Gaya Hidup

7 Cara Ini Dapat Membantu Anda Melawan Sikap Bertangguh

Oleh Natirah Azira  •  4 Dec 2018  •  3 min baca

Sikap bertangguh selalunya hadir apabila tugasan yang perlu dilakukan itu sukar dan memakan masa yang panjang. Masalah ini mungkin lebih cenderung dirasai oleh mereka yang bergelar pelajar kerana kehidupan mereka berputar sekitar tugasan-tugasan akademik sepanjang semester. Namun tips yang akan disenaraikan di bawah juga boleh diaplikasikan oleh sesiapa sahaja. Berikut antaranya:

#1- Pecahkan Matlamat Kepada Bahagian-Bahagian Kecil

Kita boleh trick minda sendiri dengan memecahkan matlamat yang terasa besar kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contohnya apabila anda ingin memulakan diet, anda boleh mulakan dengan minum lebih banyak air masak setiap hari. Lakukan ia sekurang-kurangnya dalam 3 minggu.

Kemudian tambahkan matlamat kepada mengurangkan minuman manis hanya kepada satu gelas sehari, kemudian kepada mengurangkan pengambilan makanan segera hanya kepada satu ke dua hidangan dalam sebulan.Begitulah seterusnya, sedikit demi sedikit. Minda anda tidak akan rasa terbeban dengan matlamat yang anda berikan.

#2- Bangun Setengah Jam Lebih Awal Esok

Bangun setengah jam lebih awal daripada waktu kebiasaan sebenarnya dapat memberi kesan yang lebih positif kepada minda dan hari yang akan anda lalui. Anda dapat menyusun dan merancang tugasan yang perlu dilakukan dengan lebih teratur. Minda juga lebih segar dan anda lebih bersedia untuk menempuh hari.

#3- Ulang Kata-Kata Seperti “Buat hari ini, bukan esok”

Kata-kata di atas nampak hanya seperti kata-kata biasa bukan? Namun sebenarnya tanpa anda sedari kesan perkataan yang diulang-ulang itu telah masuk ke minda bawah sedar. Berikan peringatan kepada minda setiap kali anda rasa anda mula berlengah-lengah dan menunda perkara yang perlu dibereskan.

“Buat hari ini, bukan esok!”

#4- Selesaikan Apa Yang Telah Dimulakan

Selesaikan apa yang telah anda mulakan. Kerja yang diselesaikan dengan baik mampu memberikan perasaan yang positif terhadap diri sendiri. Anda akan lebih yakin dengan kemampuan diri untuk melakukan tugasan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

#5- Senaraikan Perkara Yang Ingin Dicapai

Dengan hanya menyenaraikan apa yang ingin dilakukan sahaja sebenarnya mampu mendorong diri untuk mula bertindak. Letakkan senarai tersebut di tempat yang senang dilihat.

Tindakan ini dapat memancing perhatian sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati selagi matlamat tersebut tidak dipenuhi.

#6- Cipta Suasana Yang Menyokong

Cipta suasana yang dapat menaikkan semangat untuk anda mula bertindak. Jika belajar di bilik akan membuatkan anda mengantuk, maka keluar dan cari tempat yang lebih selesa untuk anda belajar. Jika anda ingin mula bersenam, anda boleh beli kasut atau pakaian sukan baru untuk lebih rasa bersemangat. Minda kita sukakan ‘reward’ apabila melakukan sesuatu perkara.

#7- Elakkan Sikap Perfectionism

Sesetengah orang bertangguh daripada melakukan kerja kerana merasakan bahawa hasilnya tidak akan sempurna. Elakkan daripada terlalu mencari kesempurnaan dalam setiap apa yang dilakukan.

Jika tidak, anda akan lambat bergerak dan berkembang dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Lebih bermasalah lagi, anda tidak akan memulakan sebarang usaha pun.

Setiap kali minda rasa tidak bersedia atau rasa bahawa hasilnya tidak akan memenuhi kehendak,ingatkan semula diri bahawa segalanya akan bertambah baik apabila anda mula bertindak. Mulakan sahaja!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami