Keluarga

7 Cabaran Menghantar Anak Ke Sekolah Cina

Oleh Mohd Khairil Hisham  •  16 Jan 2015  •  6 min baca

Dua puluh tahun yang lalu sukar untuk melihat pelajar-pelajar Melayu di SJK (C). Kini sudah menjadi trend bagi ibu bapa Melayu menghantar anak-anak bersekolah di SJK(C). Ini boleh dilihat dari segi komposisi pelajar Melayu di SJK(C). Ada SJK(C) yang mempunyai bilangan pelajar Melayu hampir 50%.

Budak Sekolah Cina Melayu

Sudah menjadi trend ibu bapa Melayu menghantar anak di SJK(C). [Fyqa]

Ada juga yang mencapai sehingga 70%-80% pelajar Melayu. Malah di Negeri Sembilan,terdapat beberapa buah SJK(C) mempunyai Kelas Agama Petang bagi membolehkan pelajar-pelajar Melayu belajar pelajaran agama Islam. Ia juga membolehkan pelajar menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). Secara tidak langsung ia telah membantu pelajar dari segi pengurusan masa di mana tidak perlu tergesa-gesa untuk ke sekolah agama petang.

Keputusan menghantar anak-anak bersekolah di SJK(C) bukanlah satu keputusan yang mudah. Banyak cabaran yang harus dilalui oleh pelajar dan ibu bapa. Kesilapan yang kecil boleh menyebabkan kerugian dari segi masa dan tenaga.

Berdasarkan pengalaman saya menghantar anak bersekolah di SJK(C) terdapat 7 cabaran utama yang harus dilalui oleh ibu bapa dan pelajar.

#1 – Matlamat

yào xué liú shuǐ jǐ zǒu, mò xué wū wú shuǐ shàng piāo.
Ikutlah air mengalir, jangan ikut sampah terapung.
Peribahasa Cina

Perkara utama yang harus diambil kira ialah kenapa kita ingin menghantar anak kita. Ada ibu bapa yang menghantar anak ke SJK(C) hanya kerana rakan sepejabat, jiran atau ahli keluarga. Ada juga yang menghantar kerana inginkan anak mereka boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin.

Hanya segelintir ibu bapa yang menghantar kerana melihat peluang dari segi penguasaan bahasa, pemikiran dan kepelbagaian budaya.

Matlamat perlu jelas kerana pelajar-pelajar SJK(C) tidak boleh menyambung pelajaran sekolah menengah di sekolah berasrama penuh.

#2 – Kewangan

xiān lǜ bài, hòu lǜ shèng.
Ingat kalah dahulu, ingat menang kemudian.
Peribahasa Cina

Kewangan harus diambil kira sejak anak berusia 5 tahun. Seawal usia 6 tahun, pelajar perlu ke pra-sekolah.

Bukan semua SJK(C) mempunyai pra-sekolah. Jika ada, bilangan pelajar yang diambil begitu terhad. Ini menyebabkan ibu bapa terpaksa menghantar ke pra-sekolah swasta yang pasti bayarannya mahal.

Ibu bapa perlu menyediakan kewangan mencukupi kerana di SJK(C) pelajar perlu membayar yuran sebanyak 2 kali, dibayar pada awal dan pertengahan tahun persekolahan. Ia merupakan bayaran untuk buku-buku latihan yang digunakan oleh pelajar.

Ini tidak termasuk buku latihan yang digunakan semasa cuti sekolah dan aktiviti-aktiviti sekolah.

#3 – Masa

rén qín chūn lái zǎo.
Musim menuai tiba awal bagi orang yang rajin.
Peribahasa Cina

Pengurusan masa merupakan cabaran bagi pelajar dan ibu bapa apabila bersekolah di SJK(C). Pelajar harus pandai menyusun jadual harian.

Waktu persekolahan sehingga jam 2 petang, kelas tuisyen dan sekolah agama petang. Ia merupakan rutin harian pelajar SJK(C).

Kerja sekolah diselesaikan sehingga lewat malam. Ini adalah perkara yang perlu diuruskan oleh pelajar. Bagi ibu bapa pula, kita harus memastikan pelajar mempunyai masa untuk berehat dan menyelesaikan tugasan mereka.

#4 – Emosi

bù jīng yī fān hán chè gǔ, nǎ yǒu méi huā pū bí xiāng.
Masakan dapat kesenangan kalau tidak melalui kesusahan.
Peribahasa Cina

Ibu bapa perlu bijak mengawal emosi pelajar. Kerja sekolah yang banyak yang perlu diselesaikan mengundang hingga ke lewat malam.

Sebagai ibu bapa, kita harus menemani mereka menyelesaikan kerja sekolah walaupun kita tidak mengetahui atau memahami Bahasa Mandarin. Ia juga bertujuan memberi sokongan.

Keluarga Bahagia

Sokongan moral ibu bapa juga berperanan dalam membimbing anak. [AimIslam]

Begitu juga ketika cuti persekolahan di mana pelajar akan diberi buku latihan dan perlu menghantar apabila buka sesi persekolahan akan datang.

Bagi ibu bapa, perlu mengawal emosi kerana cara pengajaran dan pembelajaran di SJK(C) begitu jauh berbeza berbanding dengan sekolah kebangsaan. Kebiasaannya guru-guru akan mengenakan denda seperti rotan di tapak tangan atau di kaki sekiranya pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah atau melakukan kesalahan.

#5 – Makanan

kàn cài chī fàn, liáng tǐ cái yī.
Makan nasi jenguk-jengukkan lauk, jahit baju tengok-tengokkan badan.
Peribahasa Cina

Makanan merupakan cabaran terbesar bagi ibu bapa dan pelajar. Kebiasaannya, kantin sekolah akan diuruskan oleh pengusaha kantin Cina. Oleh yang demikian, aspek halal makanan diragui.

Kantin tidak menjual makanan yang haram di sisi agama Islam. Namun, bahan ramuan seperti fish cake, fish ball dan lain-lain tidak pasti sama ada mempunyai tanda halal atau tidak.

Ibu bapa harus bijak menerangkan kepada pelajar mengenai makanan dan memastikan anak-anak membawa bekal makanan dari rumah. Sekiranya ada majlis aktitivti anjuran sekolah, para ibu bapa perlu bekerjasama sesama mereka dan berbincang untuk menyediakan makanan halal bagi pelajar. Kebiasaannya sekolah akan menanggung bayaran penyediaan makanan.

#6 – Bahasa

yán wéi xīn zhī miáo.
Bahasa itu tunas hati.
Peribahasa Cina

Penguasaan bahasa Mandarin di kalangan pelajar merupakan aspek yang sering diberi penekanan oleh sekolah. Bagi pelajar yang bukan Cina, ia menimbulkan masalah kerana Bahasa Mandarin satu bahasa asing.

Ibu bapa harus menyokong pelajar sama ada membeli bahan bacaan ringan Bahasa Mandarin (pastikan kandungannya sesuai dengan usia pelajar) dan kamus yang boleh digunakan oleh pelajar.

Jika berkemampuan, ibu bapa boleh menghantar pelajar ke tuisyen swasta. Namun, pihak sekolah akan menganjurkan kelas tuisyen bagi membantu pelajar. Sekiranya apabila pelajar berada di Tahun 3 atau Tahun 4 masih tidak boleh bertutur atau membaca bahasa Mandarin adalah dinasihatkan agar dipindahkan ke sekolah kebangsaan.

Ini adalah kerana pelajar tersebut tidak mampu menguasai bahasa Mandarin. Jika diteruskan, ia akan menimbulkan masalah kepada pelajar ketika peperiksaan UPSR.

#7 – Pendidikan Agama

jū ān sī wēi, cháng bèi bú xiè.
Fikirkan bahaya apabila selamat, bersedia selalu malasnya tidak.
Peribahasa Cina

Ada berpandangan bahawa pembelajaran matapelajaran Agama Islam tidak ada di SJK(C). Ini mungkin kerana waktu pembelajaran agama kurang didedahkan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.

Sebagai ibu bapa, kita harus memastikan anak-anak pergi ke sekolah agama petang. Ia bertujuan untuk membentuk keperibadian anak-anak bagi membolehkan mereka dapat membezakan baik dan buruk sebagai seorang Muslim.

Belajar Agama Islam Cina Muslim

Ajaran agama islam haruslah seiring dengan pembelajaran. [Seth]

Saya pernah bertemu dengan ibu bapa yang menghantar pelajar ke SJK(C) hanya kerana tidak mahu belajar matapelajaran Agama Islam.

Bukan setakat itu, pelajar tersebut tidak dihantar ke sekolah agama petang dan belajar mengaji. Ibu bapa digalakkan berbincang dengan ustaz atau ustazah mengenai perkembangan dan masalah pelajar.

Rumusan

Menghantar anak ke SJK(C) memerlukan perancangan yang rapi agar ia tidak menimbulkan masalah kepada anak dan ibu bapa. Ia bukan sekadar untuk pandai berbahasa Mandarin. Banyak perkara yang boleh dipelajari.

Sikap berdikari dan berfikir yang dididik di peringkat sekolah rendah membentuk keperibadian yang tidak pernah kenal kalah.

Banyak peluang dan kelebihan yang diperolehi oleh anak-anak apabila bersekolah di SJK(C). Namun, ia bergantung kepada matlamat, sokongan ibu bapa dan kemampuan pelajar sendiri.

Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak bersekolah di SJK(C) tidak mengetahui bahawa sekiranya pelajar mendapat 5A di dalam peperiksaan UPSR, pelajar boleh memohon masuk ke Maktab Rendah Sains MARA.

Kebolehan bertutur bahasa ketiga memberi kelebihan kepada pelajar ketika sesi temuduga kemasukan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Mohd Khairil Hisham

Seorang penulis bebas, penceramah dan fasilitator. Menulis mengenai adat, budaya dan warisan Negeri Sembilan. Hasil penulisan boleh dilayari di web beliau.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami