Gaya Hidup

Amalkan 7 Tip Ini Untuk Elak Tidur Selepas Subuh

Oleh Azian Mohamed Isa  •  20 May 2020  •  3 min baca

Amalan berpagi-pagi selepas Subuh sangat digalakkan oleh Islam. Malah, Rasulullah SAW mendoakan keberkatan buat umatnya yang memanfaatkan waktu pagi. Nabi SAW pernah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar angkatan tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).”
(Riwayat Abu Daud, no.2606 – Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih)

Amalan tidur selepas waktu Subuh sehingga matahari terbit adalah tidak digalakkan. Kajian saintifik menunjukkan pada waktu pagi, badan menghasilkan hormon serotonin paling tinggi.

Semakin tinggi serotonin, semakin ceria dan gembira emosi seseorang. Dalam kehadiran cahaya, terutama sekali cahaya semula jadi dari matahari, tahap serotonin meningkat dan menghasilkan kesan positif pada ‘mood’ seseorang.

Menyedari manfaat ini, mari kita lihat tujuh panduan yang boleh diikuti untuk mengelak daripada tidur selepas Subuh.

#1- Tidur Awal

Tidur yang mencukupi pada malam hari menjadikan badan lebih segar dan cergas. Waktu tidur yang dicadangkan adalah sekitar 6.5 jam. Dalam tempoh ini, badan berada dalam fasa penumbuhan dan pemulihan dan hati menjalani proses detoksifikasi sekitar jam 11 malam hingga 3 pagi.

Seperti tubuh yang berkehendak untuk bernafas, makan dan minum, tidur juga tidak terkecuali. Jangan pandang remeh pada nikmat yang Allah beri ini.

#2- Mandi

Mandi dapat menyegarkan tubuh. Air sejuk yang terkena permukaan kulit meningkatkan keupayaan arteri untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Akibatnya, jantung berdegup laju dan sistem peredaran darah adalah pada tahap yang paling optimum.

#3- Kemas Katil

Dengan mengemas katil setiap pagi anda sebenarnya telah berjaya menyelesaikan tugasan pertama pada hari tersebut. Hasilnya, anda akan jadi lebih bersemangat untuk meneruskan tugasan harian yang lain. Jika berasa mengantuk, anda mungkin tidak sanggup untuk merosakkan katil yang sudah anda kemas dan susun rapi tadi.

#4- Zikir Harian Dan Membaca Al-Quran

Lazimi doa-doa yang mathur yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti al-Mathurat setiap pagi. Anda juga boleh membaca surah-surah pilihan daripada al-Quran. Pilih satu ayat yang membuat anda terkesan dan tulis semula ayat ini di dalam buku catatan berserta maknanya. Perhatikan sebab-sebab penurunan ayat dan kaitkan dengan kehidupan anda.

#5- Sarapan

Pastikan anda mengambil sarapan seawal satu jam selepas bangun dari tidur. Sarapan bukan saja membekalkan tenaga untuk tubuh malah amalan ini membantu sistem metabolisme tubuh berada pada tahap yang paling optimum. Anda akan jadi lebih cergas dan dapat mengawal diri daripada makan secara berlebihan.

#6- Senaman

Setiap pagi, peruntukkan 30 minit untuk melakukan pergerakan fizikal seperti berjalan kaki, menaiki tangga, berlari atau berbasikal. Aktiviti ini bukan sahaja mencegah diri anda daripada penyakit, malah anda akan kekal cergas dan bersemangat.

#7- Qailulah

Maksud qailulah ialah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari atau sebelum masuknya waktu Zuhur. Bagi yang melazimi solat sunat tahajud, amalan qailulah merupakan amalan sunat sebagai persediaan untuk qiyamullail. Secara ringkasnya, dengan qailulah anda akan lebih cergas untuk meneruskan hari anda.

Kesimpulan

Mulakan pagi dengan bersemangat dengan minda yang segar dan wajah yang ceria. Amalan berpagi-bagi bukan sahaja dianjurkan oleh Rasulullah SAW menerusi banyaknya hadis yang diriwayatkan, malah kajian saintifik membuktikan tidur awal dan bangun di awal pagi membantu kita untuk lebih tenang menghadapi kesukaran dalam hidup dan meningkatkan peluang untuk kita lebih berjaya. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami