Hukum

Adakah Muntah Membatalkan Wuduk?

Oleh Natirah Azira  •  13 Jul 2020  •  2 min baca

Muntah adalah perkara biasa yang akan dialami apabila perut terlalu penuh atau rasa mual kerana pening. Seperti yang kita tahu, muntah dengan sengaja akan membatalkan puasa, namun bagaimana pula dengan wuduk. Adakah ia juga membatalkan wuduk?

Menurut Imam Syafie, muntah tidak membatalkan wuduk, malah inilah pandangan yang sahih kerana tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa muntah membatalkan wuduk.

Yang ada adalah pandangan daripada sebahagian imam seperti Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah yang menyebutkan bahawa muntah membatalkan wuduk. Dalam hal ini Imam Ahmad mensyaratkan muntah yang membatalkan wuduk adalah apabila ia dalam jumlah yang banyak. Imam Abu Hanifah pula mensyaratkan bahawa ia berasal dari perut, memenuhi mulut dan keluar secara sekali gus.

Selain daripada itu, memang ada beberapa hadis lain yang menunjukkan situasi di mana Nabi SAW muntah lalu mengambil semula wuduk. Namun hadis-hadis tersebut adalah lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Antaranya seperti:

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَصَابَهُ قَىْءٌ أَوْ رُعَافٌ أَوْ قَلَسٌ أَوْ مَذْىٌ فَلْيَنْصَرِفْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesiapa yang muntah, berdarah hidung, sendawa atau keluar air mazi di dalam solatnya, hendaklah dia berhenti dari solatnya lalu berwudhu.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1221)

Manakala riwayat daripada Abu Dardaa’: “Sesungguhnya Rasulullah SAW muntah, dan membatalkan puasa Baginda lalu berwuduk. Kemudian aku (Abu Dardaa’) bertemu dengan Tsauban di Masjid Damsyik dan menyebut hal itu kepadanya, lalu Tsauban berkata “Benar, akulah yang membawakan air wuduk kepada Baginda”. (Sunan Tirmizi, no.87)

Menurut Ibnu Taimiyyah, perbuatan tersebut adalah sunat dan bukan bermakna wajib kerana tidak ada dalil yang jelas menunjukkan perintah wajib.

Kesimpulannya, muntah tidak membatalkan wuduk, seperti mana yang dipegang dalam Mazhab Syafie dan barisan ulama’ yang lain. Tetapi, sunat bagi mereka yang muntah untuk mengambil wuduk semula. Wallahua’lam.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami