Inspirasi

6 Cara Untuk Mengatasi Rasa Bersalah

Oleh Natirah Azira  •  27 Sep 2018  •  3 min baca

Sebagai manusia biasa, kita akan melakukan kesilapan di sela-sela kehidupan. Mungkin tersilap cakap, tersilap memberikan harapan atau tersilap perbuatan sehingga kesan daripada kesilapan yang dilakukan sudah tidak dapat dipulihkan.

Saya teringat suatu peristiwa yang terjadi yang menggemparkan dunia media tidak berapa lama dahulu. Tentang Rukeya, seorang ibu yang beragama Islam bersemuka dengan pembunuh anaknya di dalam mahkamah. Dalam nada sebak beliau berkata;

“I don’t hate you, I can’t hate you, it’s not our way, showing rahmah (mercy) is our way”

“Saya tidak membenci kamu, saya tidak dapat membenci kamu, itu bukan cara kami, menunjukkan rahmah (kasih sayang) adalah cara kami”

Betapa besar pengorbanan hati yang dilakukan oleh ibu ini sehingga pembunuh anaknya boleh dimaafkan. Bahkan anak muda yang melakukan kesalahan itu ingin dibantu supaya dapat melihat kehidupan dengan lebih terang. Sekarang mari kita lihat apa yang harus dilakukan apabila kita melakukan kesilapan.

#1- Terimanya Sebagai Suatu Kesilapan

Ramai orang yang melakukan kesilapan tetapi tidak semua menyedari dan mengakui bahawa dia melakukan kesilapan. Ini bukan soal siapa yang salah atau betul, tetapi tentang kerendahan hati untuk menyedari bahawa pasti ada sedikit sebanyak kesilapan yang telah dilakukan.

#2- Minta Maaf

Jika anda telah melakukan kesalahan kepada seseorang, pohonlah kemaafan. Islam juga meletakkan syarat meminta maaf dan memulangkan hak dalam syarat-syarat taubat.

Meminta maaf juga ibarat memulangkan hak kepada orang yang sepatutnya. Kadang-kadang, hati boleh menjadi lembut hanya dengan kata maaf yang terucap.

#3- Lepaskan Sesuatu Yang Tidak Mampu Anda Kawal

Banyak perkara dalam dunia yang tidak mampu kita kawal. Dalam hal ini, mungkin ianya berkaitan dengan pihak yang telah kita lakukan kesalahan. Mungkin mereka tidak mahu memaafkan, mungkin mereka terlalu membenci.

Jika usaha telah dilakukan berkali-kali, dan keadaan tidak juga berubah, maka berdamailah dengan keadaan yang terjadi. Berdoalah kepada Tuhan agar dia dilembutkan hati, dan semoga dengan berlalunya masa, maka kemaafan akan perlahan-lahan lahir dari hati.

#4- Bebaskan Diri Anda Daripada Belenggu Rasa Bersalah

Usah terlalu menghukum diri dengan kesalahan yang dilakukan. Jika kesalahan yang dilakukan itu adalah pada Tuhan, percayalah bahawa pintu kemaafan sentiasa terbuka. Jika kesalahan yang dilakukan pada orang dan usaha meminta maaf telah dilakukan, anda tidak perlu lagi menghukum diri. Bebaskan diri anda daripada belenggu rasa bersalah dan teruskan hidup dengan lebih baik.

#5- Belajar Daripada Kesalahan

Belajarlah daripada kesalahan yang lalu. Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Tanam keazaman untuk tidak lagi melukai dan menyebabkan sakitnya sekeping hati.

#6- Berterima Kasih

Apa yang terjadi bukan kebetulan. Hakikatnya segalanya telah ditentukan oleh Tuhan. Di sebalik semua yang telah terjadi, anda boleh berterima kasih kepada Tuhan, dan kehidupan yang telah menganugerahkan pengalaman yang mematangkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami