Gaya Hidup

8 Nama Neraka Yang Diceritakan Dalam Al-Quran

Oleh Fazli Abdullah  •  26 Jan 2019  •  4 min baca

Kisah neraka bukan kisah dusta dan rekaan. Kejadiannya diciptakan Allah S.W.T kepada golongan manusia dan golongan jin yang ingkar dengan perintahNya.

Neraka mempunyai beberapa tingkatan dan nama yang diberi. Setiap daripada tingkatannya berbeza hukuman dan tahap pembalasan. Ada neraka paling bawah dan ada paling atas.

Ada 8 nama neraka yang telah dicatat kemas di dalam al-Quran yang diturunkan sejak lebih 1400 tahun dahulu. Apakah 8 nama neraka itu? Mari sama-sama kita kenali.

1-Neraka Jahannam

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila dikatakan kepadanya: ‘Bertaqwalah engkau kepada Allah’ timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka Jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”Surah al-Baqarah 2:206


Pada surah yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah bagiNya Neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar.”Surah At-Taubah 9:63

2-Neraka Jahim

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Mereka tidak merasai kematian dalam syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka daripada azab Neraka Jahim.”Surah Ad-Dukhan 44:56


Pada surah yang lain, Allah berfirman yang bermaksud:

“(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.”Surah At-Takathur 102:6

3-Neraka Al-Hawiyah

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya. Maka tempat kembalinya adalah Hawiyah. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apakah Hawiyah itu? (Hawiyah itu adalah) api yang panas membakar.”Surah Al-Qariah 101:8-11

4-Neraka Wail

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Kecelakaan besar untuk orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya.Surah Al-Mutaffifin 83:1-3

Wail pada permulaan ayat(bahasa Arab), ada yang berpendapat bermakna neraka. Ayat ini memberitahu janganlah menipu dalam berjual beli dengan cara mengurangkan timbangan dan mengambil keuntungan secara haram. Kerana perbuatan itu adalah salah disisi agama.

5- Neraka As-Sa’ir

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami sudah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan untuk mereka azab neraka yang menjulang-julang.Surah Al-Mulk 67:5

6- Neraka Lazha

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya. (Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota-anggota tubuh badan. Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (daripada kebenaran). Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).”Surah Al-Ma’arij 70:15-18

Harta adalah pemberian Allah kepada kita di dunia. Harta yang dimiliki janganlah tidak dikeluarkan zakat kerana ia telah diwajibkan oleh Allah S.W.T.

7- Neraka Saqar

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah 19(malaikat)”Surah Al-Mudassir 74:26-30

Neraka ini akan terus membakar penghuninya. Ia berulang dan terus-menerus menyeksa serta membakar kulit manusia. Tak dapat bayangkan betapa peritnya rasanya.

8- Neraka Hutamah

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al-Hutamah’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Al-Hutamah” itu? (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), Yang naik menjulang ke hati;”Surah Al-Humazah 104:4-7

Neraka ini disediakan kepada si pengumpat, pencela, orang yang suka mengumpul harta, serta menganggap hartanya itu dapat menyelamatkannya.

Kesimpulan

Belek dan semaklah terjemahan al-Quran dan tafsir al-Quran yang menceritakan tentang neraka agar kita semua dapat menghindari dari perbuatan yang membawa ke arahnya.

Al-Quran membawa berita gembira dan juga peringatan untuk kita. Jadikan berita gembira yang dikhabarkan sebagai motivasi untuk melakukan kebaikan.

Manakala peringatan tentang seksa dan azab neraka sebagai satu benteng untuk kita supaya tidak tertipu dan terjebak dengan perkara yang mengundang kemurkaanNya. Waallahu a’lam.

Rujukan/Semakan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. Ensiklopedia Kiamat (Penulis:Tim Gema Insani)
3. Andai Syurga & Neraka Tidak Ada (Penulis: Muhammad Hassan Basri)
4. Tafsir Al-Azhar (Penulis:HAMKA)
5. Terpelanting dari Siratulmustakim (Penulis: Suyadi)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami