorang sahabat yang bernama Abu Umamah RA yang juga sedang duduk di dalamnya. Baginda menyapa beliau dan bertanya – “Wahai Abu Umamah, mengapa aku melihat engkau duduk di masjid sedangkan ini bukanlah waktu solat?”

Kemudian, Abu Umamah menjawab – “Dukacita dan hutang telah menyelubungiku wahai Rasulullah.”

Baginda kemudian bertanya – “Mahukah kamu aku ajarkan satu doa, jika kamu membacanya maka Allah akan menghilangkan rasa dukacita kamu dan melangsaikan hutang kamu?”

Kemudian, Abu Umamah mengiyakan. Rasulullah berkata – “Ucaplah doa ini apabila tiba pada waktu pagi dan petang:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksud” Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah berkata – “Selepas membaca doa ini, Allah telah menghilangkan kedukaan aku dan melunaskan hutangku.” (HR Abu Daud, 4/353)

#2 – Hadis ‘Aisyah RA

Saidatina ‘Aisyah RA memberitahu bahawa Nabi SAW telah berdoa di dalam solat sebelum memberi salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksud: “Ya Allah! Seusngguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (HR Bukhari, no. 832)

#3 – Hadis Ali RA

Daripada Ali RA berkata, ada seorang hamba yang telah datang menemuinya dan berkata – “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah, iaitu antara hamba dengan tuannya untuk membebaskan dirinya), maka tolonglah aku.”

Saidina Ali kemudian berkata – “Mahukah kamu aku ajarkan doa yang telah Rasulullah ajarkan kepada mereka? Iaitu jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikannya untuk kamu. Doa itu ialah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksud: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram dan cukupkanlah aku dengan kurniaanMu daripada bergantung kepada selain dariMu.” (HR Tirmizi, no. 3565)

#4 – Hadis Suhail RA

Suhail RA berkata – “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan, kemudian mengucapkan:

اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ

Maksud: “Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, tuhan kamu dan tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (al-Quran).

Aku memohon perlindungan denganMu daripada segala kejahatan sesuatu yang engkau memegang rambut hadapannya (iaitu semua makhluk di bawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkaulah yang awal, sebelumMu tiada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelahMu tiada sesuatu. Engkaulah yang zahir, tiada sesuatu di atasMu. Engkaulah yang Batin, tiada sesuatu yang terlepas daripadaMu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan sehingga terlepas daripada kefakiran.” (HR Muslim, no. 2713)

Kesimpulan

Doa-doa ini boleh diamalkan mengikut kesesuaian dan situasi diri sendiri. Selain doa di atas, anda juga boleh berdoa dengan mudah melalui bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu agar lebih dekat dan menghayatinya.

Wallahu a’alam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami