Wanita

9 Rahsia Kejayaan Pengasas Perniagaan Siti Khadijah

Oleh Azian Mohamed Isa  •  3 May 2018  •  7 min baca

Jenama Siti Khadijah begitu sinonim dengan rekaan telekung yang menarik dan eksklusif.

Kain telekungnya yang berkualiti tinggi serta reka bentuk muka yang mudah disarung dan selesa, menjadikan telekung ini begitu diminati ramai terutama sekali oleh golongan kaum wanita.

Bagi pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., Padzillah Enda Sulaiman, 55 tahun, kejayaan yang dicapainya sekarang adalah hasil daripada minatnya yang mendalam dalam bidang jahitan.

Di samping minat, beliau juga bersungguh-sungguh dalam melakukan kajian, pembangunan dan inovasi untuk produk rekaannya seiring dengan dunia fesyen terkini.

Dalam tempoh sembilan tahun, empayar Siti Khadijah telah berkembang dengan terdirinya 30 cawangan butik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Lebih membanggakan, produk telekung Siti Khadijah berjaya menembusi pasaran Indonesia, yang terkenal dengan lambakan telekung yang penuh warna-warni dan variasi.

Kini, terdapat dua cawangan butik Siti Khadijah di negara burung garuda itu, di Jakarta dan di Bandung.

Kewibawaan Padzillah Enda Sulaiman dalam meneraju bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan di tanah air tercinta iaitu ;

#1- Women Entrepreneur Award 2016
#2- Anugerah Usahawan Wanita E50 2017
#3- Menerima Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital oleh SME Corp
#4- Anugerah Superbrand Deloitte, yang meletakkan jenama Siti Khadijah sebaris dengan nama besar seperti 7 Eleven dan Bank CIMB.

Pengiktirafan yang diperoleh ini bukanlah satu nikmat yang dikecapi dalam masa sehari semalam. Ada kesungguhan, kegagalan, pengorbanan dan seribu satu cabaran yang dilalui dan didepani.

Di sebalik kejayaan jenama Siti Khadijah, ada watak utama seorang wanita yang punyai impian yang besar dan kecekalan hati yang tinggi.

Penghasilan telekungnya bukan hanya bermatlamatkan keselesaan, malah ia memenuhi tuntutan ukhrawi iaitu sebagai pelaburan untuk saham akhirat.

Mari kita dekati rahsia kejayaan Puan Padzillah Enda Sulaiman, pengasas jenama Siti Khadijah.

#1 – Bermula Dengan Minat

Benarlah kata orang, tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai minat dan semangat untuk berjaya.

Semasa di peringkat sekolah menengah rendah lagi, Padzillah begitu cenderung untuk menjahit. Walaupun tidak mengambil aliran sains rumah tangga, keinginan beliau untuk menjahit dan menghasilkan sesuatu daripada seni jahitan tangannya sendiri begitu tinggi.

Demi memenuhi permintaan seorang anak saudaranya yang ketika itu berusia lapan tahun, Padzilllah berjaya menghasilkan sehelai maxi (baju labuh) yang kemas, cantik dan rapi jahitannya, tanpa menggunakan mesin jahit.

Dengan minat beserta bakat yang ada, Padzillah tidak mahu mempersiakan anugerah yang telah diberi Ilahi.

#2 – Nekad Demi Bebas Dari Cengkaman Kemiskinan

Beliau merupakan anak bongsu daripada 13 orang adik beradik. Dilahirkan di Kampung Pekan Lama, Sungkai, Perak, sebuah kampung yang letaknya jauh di pedalaman.

Ibu beliau meninggal dunia ketika melahirkannya. Kehidupan di kampung yang amat mundur, tiada bekalan air dan elektrik, tiada jalan tar yang sempurna menyebabkan beliau ingin cepat keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

Kehidupan yang penuh sukar di kampung mendorongnya untuk gigih berusaha menamatkan pelajarannya hingga ke Tingkatan Lima.

Beliau juga sentiasa mengimpikan bakal suami yang terpelajar dan daripada golongan berada untuk merasai nikmat kehidupan yang lebih senang dan terjamin.

#3 – Mengutamakan Keselesaan Beribadat

Setiap kali Ramadhan menjelma, beliau pasti membeli sehelai telekung baharu untuk mengerjakan ibadah tarawih.

Baginya, untuk ibadah yang memakan masa yang agak lama seperti solat tarawih, haji dan umrah, pemakaian telekung haruslah selesa, menepati syariat dan juga nampak menawan untuk si pemakai.

Kecewa kerana tiada satu telekung pun yang menepati citarasa beliau, setiap telekung yang dibelinya pasti diubah suai terutama sekali di bahagian muka agar tampil kemas, selesa dan anggun.

Siapa sangka, tabiatnya itu mula mendapat perhatian seorang rakan, mencadangkan beliau memulakan perniaagaan telekung secara komersial.

#4 – Siti Khadijah A.S Sebagai Aspirasi

Bagi Padzillah, nama Siti Khadijah A.S mempunyai nilai penjenamaan yang tersendiri. Siapa yang tidak mengenali ikon srikandi solehah yang amat dekat pada hati Rasulullah S.A.W.

Figura ini adalah insan agung yang menjadi suri teladan bagi wanita Islam, isteri yang setia, usahawan ternama yang disegani yang sentiasa dipandang tinggi oleh Rasulullah S.A.W.

Padzillah mahu jenama Siti Khadijah sentiasa meniti di bibir dan melekat di hati pelanggan.

“Ingat telekung, ingat Siti Khadijah.”

#5 – Menggunakan Pelbagai Medium Pemasaran

Memulakan perniagaannya pada tahun 2009, Padzillah dibantu oleh anak sulungnya, berjaya membuka domain perniaagaan atas talian, www.sitikhadijah.com.

Beliau juga berhubung rapat dengan wartawan akhbar arus perdana untuk mempromosikan produk telekungnya.

Ternyata strategi promosi beliau berjaya apabila salah seorang pelanggan telekung Siti Khadijah merupakan seorang penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran di TV3.

Beliau dijemput sebagai tetamu di WHI dan dari situ permintaan telekung Siti Khadijah meningkat di luar jangkaan, mengatasi bekalan telekung.

Pada tahun 2014, Siti Khadijah menerima tawaran untuk muncul dalam rancangan Astro Go Shop.

Bermula dengan 50,000 pasang telekung yang ditempah secara belian terus oleh Go Shop, jalinan perhubungan perniagaan antara Siti Khadijah dan Go Shop diteruskan. Terkini, jualan melalui Go Shop melebihi 10 juta ringgit.

#6 – Ujian Dalam Bisnes

Padzillah memulakan perniagaan telekungnya bermodalkan RM10,000 dengan sejumlah 200 pasang telekung yang dijahitnya sendiri.

Sasaran awal pelanggan pada masa itu ialah syarikat-syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah.

Ternyata rezeki tidak menyebelahi beliau kerana syarikat-syarikat yang ditemuinya berpendapat telekung Siti Khadijah terlalu eksklusif dan mahal harganya.

Namun, kegagalan beliau sebenarnya bukan kerana masalah harga yang mahal dan premium, tetapi kegagalan dalam menentukan sasaran pelanggan.

Setelah mempromosikan telekungnya di dalam ruangan akhbar perdana dan media massa, bertali arus panggilan dan tempahan yang diterima oleh beliau.

Beliau juga pernah menyaman sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa pada tahun 2010 atas dakwaan meniru rekaan produk jenama Siti Khadijah yang sudah pun didaftar di bawah reka bentuk hak cipta dan industri.

Dengan kesabaran dan kesungguhan, beliau memenangi kes tersebut.

#7 – Tip Bisnes

Padzillah berpendapat setiap orang mempunyai potensi untuk berniaga. Tanamkan minat dan kesungguhan terlebih dahulu dan sentiasa mencipta peluang.

Asah bakat yang ada supaya ia tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Bakat juga boleh dibentuk dengan keazaman yang tinggi. Pesan Padzillah kepada individu yang ingin memulakan bisnes;

“Seseorang itu perlu berfikiran positif, memiliki kekuatan dalaman, berani, tidak mudah putus asa, rajin mencari ilmu dan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.”

#8 – Mengaplikasikan Blue Ocean Strategy

Pembabitan awal Padzillah dalam perniagaan menjahit telekung menimbulkan banyak tanggapan negatif.

Orang sekeliling mempersoalkan yang produk telekung sudah banyak di pasaran. Ada juga yang terkejut dengan keputusan beliau.

Namun, beliau menepis kata-kata yang tidak membina dan negatif itu dengan bijaksana. Dengan merujuk kepada Blue Ocean Strategy, perniagaan produk telekung sememangnya sudah banyak di pasaran.

Pengusaha bisnes telekung dikatakan berada di dalam samudera merah, masing-masing perlu bersaing dan memastikan produk mereka kekal bertahan dan mendapat sambutan.

Baginya, tidak salah untuk terjun ke samudera merah, tetapi pastikan para pengusaha ini berenang ke samudera biru yang lebih cantik dan mendamaikan.

Di sini, perlu ada daya kreativiti dan inovasi daripada para pengusaha dalam penghasilan produk mereka. Di dalam samudera biru, produk mereka ada keistimewaan dan keunikan dalam kelas yang tersendiri.

#9 – Sokongan Daripada Suami Dan Keluarga

Padzillah bertuah kerana suami dan enam orang anaknya yang kesemuanya lelaki terlibat dalam membangunkan jenama Siti Khadijah.

Menantunya juga menjadi model untuk produk telekung yang dihasilkan. Beliau amat berbangga dengan anak sulungnya, Mohammad Muzammil yang sentiasa aktif mempelajari, menambah ilmu dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan untuk memajukan perniagaan.

Mengimbas kembali pengalaman membesarkan anak-anaknya, Padzillah sentiasa menitikberatkan didikan agama.

Beliau dan suami berusaha untuk memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ternyata kesungguhan dan keikhlasan Padzillah dan suami dalam mendidk anak-anaknya membuahkan hasil yang baik.

Padzillah adalah ikon usahawan wanita yang patut menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha wanita yang lain.

Dalam keghairahan memajukan bisnesnya, beliau tidak lupa tanggungjawab kepada ibu, bapa, suami dan anak-anak. Baginya, rahsia kejayaan dan kebahagian itu terletak pada restu ibu dan bapa.

Jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rungutan dan pertikaian. Hanya Allah yang menentukan sebaik-baik ganjaran.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami