Ibadah

Antara Amalan 10 Malam Terakhir Buat Wanita Dalam Keadaan Haid

Oleh Fizah Lee  •  15 May 2020  •  3 min baca

Pejam celik, pejam celik, rupanya kita sudah memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan. Tanpa sedar, begitu cepat masa berlalu sedangkan kita masih lagi ingin menghayati nikmatnya menyambut Ramadan.

Mungkin Ramadan kali ini dirasakan lebih pantas berlalu kerana kita menyambutnya dalam kebiasaan baru serta tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ada di kalangan kita yang hanya menyambutnya di rumah bersama keluarga tercinta kerana persekolahan atau universiti masih lagi belum dibuka.

Ada juga yang hanya menyambut berseorangan akibat tidak dapat pulang ke kampung halaman. Semuanya itu merupakan salah satu pengalaman hidup buat anda sendiri. Jangan merungut, sebaliknya raikanlah Ramadan dengan penuh penghayatan.

Ramai yang sudah mula mengejar lailatul Qadar. Mengharapkan agar dapat dipertemukan dengan malam tersebut kerana diriwayatkan bahawa ia adalah lebih baik dari seribu bulan.

Namun, buat kaum wanita yang tiba-tiba diuji dengan tidak dapat meneruskan puasa kerana kedatangan haid, pasti wujud sedikit perasan hampa kerana tidak dapat melaksanakan ibadah pada 10 malam terakhir ini.

Namun, jangan risau kerana ia bukanlah penghalang untuk anda daripada terus beribadah. Sebenarnya, banyak perkara sunat yang anda boleh dilakukan bagi mengubat kekecewaan tersebut.

#1 – Memberi Makanan Kepada Orang Yang Berpuasa

Walaupun anda tidak berpuasa, namun ia tidak menjadikan halangan untuk anda mendapatkan pahala puasa yang diganjari Allah.

Tidak semestinya memberi makan nasi beriyani atau nasi dagang yang di luar kemampuan anda kerana resepinya yang sukar untuk dimasak. Anda boleh memasak lauk yang mudah atau membelinya dari mana-mana restoran.

Berilah kepada jiran atau pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahan anda. Yang penting ialah keikhlasan anda sendiri.

Maksud: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 807)

#2 – Gantikan Tarawih Dengan Zikrullah

Walaupun anda tidak dapat melakukan solat sunat Tarawih, namun ia tidak bermaksud anda boleh mensia-siakan peluang dan waktu itu begitu sahaja.

Ambil masa seketika untuk berzikir dan berselawat. Tidak perlu tunggu Tarawih. Selepas selesai mengemas juadah berbuka puasa dan mandiri, anda boleh meluangkan sepuluh ke lima belas minit untuk berzikir.

Amalkan zikir yang selalu dilazimi dan yang mudah meniti di bibir kerana banyak pahala besar yang menanti anda.

Mafhum: “Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah dengan banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah Al-Ahzab, 33:35)

#3 – Jangan Tinggalkan Amalan Berdoa Sebelum Berbuka

Berdoa itu tertakluk kepada semua manusia, sama ada anda berpuasa mahupun tidak. Justeru, buat anda yang diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, jangan tinggalkan amalan berdoa itu.

Ambil masa sejenak untuk berdoa kepadaNya sebelum waktu berbuka puasa.

Mafhum: “Dan tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya, orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

#4 – Bangun Malam Untuk Beribadah

Qiamullail tidak terhad kepada mereka yang ingin menunaikan solat sunat Tahajud semata-mata, namun lebih daripada itu.

Anda boleh berzikir, berdoa, membaca tafsir Quran, berselawat dan sebagainya. Banyak ibadat sunat yang boleh dilakukan.

Hal ini membuktikan bahawa, wanita yang dalam keadaan haid juga boleh bangun pada dua pertiga malam untuk melaksanakan qiamullail.

Kesimpulan

Berada dalam keadaan haid tidak membataskan anda untuk beribadah. Sebaliknya, banyak ibadah-ibadah sunat yang masih boleh dilakukan oleh wanita yang dalam keadaan hadas besar.

Walaupun anda sudah kehilangan peluang untuk berpuasa, namun ia tidak menjadi penghalang untuk anda meraih pahala yang diganjari Allah.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami