Ibadah

9 Amalan Mudah Untuk Menghidupkan Bulan Ramadan

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  26 Apr 2019  •  4 min baca

Tidak lama lagi kita akan didatangi oleh tetamu istimewa iaitu bulan Ramadan. Ramadan adalah bulan yang di dalamnya terdapat seribu satu keistimewaan dan ganjaran yang Allah S.W.T sediakan buat hamba-hamba Nya.

Berikut 9 amalan pengisian yang boleh kita lakukan di dalam bulan Ramadan ini untuk kita sama-sama memperoleh manfaat dan ganjarannya;

#1- Berpuasa Bersungguh-Sungguh Di Siang Hari

Kenapa perlu berpuasa dengan bersungguh-sungguh? Ini ialah kerana pahala puasa itu bergantung kepada bagaimana cara kita berpuasa pada siang harinya.

Ramai orang yang berpuasa, tetapi puasa mereka hanyalah menjadi perbuatan yang sia-sia. Abu hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”Riwayat Bukhari

Seperti yang kita ketahui, puasa adalah perbuatan menahan diri. Menahan diri yang dimaksudkan adalah bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi turut menahan diri daripada melakukan amalan dan perbuatan yang melalaikan dan melanggar perintah Allah S.W.T seperti berkata buruk, mencela dan mengumpat.

Amalan dan perbuatan yang sia-sia tidak akan membatalkan puasa tetapi ianya mengurangkan pahala puasa.

Oleh itu, marilah kita berpuasa dengan sebenar-benarnya agar kita dapat mengambil pahala puasa dengan sebanyak mungkin.

#2- Mengerjakan Solat Terawih

Solat terawih adalah solat yang hanya ada pada bulan Ramadan. Oleh itu, solat terawih ini amatlah besar kelebihannya.

Solat terawih dilakukan setelah solat isyak dan boleh dilakukan sama ada secara berjemaah ataupun secara bersendirian. Dari Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Sesiapa yang mendirikan solat (terawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosa-dosanya yang lalu” Riwayat Muslim

#3- Membaca Dan Tadarus Al-Quran

Ramadan adalah bulan al Quran kerana al Quran itu sendiri diturunkan pada bulan Ramadan.

Oleh itu, perbanyakkan membaca al Quran di samping berusaha bukan sekadar membacanya sahaja tetapi dengan meneliti, memahami dan juga mempelajari makna di sebalik setiap ayat di dalam al Quran itu sendiri.

Berusahalah juga untuk mengkhatamkan al Quran pada bulan Ramadan ini walaupun hanya satu kali. Ambil sedikit masa yang kita ada untuk diperuntukkan khas untuk membaca al Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara sembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”Surah Fatir : 29

Bacalah al Quran kerana al Quran nantinya akan menjadi pembela dan pemberi syafaat pada hari akhirat kelak.

#4- Bersahur

Bersahur memberikan banyak kelebihan kepada badan kita sendiri untuk memberikan keselesaan sepanjang berpuasa di siang hari. Malah di dalam sahur itu sendiri ada keberkatan di sisi Allah S.W.T.

Kita disunatkan untuk mengakhirkan waktu sahur dan mempercepatkan waktu berbuka. Bangun dan makanlah pada waktu sahur walaupun hanya sebiji kurma. Daripada Amru bin al Asr R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Perbezaan di antara puasa umat islam dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu adalah dengan makan sahur”Hadis Riwayat Muslim

#5- Memperbanyakkan Sedekah

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak” Surah al-Hadid : 18

Orang yang dermawan dan sentiasa bersedekah akan mendapat banyak kelebihan dan ganjaran disisi Allah. Mereka akan dikurniakan pahala yang banyak dan malah akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak.

Terdapat 7 golongan pada hari akhirat kelak yang akan mendapat naungan Allah S.W.T pada hari di mana tiada lagi naungan lain selain daripada naungan Allah, salah satunya adalah BERSAMBUNG 9 Amalan Mudah Untuk Menghidupkan Bulan Ramadan Siri 2


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami