Eksklusif, Tokoh

#94 – Peribadi Maryam Yang Dinyatakan Dalam Al-Quran Untuk Diteladani

Oleh Fizah Lee  •  25 Dec 2020  •  3 min baca

Siapa yang tidak kenal dengan wanita yang cukup hebat ujiannya, iaitu Maryam. Beliau merupakan anak kepada Hannah binti Faqudz dan Imran. Nama Imran cukup terkenal sehingga kisah keluarganya ada dirakamkan dalam surah Imran.

Kisah Maryam pula ada juga dirakamkan dalam surah Maryam yang turut menghimpunkan kisah Nabi Zakaria dan Nabi Yahya serta Nabi Ibrahim dan ayahnya.

Namun, entri kali ini bukanlah untuk memperlihatkan kisah-kisah yang dirakamkan melalui surah tersebut, tetapi untuk menelusuri kehebatan tokoh hebat ini, iaitu Maryam binti Imran.

Dalam sebuah riwayat dari Saidatina ‘Aisyah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Pemuka wanita syurga ada empat, iaitu; Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah, Khadijah binti Khuwailid dan Asiyah.” (HR Hakim, no. 4853)

Hadis ini menunjukkan bahawa Maryam merupakan tokoh wanita yang sangat hebat sehingga beliau merupakan salah seorang daripada ketua ahli syurga.

Tergolong Dalam Golongan Yang Taat

Sifat Maryam juga ada disebutkan dalam surah lain seperti At-Tahrim yang mengatakan bahawa beliau adalah wanita terhormat yang sentiasa berusaha menjaga kemuliaan dirinya.

وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ

Mafhum: “Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki: tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan ia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah tuhannya serta kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (Surah At-Tahrim, 66:12)

Melalui dalil di atas, ia menyifatkan Maryam sebagai wanita yang sentiasa taat dengan agama dan tidak pernah berpaling dari Allah.

Kisah Maryam adalah satu bukti bahawa ujian yang dilemparkan Allah kepada manusia itu untuk mendekatkan lagi jiwa kepada Allah.

Ia bergantung kepada bagaimana pemahaman yang ada dalam diri setiap isan terhadap ujian yang dilaluinya. Ujian itu sifatnya untuk menguatkan lagi kebergantungan kepada Allah.

Dan begitulah yang telah ditonjolkan oleh Maryam, yang sentiasa setia kepada Allah bukan hanya pada waktu senangnya, tetapi juga pada masa ia diuji.

Zakaria Sebagai Pemeliharanya

Maryam membesar dalam kalangan Bani Israel yang terhormat, dikenali sebagai wanita yang rajin ibadahnya dan diberkati Allah dengan berada di dalam penjagaan Zakaria.

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّا ۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَـٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّـهِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Mafhum: “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkan dengan didikan yang baik serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia mendapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: “Dari mana engkau mendapati buah-buahan ini wahai Maryam.” Maryam menjawab: “Ia adalah dari Allah. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.” (Surah Imran, 3:37)

Zakaria yang merupakan saudara terdekatnya telah mengasuh Maryam dengan sepenuh kasih sayang dan membekalkan ilmu agama kepadanya secara baik.

Kehidupan Maryam lebih banyak berada di Baitul Maqdis berbanding di luar. Ia membuktikan bahawa Maryam lebih banyak mengabdikan dirinya kepada Allah dan diberi tempat khusus oleh Zakaria untuk fokus beribadah.

Maryam juga terkenal dengan gelaran Adzra yang bermaksud gadis perawan. Beliau memiliki banyak keistimewaan lain yang disebutkan dalam Al-Quran dan juga dalilNya. Antaranya ialah:

#1 – Satu-satunya wanita yang namanya menjadi surah dalam Al-Quran

#2 – Berasal dari keturunan yang terhormat dan terjaga. Dipelihara pula oleh utusan Allah dan melahirkan Nabi Isa AS.

#3 – Merupakan teladan wanita terbaik sepanjang zaman.

#4 – Dipilih Allah untuk menerima amanah yang sangat besar, iaitu dengan menjadi ibu kepada Nabi Isa AS.

Dalam Al-Quran atau hadis, tiada penjelasan lanjut mengenai tarikh kewafatannya tetapi ada disebutkan dalam beberapa kitab seperti yang dikarang oleh Ulama At-Thabari menyebut bahawa beliau telah meninggal dunia sekitar 20 tahun selepas peristiwa Nabi Isa diangkat ke langit.

Rujukan:
Kajian Kisah Maryam Dalam Al-Quran
Kajian Surah Maryam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami